Khamis, 3 September 2009

Sudah main ugut-ugut, masih nak simpan mereka ini?

Oleh Wan Yusof Haji Wan Ngah

BERITA ‘gembira’ yang Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin terima dengan kunjungan untuk berbuka puasa di Masjid Sultan Mahmud Hulu Terengganu di Kuala Berang, 3 September yang juga 13 Ramadan ialah pengesahan dari ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang ada berjumpa dengan Sembilan ADUN Umno dari Terengganu, baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, khabarnya ADUN-ADUN yang mempunyai sejarah tersendiri memboikot persidangan DUN Terengganu, April lalu mahu menggugut kepimpinan negara, jika tidak memenuhi tuntutan mereka, mereka tidak menolak untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.
Khabarnya, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, yang kemampuan kepimpinannya dipertikaikan salah seorang ADUN Umno dari Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga dikatakan turut menghadiri majlis berbuka puasa dan solat Terawih di Masjid Kampung Telok Menara, Manir hari yang sama.
Kedua-dua pemimpin ini ‘akan diserang’ oleh jurucakap ADUN-ADUN pembuat masalah ini untuk mendesak supaya jawatan Penyelaras DUN diberikan kepada mereka dan perlantikan JKKK hendaklah diserahkan kepada mereka.
Jika ugutan ini berjaya, mana-mana ADUN di mana-mana sahaja, jika bermasalah dengan ketua bahagian, hendaklah mengugut kepimpinan negara, insyaAllah, ugutan mereka akan dilayan. Ketika ini, tiada siapa yang berani untuk ‘mengenakan tindakan atau memberi amaran’ kepada ADUN-ADUN pembawa masalah di Terengganu ini.
Mereka dilayan secara istimewa jika ke Kuala Lumpur dan mereka bermaharajalela ketika di Terengganu. Jika mereka suka mahu ke persidangan DUN, mereka pergi. Jika mereka tidak suka bercakap dalam persidangan DUN, mereka berdiam diri. Ikut suka hati mereka, macam Dewan Undangan Negeri Terengganu, hak peribadi keturunan dan keluarga mereka.
Siapa yang berani menegur? Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang rajin bercakap, termasuk menyuarakan hasrat kakitangan kerajaan menuntut bonus menjelang Hari Raya kepada Perdana Menteri, juga tidak pernah mahu bercakap bagi pihak parti, dalam isu ADUN-ADUN di Terengganu ini.
Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula sudah berjanji mahu mententeramkan kemelut politik di Terengganu dalam masa terdekat manakala Muhyiddin mengakui sudah mengetahui yang sembilan ADUN Terengganu ini mengadakan pertemuan dengan Anwar.
Cuma satu yang menarik untuk dibicarakan, kenapa masih ada rasa takut di hati Sembilan atau 10 ADUN yang tidak bersetuju dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, bertindak meninggalkan Umno dan menyertai PKR.
Kalau berani, bertindaklah. Kenapa mahu mengugut dan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada Umno Terengganu. Kalau masih sayangkan Umno, kenapa ‘buat masalah’.Mereka yang sayangkan Umno tidak akan bertindak secara ‘orang yang cetek fikiran’. Tidak guna pandai kalau penakut. Tidak guna bijak kalau penakut. Tidak guna buat heboh tunjuk hebat tetapi hati kecil masih ada rasa takut.
Barangkali 10 ADUN ini mahu melihat sejauh mana ‘ugutan’ mereka berkesan. Jika Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ‘ikut kehendak mereka’ bermakna mereka akan buat lagi selepas ini. Mungkin juga mereka, merasakan ‘hayat politik’ mereka sudah sampai ke penghujung menyebabkan mereka kena terus membuat onar.
Dari segi politik Umno, ugutan seperti ini sebenarnya perkara kecil. Umno sudah pernah menempuh ugutan lebih besar. Umno pernah menempuh zaman gerhana dengan kawan-kawan dalam komponen BN. Umno pernah diharamkan dan Umno pernah berpecah kerana kelahiran Parti Melayu Semangat 46.
Kes ugutan Geng 10 di Terengganu ini hanyalah kes ‘telor sebiji riuh sekampung’ sahaja. Rosol, Datuk Din Adam dan Nawi Mohamad bukan Tengku Razaleigh Hamzah, bukan Anwar Ibrahim dan bukan Tun Musa Hitam.
Mereka hanyalah ADUN yang diberi peluang oleh Umno bertanding di kawasan-kawasan selamat dalam Negeri Terengganu. Kebetulan, mereka menang walaupun mereka bukanlah ‘lagenda’ politik Terengganu seperti Tan Sri Ibrahim Fikri, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Kata orang Sumatera, ada mereka tak menambah, tak ada mereka tak mengurang. Kalau mereka ada keberanian, teruskan niat dan jangan main ugut-ugut. Tangan yang mencincang, mahu yang memikul. Kalau mereka berani buat, mereka tentunya berani tanggung!
Tunggu apa lagi?

1 ulasan:

anak bukit besi berkata...

Saya sbgai seorg ahli parti UMNO dpt merasakan bhwa hanya kelibat geng bebiri hitam ini shja yg suka membuat onar tapi sebhagian besar ahli@penyokong UMNO di Trg masih setia. Contohnya, YB Din di DUN Bkt Besi kini menghadapi penentangan yg jelas dr pengundinya di DUN t'but. Bermula dgn pemilihan di peringkat cawangan, beliau telah ditentang oleh pengundinya sendiri. Yang bersamanya hanyalah mereka yg penuh kurap dan sopak yg tertolak dr kaca mata rakyat di DUN Bkt Besi.
Para Pemuda sebilangan besar menolak gaya kepimpinan beliau yg bersifat sombong dan angkuh. Kepentingan peribadi sebilangan geng bebiri ini amat ketara dan jelas. Mereka kini hanya ada kekuatan kewangan hasil merampok kekayaan negeri sblm ini. Pihak tertinggi harus bijaksana menilai kemelut ini.Perjuangan utk rakyat harus diutamakan.