Sabtu, 5 Disember 2009

Dakwa Umno ‘busuk hingga ke ususnya’ dibuat oleh orang ‘lebih busuk’

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

JIKA dibiarkan kenyataan bekas Perdana Menteri (PM), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan dia terkejut apabila mendapat riaksi daripada seorang bekas pemimpin kanan Umno mengatakan ‘parti itu busuk hingga ke ususnya’, ia akan dipercayai sebagai sesuatu yang benar.
Padahal, hakikatnya tidak begitu. Boleh dikatakan semua bekas pemimpin Umno (baca: bukan semua) akan mendakwa mereka lebih pandai dari orang lain. Kononnya, dia sahajalah (bekas pemimpin ini) yang betul, yang pandai, yang jujur dan yang ikhlas berkhidmat kepada rakyat.
Termasuk Dr. Mahathir sendiri, dia juga bersikap seperti itu, menyerang Umno selepas dia merasai pelbagai nikmat dan rezeki dari Umno yang dia pernah dipecat dan kemudiannya dia sendiri bertindak keluar dari Umno.
Sebagai seorang pemerhati politik, saya sendiri melihat dan berjumpa dengan ramai bekas pemimpin. Bekas di sini, saya maksudkan ialah bekas ketua bahagian, bekas Ahli MT, bekas Naib Presiden, bekas Timbalan Presiden dan termasuklah bekas Presiden, mereka sebenarnya tidak dapat menerima hakikat, zaman mereka sudah berlalu.
Yang sebenarnya, yang busuk ialah mereka ini. Mereka bukan sahaja busuk hingga ke usus, malahan busuk dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Usahlah mahu menyalahkan ketua-ketua cawangan kononnya menyekat kemasukan kalangan professional ke dalam Umno. Usahlah diungkit jawatan Pengerusi dan Setiausaha JKKK sebagai alasan mengapa Umno menjadi semakin lemah. Bohong semua itu!
Yang melemahkan dan membusukkan Umno ialah orang-orang yang sentiasa merasakan dirinya sahaja yang mampu memimpin Umno dan kerajaan, sedangkan orang lain tidak.
Ambil contoh di Terengganu. Apabila berlaku pertukaran Menteri Besar dari Datuk Seri Idris Jusoh kepada Datuk Ahmad Said, mereka yang bergelar pemimpin, bergelar YB dan berpangkat Datuk membuat onar hingga menampakan Umno di Terengganu bermasalah.
Siapa yang membuat onar ini? Antaranya bekas Menteri Besar, bekas Exco, bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dan mereka yang tewas di peringkat bahagian.
Lihat di Perlis. Apabila berlaku pertukaran Menteri Besar dari Datuk Seri Shahidan Kassim kepada Datuk Seri Md Isa Sabu, ada bekas Setiausaha Agung Umno yang didakwa oleh bekas Ketua Penerangan Umno Negeri Perlis sebagai pengacau dan penyebab kepada tindakan beribu-ribu ahli Umno mahu keluar parti.
Satu perkara yang boleh diambil perhatian di sini, kepada bekas pemimpin Umno, sama ada mereka ‘kanan’ atau ‘kiri’, apabila sudah menjadi bekas pemimpin, belajarlah menjadi penyokong yang baik dan jangan sibuk-sibuk mahu menjadi penasihat kepada sesiapa.
Ingat! Nasihat yang berguna adalah nasihat yang diminta. Jika kita tidak diminta menjadi penasihat, jika pandangan dan nasihat kita tidak diminta, tutup mulut rapat-rapat. Jangan menyibuk tetapi janganlah pula terasa kononnya mereka sudah tidak berguna lagi.
Mereka ini semuanya berguna tetapi kegunaan mereka hanya sebagai penyokong, bukan sebagai pencacai yang sibuk ke sana ke sini memburuk-burukkan parti dan kepimpinan yang ada. Termasuk Dr. Mahathir, tidak usahlah memanjangkan lagi cemuhan bekas pemimpin kanan Umno yang tidak sedar diri itu melalui tulisannya dalam blog dan sebagainya.
Walau apapun niat Dr. Mahathir ketika menulis semula reaksi bekas pemimpin kanan Umno itu, ia sebenarnya satu perbuatan (kerja) yang tidak baik buat Umno dan penyokong-penyokong Umno akan terus dikelirukan oleh bekas-bekas pemimpin mereka.
Amatlah malang nasib Umno kerana mempunyai mereka yang jenis lupa daratan, pentingkan diri sendiri dan asyik mahu mendabik dada kononnya mereka sahaja (bekas pemimpin ini) yang mampu, berkemampuan dan berkebolehan menerajui Umno.
Bagi saya, mereka ini sebenarnya adalah golongan yang tidak tahu berterima kasih kepada Umno sebaliknya menggunakan bahasa yang indah kononnya “merekalah sahaja yang amat sayangkan Umno” tetapi para pemimpin baru yang ada sekarang, tidak sehebat mereka dan tidak tahu mengemudikan Umno.
Kepada Dr. Mahathir dan bekas pemimpin kanan Umno yang mendakwa Umno busuk hingga ke ususnya, saya ingin memberitahu mereka bahawa merekalah sebenarnya yang busuk hingga ke ususnya malahan lebih teruk dari itu ‘busuk dari hujung rambut hingga ke hujung kaki’.

Tiada ulasan: