Jumaat, 1 Januari 2010

Tok Mat…Semoga Amanlah Di Sana


Oleh Daud Hj Ibrahim

ALFATIHAH. Ketika Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Haji Aziz menghubungi saya memberitahu Tan Sri Mohamed Rahmat (Tok Mat) meninggal dunia pagi Jumaat, 1 Januari 2010, saya tergamam. Dalam masa yang sama, ada missed call Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Saya segera memanggil semula Tan Sri Mohd Isa dan beliau maklumkan, “Daud, Tok Mat meninggal.” Saya segera menghantar SMS kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali memberitahu berita sedih itu. Ini saya lakukan kerana Datuk Ibrahim boleh dikatakan rapat juga dengan Tok Mat. Ketika Datuk Ibrahim mahu kembali semula ke dalam Umno dan meninggalkan Parti Melayu Semangat 46, saya adalah orang yang bertanggungjawab menghantar borang permohonan menjadi ahli Datuk Ibrahim kepada Tok Mat.
Dalam masa yang sama, saya turut menghantar SMS kepada Tan Sri Elyas Omar, Saudara Yusof Merah, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, ADUN Kemelah, YB Ayub Rahmat, MP Sekijang, Datuk Baharom Mohamad.
Sahabat saya Mutalib Hj Omar, Zakaria Bidin, bekas MP Kuala Selangor Mohd Daud Tarihep, Datuk Mohd Daud Yusof dan beberapa orang lagi yang tidak dapat saya senaraikan di sini.
Tan Sri Muhyiddin membalas SMS saya dengan kata-kata, “Innalilahhiwainnaillahhirajiun. Perginya seorang pejuang berjasa. Hilanglah sebutir bintang! AlFatihah.
Ketika saya bekerja sebagai wartawan Watan di Kumpulan Karangkraf, saya adalah wartawan yang membawa Tok Mat melawat Pejabat Karangkraf di Taman Tun Dr. Ismail. Kebetulan, wartawan Berita Harian, Haji Zulkifli Jamaluddin atau ZJ menghubungi saya bertanya alamat rumah Tok Mat.
Saya teringat, ZJ juga merupakan antara wartawan yang Tok Mat gemari selain Saudara Azahar Hj Mohd Taib yang kini sudah menjadi wartawan kanan di Harian Metro.
Saya terus menghubungi Saudara Wan Yusof Hj Wan Ngah yang mengelolakan blog ini, http://citra-bangsa.blogspot.com untuk saya menulis satu artikel mengenai Tok Mat dan saya, kerana saya rasa bersalah pula jika saya tidak merakamkan sesuatu sejarah saya dengan Tok Mat.
Terima kasih Wan Yusof kerana menyiarkan artikel ini di blog ini.
Satu ayat yang hendak saya rakamkan di sini, Tok Mat seorang yang pemurah. Allahyarham sudi berkawan dengan sesiapa sahaja yang ramai yang Allahyarham pernah bantu dan saya mengetahuinya. Saya pernah berkereta dengan Tok Mat ke Port Dickson kerana menghadiri majlis perkahwinan. Datuk Ibrahim Ali pun ada sama. Saya juga pernah satu kereta dengan Tok Mat ke Umno Bahagian Selandar kerana beliau merasmikan persidangan tahunan Umno bahagian tersebut.
Ketika Tok Mat menjadi Menteri Penerangan, pegawai-pegawainya seperti Ibrahim Mohamad, Mustapa Ong, Mohd Daud Tarihep, Zuber, Shamsuddin Abu Bakar dan Datuk Baharom Abdul Ghani memang tahu hubungan saya dengan Tok Mat.
Malahan, pemandu Kementerian Penerangan yang membawa Tok Mat, Taufek yang misainya lebat pun baik dengan saya kerana dia tahu saya memang rapat dengan Tok Mat.
Ketika menziarahi jenazah Tok Mat petang Jumaat lalu, saya terserempak dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kata Dr. Ahmad Zahid, “saya masih ingat Tok Mat pernah beritahu kat saya, kau bantulah Daud ini,”
Tidak dapat saya menafikan, saya kenal ramai orang politik kerana saya baik dengan Tok Mat. Malahan, ada seorang bekas Setiausaha Akhbar kepada seorang Menteri Besar memberitahu, Daud kalau menulis, dia rujuk dulu dengan Tok Mat.
Mungkin dia bergurau tetapi saya tidak kisah dengan semua tuduhan itu kerana Tok Mat tidak pernah mengawal tulisan saya.
Tok Mat pernah bercerita dengan saya, ada serang orang Umno yang “disuapkan nasi ke mulutnya” mengkhianatinya dengan cerita-cerita fitnah.
Ketika Tok Mat jadi Setiausaha Agung Umno Allahyarham pernah meminta saya menghantar sejambak bunga kepada Datuk Zainal Abidin Zin yang dirawat di sebuah hospital swasta di Ipoh. Ketika itu, Datuk Zainal adalah orang kuat Parti Melayu Semangat 46.
Tok Mat juga pernah meminta saya mengaturkan pertemuannya dengan Datuk Paduka Ustaz Ibrahim Azmi Hassan yang ketika itu Naib Presiden Parti Melayu Semangat 46 untuk makan malam bersama-samanya.
Saya juga tidak akan melupakan peristiwa mengaturkan pertemuan Tok Mat dengan Tan Sri Mohd Isa ketika Tan Sri Mohd Isa masih menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Pertemuan berlangsung di Hotel Equatorial, Kuala Lumpur.
Ketika saya menemani Allahyarham Abu Bakar Dewa (bekas Exco Kerajaan Negeri Johor) ke India kerana perubatan buah pinggangnya, Tok Mat bukan sahaja menghulurkan bantuan kepada Abu Bakar malahan berpesan dengan saya, “kau maklumkan kepada aku apa saja perkembangan (Abu) Bakar,”
Tok Mat adalah Setiausaha Agung Umno yang bertanggungjawab memperkenalkan sistem komputer di Ib Pejabat Umno dan Tok Mat adalah satu-satunya menteri yang sanggup menjadikan dirinya ‘sebagai benteng’ mempertahankan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Perlahan-lahan, ketika saya bertemu dengannya d Kota Kinabalu, Allahyarham membisikkan kepada saya bahawa Dr. Mahathir berbuat tidak baik kepadanya dan beliau tidak akan lupakannya hingga ke mati.
Ketika wujud team wawasan dalam tahun 1993, Tok Mat menjadi sasaran banyak pihak kerana dakwaan mengatakan beliau telah menyalahgunakan Ibu Pejabat Umno untuk menyokong Anwar Ibrahim menentang Tun Ghaffar Baba (Allahyarham).
Buku tulisan Allahyarham, Umno – Akhir Sebuah Impian telah menjawab banyak tuduhan tidak betul terhadapnya.
Di kesempatan ini, saya mendoakan agar roh Allahyarham ditempat di kalangan para solehin. Jasanya yang terlalu besar kepada penyatuan orang-orang Melayu tidak mudah dilupakan. Kepada keluarganya, banyak-banyak bersabar menghadapi ujian Allah ini. AlFatihah.

Tiada ulasan: