Selasa, 1 September 2009

Tulisan blogger ‘besutlonih’ dijawab

Oleh Wan Yusof Haji Wan Ngah

MEMBACA tulisan blogger ‘besutlonih’, terasa perlunya ada inisiatif untuk menjawab kerana jika dibiarkan, ia menyebabkan kekeliruan yang mungkin Berjaya ditimbulkan penulis seperti ini yang boleh disifatkan sebagai ‘katak di bawah tempurung’.

Bayangkan, ketika portal berita Malaysian Insider menulis ada pertemuan antara ADUN BN di Terenggani dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudiannya dinafikan jurucakap Geng 10, Datuk Rosol Wahid yang terkenal kerana menjadi orang yang paling kedepan dalam isu krisis dengan Istana Terengganu, tetapi disahkan oleh ADUN Hulu Besut, Nawi memang ada pertemuan dan perbincangan tetapi blogger itu, disebabkan lama duduk di bawah tempurung, mencadangkan supaya Geng 10 menyaman portal berita tersebut.

Macam mana nak saman, sudah ada salah seorang yang mengesahkan memang ada pertemuan dan perbincangan antara ADUN dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kenapa blogger ‘besutlonih’ tak peka? (Lihat laporan dalam Malaysiakini).

Dakwa penulis itu ‘pokok segala masalah’ ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said. Kononnya, ada ADUN yang tidak mendapat peruntukan. ADUN mana yang tidak mendapat peruntukan? Kenapa ADUN berkenaan beritahu blogger ‘besutlonih’ yang dia tidak dapat peruntukan? Kenapa dia tidak berjumpa dengan Menteri Besar?

Jika benar dia sebagai ADUN tidak dapat peruntukan, dia mengharapkan Menteri Besar datang berjumpa dengan dia, ini satu kesilapan besar. Dia kena pergi berjumpa dengan Menteri Besar. Adakah ADUN-ADUN ini (yang didakwa tidak mendapat peruntukan) tidak tahu di mana pejabat Menteri Besar?

Untuk makluman mereka, pejabat Menteri Besar masih pejabat lama, sama dengan pejabat Menteri Besar terdahulu. Tidak ada perubahan apa-apa dari segi alamat dan kedudukannya.

Kalau Menteri Besar tolak mana-mana ADUN nak jumpa, adukan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau, minta tolong daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Silaplah ADUN ni, kalau dia menjaga kawasan tidak dapat peruntukan dari kerajaan negeri kecuali dia tidak jaga kawasan tetapi dia saja-saja mahu menyalahkan Menteri Besar kononnya menyekat peruntukan bagi memberi gambaran kepada rakyat bahawa Menteri Besar jahat.

Kalau rakyat Terengganu dapat memikirkan dengan masak, matang dan waras, mereka tahu bahawa yang jahat dan pokok segala masalah ialah Geng 10. Mula-mula mereka buat macam-macam hal bertujuan menyulitkan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Kemudian mereka memboikot persidangan DUN Terengganu. Mereka bawa khabar angina yang berupa fitnah kononnya SMS mereka terima dari seorang pegawai dari Pejabat Menteri Besar Terengganu yang mengancam nyawa mereka.

Mereka berbondong-bondong ke Kuala Lumpur, menyusun serangan kepada Menteri Besar. Mereka panjat pejabat Perdana Menteri dan ke rumah Timbalan Perdana Menteri. Mereka senonok kerana mereka dilayan oleh Perdana Menteri dan mereka diterima oleh Timbalan Perdana Menteri.

Kesan pertama yang mereka dapat, jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu terlepas dari tangan Datuk Ahmad kepada Hishammuddin.

Bukan main seronok Geng 10 menerima berita ‘perlucutan’ jawatan Datuk Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu. Khabarnya mereka melonjak-lonjak gembira. Mereka sudah nampak ada unsur kejayaan dalam gerak kerja yang mereka lakukan.

Malahan, seorang blogger yang pro Geng 10 ini melalui blognya secara terang-terang meramalkan dalam masa terdekat, jawatan Menteri Besar yang disandang Datuk Ahmad juga akan terlucut. Khabarnya mereka sudah buat persiapan untuk mengadakan kenduri kensyukuran jika ia benar-benar terjadi. Ada yang sudah merancang mahu meraikan kejayaan melucutkan jawatan Datuk Ahmad Said di Jakarta. Tiket penerbangan juga sudah di’booking’.

Kepada rakyat Terengganu yang membaca tulisan ini, lapangkanlah dada, buka minda seluas-luasnya kerana ‘pokok segala masalah’ ialah Geng 10 dan mereka yang pro kepada kumpulan yang mahu merosakan situasi politik di Terengganu.

Secara biadap mereka ‘mahu menebang’ pokok masalah ini yang dengan bahasa mudahnya ‘mereka mahu membunuh karier’ politik Datuk Ahmad Said. Pernahkah keluar dari mulut Datuk Ahmad Said mengatakan mahu ‘menebang pokok masalah’ atau ‘menghumbankan Geng 10’ ke dalam gaung, kerana kemarahannya atas perangai mereka ini?

Jawapannya tidak pernah sama ada secara terbuka atau tertutup, keluar dari mulutnya. Ini kerana beliau seorang yang matang, bersifat sederhana, merendah diri dan berterus-terang. Ketika ditanya wartawan, apakah beliau akan mengambil tindakan terhadap mereka yang ‘mengacau’ pentadbirannya, Datuk Ahmad secara bersahaja menjawab; “saya tidak ada kuasa.”

Disebabkan penulis ini tidak tahu keadaan politik Terengganu, dengan pengakuan sudah ada ADUN yang mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pembangkang, maka jangan dilayan secara berlebih-lebihan. Banyak benda yang dia tidak tahu tetapi tidak boleh juga dbiarkan dia menulis ikut suka-suka hati dia kerana implikasi kepada mereka yang ‘setaraf dengannya’ cukup buruk.

‘Mental block’ orang-orang seperti penulis ini diwarisi oleh mereka dari pemimpin mereka yang mereka sanjung kononnya mereka adalah pemimpin bertaraf dunia dan pencipta tamadun. Jadi, ketika mereka menggunakan istilah ‘kaduk naik junjung’ buat Datuk Ahmad Said, penulis ini dan pemimpin-pemimpin mereka termasuk Geng 10, adalah dari kalangan ‘katak di bawah tempurung’. Mereka ingat, tempurung itulah dunia mereka. Mereka ingat, kampong merekalah dunia yang paling luas dan mereka ingat, tiada lah dunia yang lebih luas dari tempurung yang menutup ‘kepala mereka’.

Bagi berlaku adil kepada semua, diturunkan petikan tulisan dalam http://besutlonih.com yang diposting pada 31hb Ogos 2009.

Monday, August 31, 2009

Sembang-Sembang Di Pagi Merdeka...

SEMBANG-sembang di pagi Merdeka, hari ini genaplah 52 tahun negara kita tercinta yakni Malaysia Merdeka dalam kesempatan ini penulis mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan menjadi tema sambutan hari kemerdekaan kita pada kali ini.

Pada pagi ini penulis tidak mahu bercakap panjang lebar mengenai kemerdekaan kerana mengenai kemerdekaan penulis sudah membuat artikelnya di blog Suara Generasi Muda Malaysia jadi eloklah jika penulis terus kepada isu-isu lokal di Terengganu yang penulis ketinggalan sedikit untuk mengulas isu-isu yang berlaku.

Baru-baru ini kecoh di Terengganu apabila Malaysia Insider mendakwa bahawa Harun Taib bakal MB kerana ada ADUN yang tidak berpuas hati dengan Menteri Besar yang ada sekarang yakni Datuk Ahmad Said, diikuti pula dengan akhbar Siasah yang menjadikan Harun Taib Bakal MB sebagai tajuk utama akhbar itu. Namun perkara itu telah dinafikan oleh Datuk Rosol Wahid dan juga Harun Taib sendiri. Penulis berpandangan pihak-pihak yang terbabit dengan dakwaan Malaysian Insider itu bolehlah mengemukakan saman kerana membuat dakwaan palsu yang boleh menjejaskan arus politik di Terengganu.

Bagi penulis krisis dalaman yang berlaku di Terengganu ini tidak akan selesai selagi 'Pokok Segala Masalah' yakni Ahmad Said tidak ditebang, kerana menjadi punca kepada krisis kepimpinan di Terengganu ini ialah Ahmad Said yang jadi Menteri Besar seolah-olah kerana beliau seorang sahaja yang berkuasa, ADUN tertentu disekat dan dipulaukan oleh Ahmad Said dan malah ada yang tidak mendapat peruntukkan. Inilah yang dinamakan 'kaduk sudah menaiki junjung'.

Bagi penulis buat sahaja pun untuk mengembalikan BN Terengganu dalam keadaan asal pun tiada guna selagi Ahmad Said yang menjadi punca masalah ini tidak ditumbangkan. Namun penulis tidak bersetuju dengan acara lompat-melompat ini, ia bukan jalan penyelesaiaan, adalah lebih baik mereka mengusulkan undi tidak percaya, ini adalah cara yang terbaik buat mereka.

Nasihat penulis kepada Ahmad Said ialah kalau orang tak suka buat apa tunggu lagi, jangan jadi Menteri Besar yang syok sendiri, jangan leka dengan kuasa, kalau orang dah tak suka, orang tetap tak suka dah jangan berlengah lagi letak jawatan sekarang dengan rela.

Tiada ulasan: