Rabu, 3 Februari 2010


IPOH, 3 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan pakatan pembangkang sebenarnya penuh kedangkalan apabila mempersoalkan saranannya supaya kesemua 28 wakil rakyat pembangkang mengosongkan kerusi masing-masing bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di kawasan mereka.

Beliau berkata pembangkang sebenarnya adalah pihak yang paling dangkal dalam memahami demokrasi apabila mendesak beliau supaya memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Mereka kata (saranan itu) tidak masuk akal, tetapi yang sebenarnya bercakap soal bubar DUN ini siapa? bukan saya, saya tidak pernah ganggu mereka. Mereka kata saya dangkal, tetapi saya nak nyatakan di sini merekalah (pakatan pembangkang) yang paling dangkal dalam memahami demokrasi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada hari Rabu.

Beliau diminta mengulas kenyataan pembangkang yang menyifatkan cabaran beliau meminta Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan 27 wakil rakyat pembangkang yang lain mengosongkan kerusi DUN masing-masing supaya pilihan raya kecil boleh diadakan sebagai sesuatu yang dangkal.

Selain itu antara kenyataan pembangkang adalah kerajaan negeri di bawah pimpinan BN bukan sahaja gagal menarik pelaburan asing, malah Perak menjadi negeri ketiga termiskin dalam negara selepas Sabah dan Terengganu.

"Mereka terus berbohong dengan mengatakan Perak tidak maju dan pelabur takut. Hakikatnya mereka begitu takut kerana semakin tergugat. Mereka juga sedia maklum mengenai dengan apa yang saya umumkan nanti. Saya akan umumkan nanti berapa jumlah pelaburan yang masuk ketika mereka memerintah dan ketika BN memerintah," katanya.

Sementara itu, Exco Kanan Datuk Hamidah Osman mendedahkan kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang sebelum ini menolak kertas cadangan bagi mengurangkan premium tanah yang berstatus Kampung Tersusun bagi Kampung Baru di Papan Baru di sini yang melibatkan 43 pemohon.

Beliau berkata 43 pemohon itu merupakan setinggan yang dipindahkan dari Kampung Baru, Papan Lama dekat sini yang memohon supaya kerajaan negeri mengurangkan premium tanah mengikut kadar premium tanah Kampung Baru bukan mengikut kadar bagi tanah perumahan biasa.

Beliau berkata mesyuarat Exco hari ini telah meluluskan permohonan 43 setinggan itu dan mereka diberikan potongan 50 peratus daripada kadar premium biasa.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: