Rabu, 30 Disember 2009

SPRM perlu tampil siasat Dr M, Pak Lah

Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Dis 30 — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mengambil langkah awal menyiasat dua bekas perdana menteri berhubung pendedahan dalam buku tulisan wartawan Barat dan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri selepas kerajaan memutuskan tidak perlunya suruhanjaya siasatan diraja.

Malah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga digesa agar mengambil tindakan proaktif ekoran pendedahan tersebut membabitkan Dr Mahathir dan pengganti beliau Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 manakala Abdullah pula sehingga April 2009.

Semalam perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata suruhanjaya diraja tidak perlu ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan buku "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times" tulisan Barry Wain kononnya Dr Mahathir telah membazirkan RM100 bilion.

"Ada saja saranan ditubuhkan suruhanjaya diraja... tetapi dalam hal ini, tak wajar dicadangkan suruhanjaya diraja ditubuhkan semata-mata kerana ada orang menulis sebuah buku.

"Apa yang penting ialah bagi kita melihat masa depan. Semua perdana menteri telah memberi sumbangan yang besar. Jika tidak, Malaysia tidak akan menjadi maju seperti sekarang sehingga dianggap sebagai satu contoh," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Husam Musa berkata jika SPRM dan mana-mana badan siasatan sedia ada cekap, mereka patut menemui Dr Mahathir sekarang sekalipun suruhanjaya diraja belum terbentuk.

"Tugas SPRM tidak mengenal masa. Bahkan PAC juga patut bersidang dan meneliti isu ini," kata beliau dalam tulisan blognya.

Exco kerajaan negeri Kelantan itu menyoal "mengapa SPRM tidak menemu bual D. M?"

"Mungkin beliau mempunyai maklumat terpilih. Jika tidak, masakan beliau terus-terusan menekankan isu ini.

"Gagalnya SPRM mengambil sebarang tindakan tidak boleh difahami," katanya lagi.

Sehubungan itu tambah Husam, cabaran Dr Mahathir untuk dirinya dan Abdullah disiasat wajar disokong.

"Angka RM270 bilion yang disebut oleh Dr Mahathir amat besar.

"Benar atau tidak Pak Lah telah menyalahgunakan wang ini, amat perlu ditentukan.

"Siasatan adalah langkah adil untuk semua pihak, sekiranya siasatan membuktikan Pak Lah tidak bersalah seperti disangka, ia baik untuk diri beliau.

"Maruahnya dapat dipulihkan," katanya.

Selama menjadi perdana menteri kata Husam, jarang Dr Mahathir boleh bersetuju dengan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja.

"Bila Dr Mahathir berseuju, menunjukkan isu ini amat besar dan penting," katanya.

Oleh kerana Dr Mahathir mengenakan syarat agar beliau dan Abdullah disiasat bersama, kata Husam, tidak ada sebab rakyat Malaysia tidak boleh bersetuju.

"Bahkan syarat ini munasabah, patut dan wajar. Sekurang-kurangnya Dr Mahathir berteman.

"Saya yakin Dr Mahathir mempunyai maklumat sahih apabila beliau bersuara," katanya.

Husam juga menulis jika personaliti yang berhadapan dengan tuduhan sedemikian sudah bersetuju untuk disiasat maka kerajaan tidak wajar untuk tidak bersetuju.

"Pak Lah juga patut bersetuju supaya nama baiknya boleh dibersihkan dan beliau bertindak berani kerana benar.

"Tinggal lagi, siapa patut mengambil inisiatif menjayakan hasrat murni ini?" katanya.

( Dipetik dari http://www.themalaysianinsider.com/ )

Tiada ulasan: