Rabu, 25 November 2009

'IBU' SEGALA MINI-PARLIMEN

Bila rakyat mula menaruh minat dengan politik, maka tumbuhlah mini parlimen di merata tempat. The Mall ini hanya satu daripadanya. Di luar sana, entah ada berapa ribu, atau puluh ribu lagi; baik di kedai kopi, warung, tangga surau atau kepala simpang.

Barangkali The Mall boleh dianggap ‘ibu’ kepada semua mini-parlimen lain di Malaysia. Di sini, ‘usul’ dari segenap ceruk Malaysia akan dibincangkan oleh ‘ahli-ahli dewan’ (dan juga ‘ahli-ahli cawan’). Selalunya hangat-hangat, sehingga sejuk air yang di depan.

-
Cantiknya di Mall ialah kerana kedudukannya begitu strategik - dikelilingi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Seri Pacific dan Legend Hotel bertaraf 5 bintang.

Di situ juga ada hotel 3 bintang, 1 bintang dan juga bertaraf tahi bintang. Mana yang tinggal hotel-hotel jauh sikit seperti di sekitar Kompleks Damai atau di Chow Kit misalnya, tetap akan menapak ke Mall untuk menyertai parlimen bebas di situ yang sentiasa meriah dengan topik baru.

Yang pastinya topik perbincangan tidak pernah terhad. Tajuknya macam-macam. Dari yang betul sampailah ke yang tidak. Cerita-cerita lucu turut mendapat tempat sebagai selingan untuk kawan-kawan menyapu sarang labah-labah yang tumbuh dalam dada apabila mereka berdekah-dekah ketawa.

Korumnya pun tak terhad. Tengok musim dan keadaan. Ada masa bersambung tiga empat meja. Tapi ada masa pula, dua orang pun jadik!

Lebih menarik lagi, di Mall juga tempat paling selesa untuk semua peringkat termasuk menteri, timbalan menteri, wakil rakyat, bekas-bekas YB. Semuanya turut singgah untuk berkawan dengan ‘ahli-ahli parlimen’ di situ. Setakat ini Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri belum lagi kelihatan sudi menjejakkan kaki. Wakil-wakil mereka, atau yang mengaku wakil mereka, ada la.

Dan masanya mungkin sampai bila mana mereka sendiri akan turun ke mini-parlimen The Mall ini.

Mini parlimen ini tidak sahaja bertumpu di sudut pintu utama Hotzs Cafe, tetapi termasuklah Secret Recipe, Kopi Tiam di tingkat 4, Medan Selera juga tingkat 4, Sembang-Sembang (anjuran PPIM), atau di medan makan di tingkat bawah.

Seronoknya bersidang di The Mall ialah sambil bercakap boleh mencuci mata. Bayangkan, sekejap melintas yang begini, sekejap yang begitu; sekejap yang seksi, sekejap yang gebu...

Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pun tak ada peluang nak jamu mata macam tu.

Dua tiga hari ini kebelakangan ini, bajet negara menjadi antara topik hangat yang dibahaskan di mini-parlimen ini. Ada yang mengatakan bajet itu hanya satu angan-angan sahaja. Soal boleh implimen atau tidak, soal lain. Yang penting, mesti dibentangkan kerana ia perkara wajib.

Ada yang lebih bijak dari PM sendiri menghuraikan perinciannya menghalusi bajet yang dibentangkan itu. Termasuklah mereka yang tidak mengikutinya langsung, tapi menyampuk dengan penuh konfiden...



-ZAKARIA BIDIN

(Dipetik dari http://www.paradigma.com.my)

Tiada ulasan: