Sabtu, 25 Julai 2009

Hashim Jasin Puji Md Isa Sabu… ada makna tu


Oleh Ahmad Hj Ishak
citra-bangsa@yahoo.com

PENULIS terkenal masa kini, Hambali Abd Latif dalam blognya http://hambali1.blogspot.com menulis Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Hashim Jasin memuji kepimpinan Menteri Besar, Md Isa Sabu.
Sejak awal Hambali terjun ke dunia blogger atau blogging, saya memang meminati cara persembahan penulisannya dan inilah satu-satunya blog yang jarang-jarang saya tinggalkan sekiranya saya melayari dunia maya.
Namun, apabila saya terbaca tulisannya mengenai Hashim Jasin (ADUN Sanglang) memuji dengan kata-kata; “Saya selesa menjadi ADUN di bawah kepimpinan Md Isa,” banyak spekulasi timbul.
Pertama, kerana Hashim menang kerusi Sanglang atas ‘rasa bertolak ansur’ BN kepadanya apabila tuntutannya berjaya di mahkamah. Kemenangan calon BN Abdullah Hassan dengan majoriti 149 dibatalkan.
Dalam PRU 11, 21 Mac 2004, Hashim menang kerusi ini dengan majoriti 45 undi dan di bawah kepimpinan Md Isa yang penuh kontroversi, sejak hari pertama perlantikannya menjadi Menteri Besar, Hashim sudah dapat bayangkan, Pas akan menguasai Perlis dalam PRU 13 akan datang.
Sebagai Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim tentunya punya strategi menawan Perlis. Dari perkiraan Pas dan Pakatan Pembangkang, lebih mudah mengalahkan BN di Perlis di bawah pimpinan Md Isa daripada di bawah Datuk Seri Shahidan Kassim.
Md Isa mungkin merasakan pahit kritikan Shahidan dan terasa manisnya puji-pujian dari Hashim. Sebagai seorang pengidap ‘kencing manis’ Md Isa tentulah memerlukan ubat yang pahit daripada gula yang manis untuk menjadi penawar.
Dalam politik Pas, kekuatan pengaruh Shahidan di Perlis cukup merisaukan. Timbalan Mursyidul Am Pas dan seorang pakar perubatan Islam terkenal, Datuk Dr. Harun Din sendiri tidak pernah berjaya mencari kemenangan di Arau.
Salah satu dialog dalam filem Madi Tiga arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, “baik, baik ada makna tu…” cukup sesuai dibandingkan dengan puji-pujian yang diberikan Hashim kepada Md Isa.
Pertelingkahan dalam Umno Bahagian Kangar sendiri dilihat akan menyumbang kepada kekuatan Pakatan Rakyat dalam PRU 13 dan Md Isa dilihat gagal menyelesaikannya walaupun sudah mempunyai penasihat yang pernah menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Radzi Sheikh Ahmad.
Md Isa menafikan dia ada melantik ‘tukang maki’ dalam Umno Perlis tetapi kegagalannya membendung penyokong-penyokongnya bercakap kasar dan tidak berhemah membuktikan kelemahannya.
Mempertahankan imejnya dengan dibayangi pengaruh Radzi yang sudah ditolak kepimpinannya di Kuala Lumpur dan tidak lagi dilantik menjadi Setiausaha Agung Umno menunjukkan ‘karier politiknya’ sudah di ambang senja.
Shahidan yang mungkin tidak disenangi Radzi dan Hashim kerana dilihat tidak berkompromi dengan ‘virus perpecahan’.
Berbeza dengan ‘mereka’, perpecahan adalah ‘kehidupan politik’ mereka. Tidak ada maknanya kalau mereka mahu berpolitik, tetapi tidak ada perpecahan. Maknanya, mereka hidup selagi rakyat berpecah-belah.
Sedaya upaya, mereka mahu memadamkan rekod kehebatan kepimpinan Shahidan di Perlis. Dalam PRU 12, ketika BN tumbang di Kedah. Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan dan hilang majoriti 2/3 di Negeri Sembilan, Umno dan BN Perlis gagah.
Ketika Shahidan sibuk untuk memastikan kekuatan Umno dan BN kembali kuat kesan tsunami politik, mereka yang lain bekerja keras mahu merampas kuasa dan mencari kedudukan. Mereka sedar, kerja-kerja itu bukan merugikan Shahidan tetapi sebenarnya menjejaskan Umno.
Orang-orang ini bukan mempunyai apa-apa perasaan kasih sayang kepada Umno kerana mereka boleh melompat ke Parti Melayu Semangat 46 ketika Umno bermasalah dan masuk semula kepada Umno apabila Umno kembali kuat, tidak menunjukkan kesetiaan mereka berterusan kepada Umno.
Orang Melayu mungkin mudah lupa tetapi bukan semua Melayu mudah lupa. Semua sejarah ini masih segar terpahat dalam ingatan orang-orang Melayu, khususnya di Perlis. Mereka ingat bagaimana Kangar dan Arau suatu ketika dahulu macam Korea Utara dan Korea Selatan.
Md Isa boleh berseronok sekarang dengan puji-pujian dari Hashim.tetapi keseronokannya itu akan terjawab apabila sampai tarikh PRU 13. Apakah kepimpinan Md Isa lebih baik dari Shahidan akan diadili oleh pengundi kelak. Penasihatnya mungkin sudah tidak bertanding lagi kerana ‘alam senjanya’ tetapi apa yang ditinggalkannya akan memberi kesan kepada prestasi BN dalam PRU 13 kelak.
Rakyat dan penyokong BN di Perlis terasa kehilangan sekarang. Mereka kehilangan sentuhan Shahidan walaupun Shahidan memberi lebih tumpuan di kawasannya sendiri DUN Tambung Tulang dan kawasan Parlimen Arau.
Pengundi dan rakyat di Kangar dan Padang Besar, yang sudah terbiasa dengan kepimpinan Shahidan tercari-cari di mana Shahidan sebenarnya. Mereka tahu masalah mereka tidak mungkin diselesaikan oleh Radzi Sheikh Ahmad atau Datuk Seri Azmi Khalid, yang sekali hendak jadi ketua bahagian dan sekali tidak hendak.
Maknanya, dia boleh ikut suka hati dia. Ketika dia selesa menjadi Menteri, dia lepaskan jawatan ketua bahagian. Ketika dia digugurkan dari kerusi Menteri, dia hendak balik jawatan ketua bahagian. Pemimpin inikah yang dikehendaki di Perlis?

Tiada ulasan: