Selasa, 22 Disember 2009

ADUN Alor Limbat : Kalau tak mahu jawatan, lepaskan!


Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

TERKEJUT! Inilah perkataan yang paling sesuai digunakan sebaik sahaja terbaca jawapan bertulis Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kepada soalan ADUN Pas Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut mengenai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) yang tidak bermesyuarat sepanjang 2008.
Maklumlah, selama ini ketika kecoh isu Geng 10 di Terengganu, antara anggota Geng 10 yang paling lantang bercakap soal kelemahan Menteri Besar Terengganu ialah ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah.
Kadang-kadang, antara perkaan yang digunakan “saya bukan cap ayam” dan kemudiannya ditafsirkan oleh orang lain, kononnya Alias membayangkan sesiapa yang bersama-sama Menteri Besar, menjalankan pentadbiran kerajaan Negeri Terengganu, sebagai “cap ayam”.
Tentu ramai yang memikirkan bahawa dalam Geng 10, ramai yang layak menjadi Menteri Besar Terengganu jika berlaku pertukaran Menteri Besar akibat serangan tidak masuk akal ini, tetapi apabila membaca kenyataan Menteri Besar yang PAC Terengganu tidak bermesyuarat langsung sepanjang 2008, barulah orang ramai tahu siapa sebenarnya “cap ayam” yang tulen.
Jawatan Pengerusi PAC Terengganu kini disandang Alias Abdullah. Agaknya apabila PAC gagal bermesyuarat, ramai yang memikirkan bahawa Alias tentunya sibuk dengan agenda Geng 10. Maklumlah, masing-masing berangan-angan mahu menjadi Menteri Besar Terengganu. Dulu, antara yang disebut-sebut termasuklah Datuk Rosol Wahid tetapi Rosol menafikannya.
Kemudiannya naik pula nama Datuk Din Adam, tetapi selepas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menamakan Din sebagai Pegawai Khasnya, isu dia sebagai calon MB Terengganu dari kalangan Geng 10, tenggelam begitu sahaja.
Bekas PA kepada Din ketika dia menjadi Exco Belia dan Sukan Negeri Terengganu dalam era kepimpinan Datuk Seri Idris Jusoh, menulis dalam blognya bahawa Din jenis manusia yang tidak boleh dipercayai. Tidak berani berjuang hingga ke penghujung jalan.
Minta dijauhkan Allah, mudah-mudahan orang-orang seperti mereka ini (baca: mereka) tidaklah berjaya mencapai cita-cita peribadi masing-masing mahu menjadi MB Terengganu. Jika diberi amanah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-KIra Wang Negeri pun gagal mengadakan mesyuarat, bagaimanalah agaknya kalau mereka (baca: mereka) berjaya menjadi Menteri Besar.
Kepada seluruh rakyat negeri Terengganu, berdoalah ke hadrat Allah semoga dijauhkan dari bencana dengan perangai mereka (baca: mereka) ini, mahu jawatan, terima jawatan, pegang jawatan tetapi tidak menjalankan tugas dan tidak bertanggungjawab.
Betul kata bijak pandai, orang yang tidak bekerja sahaja yang pandai mencari salah orang lain hingga berjaya menyusun fitnah seolah-olah mereka yang bekerja dilihat seperti membuat salah tetapi mereka yang tidak bekerja dilihat seperti orang yang tidak bersalah.
Memanglah. Apabila mereka tidak melakukan apa-apa, mana mungkin mereka melakukan kesalahan. Tetapi mereka yang berbakti dan bekerja untuk rakyat difitnah, diserang, dicaci dan digambarkan sebagai seorang yang tidak berguna kepada rakyat.
Kerja-kerja Geng 10 inilah yang menyebabkan kepimpinan di Kuala Lumpur terpengaruh melantik Hishammuddin menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu sedangkan jawatan itu yang sebelum ini disandang Datuk Ahmad Said tidak ada cacat celanya.
Cuma, yang cacatnya ialah selama Datuk Ahmad Said menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Ketua Umno Bahagian Besut, Idris Jusoh tidak pernah hadir bermesyuarat walau sekali pun. Agaknya, tingkah laku Idris yang enggan hadir bermesyuarat itulah yang menjadi ikutan dan contoh kepada ADUN Alor Limbat Alias Abdullah yang gagal mengadakan mesyuarat PAC sepanjang 2008.
Apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tidak Nampak KPI ADUN ini? Perlukah orang seperti ini dikekalkan bertanding di DUN Alor Limbat dalam PRU 13 akan datang?
Janganlah hendaknya orang-orang seperti ini, walaupun tiba-tiba muncul setelah sekian lama menyembunyikan diri, muncul dengan ‘ledakan bom’ yang tidak sepatutnya digugurkan diterima sebagai calon kepada BN yang mahu mengamalkan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Datuk Ahmad Said sendiri yang dikenali sebagai seorang pemaaf, jangan mudah sangat menerima ‘kemaafan’ kerana keikhlasan Geng 10 ini perlu diragui.
Alangkah baik jika Alias yang jenis bukan cap ayam melepaskan sahaja jawatan Pengerusi PAC negeri untuk diberikan kepada orang lain yang lebih bertanggungjawab dan ikhlas mahu memberikan khidmat kepada negeri!

Tiada ulasan: