Rabu, 15 Julai 2009

Geng 10 tidak terima perlantikan Hishammuddin?


Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
citra-bangsa@yahoo.com

KETIKA semua orang ingat kemelut Umno Terengganu sudah semakin reda, tiba-tiba, dalam akhbar pembangkang, Harakah Bil 1455 di muka surat N27 tersiar satu laporan bertajuk Umno Terengganu terus bergolak.
Dakwaan akhbar itu, Menteri Besar (MB) Terengganu Datuk Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dikatakan cuba menyembunyikan kemelut politik dalam Umno negeri yang dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dalam laporan itu menyebut, pergolakan dalaman Umno negeri kembali mewarnai politik parti politik itu sebaik sahaja Hishammuddin selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu mengumumkan perlantikan tiga jawatan penting.
Perlantikan Tengku Putera Tengku Awang disifatkan sekutu rapat Datuk Ahmad Said sebagai setiausaha, ADUN Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said dilantik sebagai Bendahari manakala Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman dilantik sebagai Ketua Penerangan.
Sumber Harakah memaklumkan perlantikan ketiga-tiga pemimpin Umno ke jawatan penting itu tidak direstui oleh para penyokong mantan pengerusi perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Idris Jusoh.
Tulis Harakah lagi, Datuk Ahmad Said dipetik sebagai berkata beliau setakat ini tida merasakan apa-apa ‘gelora’ yang sedang berlaku dan menyifatkannya sebagai perkembangan biasa.
“Saya biasa…saya tak tahulah kalau awak (pemberita) ada apa-apa, awak tahulah. Saya tiada (masalah) apa-apa,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis makan tengahari di Restoren Seri Wangsa, di Gong Badak, baru-baru ini.
Bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengesahkan wujudnya rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno negeri terhadap perlantikan tiga jawatan penting itu.
Katanya, kedudukan parti terletak di tangan Hishammuddin dan selepas perlantikan itu pelbagai pandangan timbul.
Menurutnya, dalam perlantikan tersebut wujud komen-komen serta pandangan yang mengatakan Hishammuddin berat sebelah.
“Beliau (Hishammuddin) buat endah tak endah kepada suara (desakan) ahli-ahli Yang Berhormat (YB Umno) ketika pertemuan di pejabatnya sebulan lalu.
“Sehingga menyebabkan ramai YB rasa kurang senang. Apakah Hishammuddin tidak memahami apa yang diperkatakan atau beliau mendapat tekanan pihak tertentu, wallahu alam,” jelas beliau dalam blognya.
Dari apa yang dilaporkan ini, jika ianya benar bermakna Rosol yang merupakan salah seorang anggota Geng 10 yang terlibat memboikot persidangan DUN Terengganu, 14 April 2009 lalu, masih tidak dapat menerima penyelesaian yang dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, melantik Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Apabila mereka tidak dapat menerima perlantikan Hishammuddin, sedangkan mereka (Geng 10) yang berhempas pulas membuat kerja-kerja menjatuhkan kepimpinan Datuk Ahmad Said di Terengganu, bererti mereka masih mahukan salah seorang dari anggota Geng 10 dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai pengerusi.
Ketika Geng 10 merasakan mereka sahaja yang mampu dan boleh menerajui Umno Terengganu, dalam masa yang sama, tindak-tanduk mereka sebenarnya lebih banyak menyusahkan Umno yang terlalu banyak berjasa kepada diri mereka.
Geng 10 masih terus memboikot aktiviti Umno di peringkat bahagian, termasuk yang dianjurkan dalam DUN mereka sendiri. Mereka akan memberi alasan tidak dapat hadir kerana tidak dijemput atau tidak dimaklumkan.
Menteri Besar ketika berkunjung ke satu kawasan di mana berlaku kebakaran rumah penduduk, tidak disertai ADUN kawasan tersebut kerana ADUN itu adalah anggota Geng 10 yang berketuakan bekas Menteri Besar, Idris Jusoh.
Hari ini, jika apa yang dikatakan oleh Rosol boleh diambik kira, mereka dalam Geng 10 bukan tidak dapat menerima Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dengan mempertikaikan kuasa dan hak Hishammuddin membuat perlantikan pegawai-pegawai di peringkat perhubungan.
Bagi mereka (Geng 10) pemimpin mereka hanyalah Idris Jusoh dan Rosol Wahid. Kalau lantik Idris jadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, mereka setuju dan jika bukan Idris, barangkali mereka mahukan Rosol. Rosol pula, bercakap dengan media, dia tidak bercita-cita mahu menjadi Menteri Besar tetapi hati kecil manusia, siapalah yang tahu?
Sebelum perlantikan Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, musuh Geng 10 hanyalah Datuk Ahmad Said tetapi apabila Hishammuddin dilantik dan Hishammuddin pula tidak mendengar desakan dari Geng 10 ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri itu, bermakna bermulalah permusuhan antara Geng 10 dengan Hishammuddin.
Percayalah! Geng 10 ini adalah geng gilakan kuasa. Mereka sentiasa mencipta isu bagi mengambarkan kepimpinan Datuk Ahmad Said tidak diterima di Terengganu. Mereka yang buat cerita itu dan mereka mahu mendesak Kuala Lumpur percaya cakap mereka.
Malangnya, Kuala Lumpur bukanlah dibarisi pemimpin-pemimpin yang cetek pemikiran mereka. Mereka juga ada ‘jaringan kerja’ yang mereka gunakan untuk menyiasat apa sebenarnya punca kemelut ini timbul.
Kuala Lumpur juga menyiasat apakah kaitan Geng 10 dengan runtuhan bumbung stadium yang memalukan negara di mata dunia.
Kuala Lumpur juga menyiasat apa lagi kaitan Geng 10 dengan pelbagai suasana tidak tenteram dalam Umno Terengganu bikinan mereka.
Yang pasti, isu SMS bernada ugutan bukannya datang dari Pejabat Menteri Besar Terengganu sebaliknya datang dari tempat lain yang terkait mereka yang pernah bekerja dengan Idris Jusoh.

1 ulasan:

Pakteh berkata...

Kalau UMNO masih bijak dalam cah keting or budaya cantas mencantas...gunakanlah kemahiran tu sebaik-baiknya untuk cantas 10 orang ni yang merosakkan UMNO diwaktu segenap tenaga perlu ditumpukan kepada meraih kembali keyakinan rakyat kepada BN.