Jumaat, 21 Ogos 2009

Geng 10 sambut Ramadan dengan memohon ampun dari Umno



Oleh Ujang Shamsul Bahri

SELAMAT menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak kepada anggota Geng 10 yang mungkin boleh menyebabkan mereka terbuka pintu hati mereka untuk memohon keampunan dari Umno yang mereka khianati secara sedar.

Walaupun mereka akan mempertahankan diri masing-masing kononnya mereka tidak mengkhianati Umno tetapi tindak-tanduk mereka selama ini, menunjukkan mereka adalah golongan yang cetek fikiran dan pengkhianat.

Bayangkan Umno yang meletakkan mereka dikedudukan masing-masing sekarang tetapi sampai masanya, mereka sanggup memboikot persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, April lalu hanya kerana mahu membuktikan kepada seseorang yang sokongan terhadap individu mengatasi sokongan kepada Umno.

Kalau mereka semua boleh mencerminkan muka masing-masing, menggunakan cermin besar, mungkin mereka boleh nampak wajah mereka, bukan sahaja tidak layak menjadi ADUN, malahan, tidak layak untuk menjadi pemeriksa kira-kira sekali pun dalam NGO kecil-kecil yang tidak popular.

Umno memilih mereka dari puluhan ribu ahli parti, namun mereka tidak sedar diri. Mereka tidak tahu berterima kasih. Mereka tidak tahu menghormati Perlembagaan. Mereka tidak berfikir panjang dan mereka sanggup menderhaka kepada Institusi Kesultanan Terengganu.

Kerana perangai mereka, kerana fitnah mereka dan kerana perbuatan mereka, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak yang juga Presiden Umno terpaksa melantik Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.

Hishammuddin yang terlalu banyak tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri, Naib Presiden Umno, Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno, Ketua Umno Bahagian Sembrong dan Ahli Parlimen Sembrong terpaksa berulang alik ke Kuala Terengganu kerana tugas dan tanggungjawab baru ini.

Kononnya, ada beberapa orang dari anggota Geng 10 melompat-lompat gembira apabila Najib mengumumkan nama Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, hingga menyebabkan dua orang dari anggota Geng 10 menyambut kedatangan Hishammuddin ke Kuala Terengganu ketika mula-mula mahu mengadakan mesyuarat Badan Perhubungan.

Malangnya, mereka yang melompat-lompat gembira dengan perlantikan Hishammuddin itu, tidak pula kelihatan menghantar Hishammuddin ketika mahu pulang semula ke Kuala Lumpur kerana Hishammuddin tidak melantik salah seorang dari mereka (Geng 10) memegang jawatan penting dalam Badan Perhubungan.

Orang-orang ini, bercakap lantang di depan Hishammuddin untuk mengutuk dan menghina Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang disaksikan sendiri Datuk Ahmad dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, dengan tujuan Hishammuddin menyampaikan semua keburukan Datuk Ahmad kepada Najib.

Bukan setakat itu, mereka mahu Datuk Ahmad digantikan sebagai Menteri Besar kerana mereka (Geng 10) merasakan mereka dalam Geng 10 jauh lebih layak menjadi Menteri Besar dari Datuk Ahmad.

Mereka (Geng 10) lupa bahawa kuasa melantik Menteri Besar bukan kuasa Hishammuddin dan bukan kuasa Idris Jusoh. Kuasa melantik Menteri Besar juga bukan kuasa Datuk Rosol Wahid dan bukan kuasa Datuk Din Adam. Namun, walaupun mereka tahu bukan kuasa mereka membuat perlantikan itu tetapi mereka (Geng 10) tetap mahu membuat onar hingga Datuk Ahmad digugurkan.

Kalaulah mereka (Geng 10) diberi inayah oleh Allah, menjelang Ramadan al-Mubarak ini, mereka insaf atas keterlanjuran yang mereka lakukan dan memohon keampunan dari Umno yang mereka khianati. Kerana tindak-tanduk mereka, Umno di Terengganu benar-benar dilihat sedang dilanda kemelut.

Mereka nampak macam-macam Datuk Ahmad melakukan kesilapan tetapi mereka buat-buat tidak nampak bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak runtuh. Mereka lupa, siapa yang membuat perlantikan kontraktor, siapa yang memilih kawan-kawan sendiri menjadi kontraktor dan mereka buat-buat tidak tahu, angkara siapa yang tersilap memilih kontraktor menyebabkan bumbung itu runtuh.

Mereka cari apa juga tindakan dan keputusan Datuk Ahmad yang mereka anggap sebagai ‘bahan’ untuk mereka himpun dan kumpulkan bagi dijadikan bahan aduan kepada Perdana Menteri, sedangkan mereka tahu ada seorang Setiausaha Kerajaan Negeri (SS) teraniaya dalam zaman Idris menjadi Menteri Besar.

Tidak hairanlah di Kuala Lumpur, geng 10 membawa cerita perlantikan kontraktor membina bumbung stadium ini dibuat oleh bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Maknanya, orang-orang dari Geng 10 dan orang-orang yang menyokong Idris tidak pernah mahu menghentikan cerita-cerita seperti ini, sebaliknya mempertahankan diri masing-masing dengan menyalahkan orang lain.

Lebih menyedihkan, ada yang membuat gurauan kononnya di dalam era kepimpinan Datuk Ahmad tidak ada benda yang akan runtuh kerana tiada pembangunan dilaksanakan di zaman ini. Mereka seolah-olah berbangga dengan keruntuhan bumbung stadium kerana ia membuktikan pembangunan amat rancak dalam zaman Idris menjadi Menteri Besar, di zaman Rosol menjadi Exco, di zaman Din Adam bekas Juruteknik Rendah menjadi Exco Belia dan Sukan dan di zaman Datuk Wan Hisham Wan Salleh menjadi Exco.

Jangan terkejut, jika Geng 10 akan kembali insaf dan sedar dalam bulan Ramadan al-Mubarak yang mulia ini dengan inayah Allah tetapi jika mereka masih tidak sedar, sama-samalah kita berdoa semoga Allah mengampunkan dosa mereka dan kembali ke jalan yang benar – selari dengan perjuangan Umno, Bersatu Bersetia dan Berkhidmat!

Tiada ulasan: