Rabu, 16 September 2009

Blogger biadap…wajar dikalungkan selipar ke tengkoknya

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

MEMBACA tulisan blogger biadap http://www.besutlonih.com – suara rakyat Besut bertajuk Seminggu tempoh untuk Ahmad Said mohon maaf… mewajarkan kita mencadangkan supaya blogger biadap ini dikalungkan selipar ke tengkoknya.
Membuat dakwaan kononnya rakyat Terengganu menjadi mangsa Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, khususnya di beberapa DUN yang diwakili ADUN-ADUN yang tidak sealiran dengan beliau, membuktikan ‘blogger sampah’ ini sesuai diberikan gelaran ‘lembu yang disediakan rumput’ untuk dia makan.
Penulis itu, ada namanya disebut dalam blognya, memberi tempoh seminggu kepada Datuk Ahmad, bagi menyindir tindakan Menteri Besar memberi tempoh serupa kepada sebuah akhbar arus perdana yang melaporkan sesuatu berita hingga menyentuh maruah Umno dan kerajaan negeri.
Tempoh yang diberikan kepada YAB Menteri Besar kerana melakukan penganiayaan terhadap rakyat di beberapa DUN yang dia sendiri tahu di mana DUN tersebut, mungkin, atas permintaan ADUN-ADUN berkenaan supaya blogger biadap ini menulis mengenainya.
Inikah suara anak Besut? Inikah cara rakyat Besut? Apakah anak-anak lelaki di Besut diajar menjadi biadap oleh orang-orang tua mereka? Atau, hanya blogger ini seorang sahaja yang biadap dan layak dikalungkan selipar ke tengkoknya tetapi yang lain-lain di Besut, manusia siuman yang tahu erti sopan santun?
Seorang teman mengingatkan saya supaya jangan melayan blogger dan penulis yang biadap seperti ini kerana jika dilayan, seolah-olah kita menghebohkan kebiadapannya hingga menarik perhatian ramai pelayar blog dan internet. Daripada orang tidak mengenalinya, tiba-tiba menjadi berminat untuk membaca tulisannya – menjadikan blog dan bloggernya popular!
Tidak! Bagi saya, saya akan menggunakan hujah untuk berdepan dan berlawan dengan blogger ini tanpa mengira waktu. Jika dia berterusan menghina orang lain, tidak kiralah siapa yang dia hina, saya tampil menawarkan diri untuk menyerang dan menghinanya.
Penulis dan blogger seperti ini, yang mendapat kurniaan Allah, mempunyai bakat untuk menulis, menyalah gunakan kebolehan dan kepandaiannya untuk mengadu dumba. Ini salah. Dia kena sedar, Datuk Ahmad Said yang dikatakan Menteri Besar bukan pilihan rakyat adalah Menteri Besar yang sudah ditentukan Allah kedudukan dan rezekinya.
Mustahil, tanpa izin Allah, seseorang itu boleh naik dan mendapat kedudukan yang baik. Sebenarnya, blogger biadap ini mempamirkan dirinya sebagai seorang yang tidak beriman. Dia hanya percaya kepada ketentuan Allah kalau orang Besut yang menjadi Menteri Besar.
Kalau orang Kemaman, dia akan serang, kutuk dan hina. Kononnya orang Kemaman tidak layak tetapi orang Besut, layak. Ini sifir bodoh dan biadap. Ini teori bangsat yang tidak boleh diterima akal. Ini satu penghinaan yang amat dahsyat dan tidak boleh dibiarkan.
Kita siapa mahu menentukan orang ini layak dan orang ini tidak layak. Jika ada orang Besut yang terpilih menjadi Menteri Besar, itu rezeki dia tetapi bukan kerana dia dilahirkan di Besut maka dia layak menjadi Menteri Besar tetapi kalau dia lahir di Kijal, Kemaman, terus tidak layak dan mahu dihina sesuka hati.
Datuk Ahmad Said ada penyokong. Beliau ada pengikut. Menteri Besar ada pegawai. Beliau juga ada keluarga. Jika mahu mengata dan mengutuknya, biarlah ada pertimbangan. Janganlah kita belasah sesuka hati, seolah-olah Menteri Besar ini sebatang kara.
Kalau beginilah orang Besut berfikiran, maknanya, minta dijauhkan Allah daripada berkawan atau rapat dengan orang Besut. Jika betullah orang Besut beranggapan memang Besut adalah sebuah negeri sendiri dan tidak sama dengan manusia lain di Terengganu termasuk yang datang dari Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Setiu dan Marang, mereka (orang-orang Besut) kenalah bertaubat. Mereka sudah tersesat jauh.
Sebenarnya, bumi Besut atau bumi Kemaman, semuanya adalah bumi Allah yang jadikan. Lahirlah di mana-mana pun di dunia ini, ukuran manusia yang baik di sisi Allah ialah mereka yang bertakwa. Bukan orang Besut sahaja boleh masuk universiti, orang Kemaman pun boleh juga. Bukan orang Besut sahaja boleh jadi Menteri Besar, orang Kemaman pun boleh juga. Jika orang Besut boleh menjadi Menteri, ada juga orang Kemaman yang layak, malahan lebih layak dari orang Besut jika dilantik menjadi Menteri.
Kepada blogger biadap, terimalah habuan ini saya tujukan kepada mereka yang keterlaluan apabila menghina orang lain.
Salam perjuangan dari saya di alam maya!

Tiada ulasan: