Jumaat, 25 Disember 2009

Terengganu Disaran Tubuh Yayasan Khusus Basmi Kemiskinan

KUALA TERENGGANU, 22 Dis (Bernama) -- Kerajaan Terengganu diminta menubuhkan sebuah perbadanan atau yayasan khusus untuk menyelesaikan secara mutlak masalah kemiskinan di negeri itu yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Ketua pembangkang Datuk Harun Taib (Pas-Manir) berkata pada masa ini terdapat terlalu banyak agensi kerajaan yang bertanggungjawab membasmi kemiskinan tegar di Terengganu sehingga berlaku kecelaruan tugas sedangkan bilangan rakyat miskin di negeri itu masih lagi ramai.

Ketika membahaskan bajet negeri 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selasa, beliau berkata jumlah penduduk miskin di negeri itu adalah yang paling tinggi di Semenanjung.

Katanya setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang banyak untuk membasmi kemiskinan, namun masalah itu tidak pernah selesai sekaligus.

"Apa kata kita wujudkan satu perbadanan atau yayasan, serah semua sekali kepada mereka untuk selesaikan soal ini, daripada buat bancian di kampung-kampung sehinggalah usaha membantu mereka.

"Ia tidak melibatkan atau menyusahkan banyak pihak seperti yang berlaku hari ini. Mungkin cara ini akan libatkan peruntukan yang banyak sekaligus namun ia lebih fokus dan tidak perlu diulang benda yang sama tiap-tiap tahun," kata Harun.

Katanya pendekatan lebih fokus juga perlu diguna pakai untuk isu lain seperti meningkatkan sektor pertanian dan mengurangkan kes jenayah.

"Tiap-tiap tahun kita berhadapan dengan masalah sama, kenapa tidak kita fokus dan selesaikan satu persatu masalah-masalah ini, tahun depan kita sudah boleh tumpu kepada perkara lain pula," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: