Isnin, 22 Jun 2009

Geng 10 : Apakah sudah boleh dilupakan?


Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

LAMA juga saya tidak menulis. Lama yang saya maksudkan, empat atau lima hari ini. Pertama, saya agak sibuk sedikit dengan urusan peribadi. Kedua, kerana minggu persekolah penggal kedua bermula, yang menjadikan saya sibuk kerana membantu anak-anak menyediakan kelengkapan.
Namun, saya tidak pernah mahu membawa perasaan jemu dalam diri ini. Ada email yang diterima bertanya, adakah penulis seperti saya juga sama dengan orang lain, memperkatakan satu-satu isu setakat 40 hari atau 44 hari, sama dengan cakap-acakap ‘selisih malaikat 44’.
Tulis email itu lagi, isu Geng 10 di Terengganu jangan disenyapkan begitu sahaja. Ini isu besar yang tidak boleh dianggap sama dengan isu keruntuhan bumbung stadium. Geng 10 adalah pengkhianat. Mereka mengkhianati amanah parti dan mengkhianati prinsip perjuangan parti.
Jika Menteri Besar Terengganu tidak mahu mengambil tindakan ‘disiplin’ kepada pengkhianat ini, seperti kata Speaker DUN Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang bahawa DUN Terengganu, tiada tindakan dikenakan terhadap Geng 10 ini.
Bagaimana dengan Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur? Adakah mahu dibiarkan dan dilepaskan begitu sahaja Geng 10 ini hanya kerana ‘tidak mahu dipanjang-panjangkan’ isu ini?
Kalau ketika pertandingan, isu politik wang digambarkan seperti Umno mahu lumpuh dalam sehari dua. Tetapi angkara Geng 10 di Terengganu, yang memboikot sidang DUN Terengganu dua bulan dulu tidak dianggap sebagai satu usaha untuk ‘melumpuhkan’ Umno khususnya di Terengganu?
Ketika Umno cukup tersinggung dengan perbuatan pembangkang, khususnya Pas, DAP dan PKR yang melakukan sesuatu yang tidak menghormati pihak Istana Perak, adakah perbuatan Geng 10 ini tidak boleh disamakan dengan tindak-tanduk pembangkang di Perak?
Ada seorang ADUN, salah seorang dari 10 ADUN yang juga digelar ‘10 budak hitam’ pernah mengatakan mereka bukan ‘ADUN cap ayam’. Ini bermakna, ketika mereka menyerang kepimpinan Menteri Besar, mereka membawa cerita Menteri Besar Terengganu selain dari Datuk Seri Idris Jusoh adalah ‘Menteri Besar cap ayam’.
Cakap-cakap ini mengambarkan bahawa ADUN ini mahu menghantar mesej kepada Istana Terengganu bahawa pilihan Istana Terengganu telah memilih seorang Menteri Besar dari kalangan ‘cap ayam’.
Ada seorang ADUN yang juga bekas seorang Exco dalam zaman Idris Jusoh menjadi Menteri Besar, secara biadap menyerang dan memburuk-burukkan kepimpinan Menteri Besar di depan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Kenapa ADUN ini begitu biadap? Mungkin kerana dia diberi suntikan semangat dengan kehadiran Idris Jusoh dalam pertemuan ADUN-ADUN dengan Hishammuddin, bertujuan mahu mendengar semua pandangan sebelum membuat mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Apa yang lebih mengejutkan, timbul cerita di kalangan penyokong Geng 10, bahawa Hishammuddin bercadang mahu melantik ADUN celupar dan bekas Exco yang kalah jawatan Ketua Umno bahagian itu sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, kerana hubungannya yang cukup rapat dengan Hishammuddin.
Jika benarlah ia terjadi, adalah lebih baik Hishammuddin mencadangkan sahaja kepada Perdana Menteri supaya ADUN yang celupar ini dijadikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu yang baru, kerana mungkin Umno memerlukan seorang yang tidak tahu menghormati pemimpin menjadi pemimpin.
Mengikut cerita dari orang Terengganu sendiri, Idris Jusoh sendiri tidak pernah menghadiri mesyuarat badan perhubungan semenjak dia tidak lagi menjadi pengerusi kerana meletakkan jawatan.
Adakah orang seperti ini masih diperlukan dalam Umno? Ketika dia menjadi pengerusi, dia mahu semua orang menyokongnya tetapi bila dia sudah tidak menjadi pengerusi, dia menunjukkan satu sikap yang kurang wajar kepada pemimpin-pemimpin muda parti.
Ibu Pejabat Umno sepatutnya mencarikan ‘doktor sakit jiwa’ untuk merawat dan memeriksa tahap kesihatan dan mental 10 ADUN yang menggelar diri mereka bukan cap ayam ini.
Apakah sebenarnya yang mereka mahukan? Adakah mereka mahu menjadi Menteri Besar? Kalau mereka mahu menjadi Menteri Besar, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kena beritahu mereka bahawa jawatan Menteri Besar hanya ada satu di setiap negeri.
Jadi, walaupun mereka merasakan mereka layak menjadi Menteri Besar, tetapi jika tidak ada kekosongan, ia tidak akan dapat jawatan itu. Begitu juga jika berlaku kekosongan, jika tidak cukup syarat untuk menjadi Menteri Besar, walaupun mereka perasan mereka layak, ia tidak menyebabkan mereka dapat apa yang mereka idam-idamkan.
Mudah-mudahan wabak yang dibawa oleh Geng 10 ini tidak akan merebak seperti mana merebaknya wabak H1N1 di dunia sekarang. Jika ia cepat merebak, nanti akan ada ADUN-ADUN lain pula membuat geng sendiri dengan tujuan masing-masing tanpa memikirkan kepentingan parti dan rakyat sebagai keutamaan.
Sementara itu, satu sumber lain memberitahu, Hishammuddin dikatakan terfikir juga mahu melantik Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Bagi jawatan Ketua Penerangan, Datuk Nasir Ibrahim Fikri dikatakan layak menggantkan Datuk Zubir Embong manakala bagi jawatan Bendahari, Hishammuddin mungkin menamakan Datuk Yahya Khatib Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Marang menggantikan Datuk Roslan Awang Chik.
Namun, ada pihak yang sedang berhempas pulas mahu menyakinkan Hishammuddin bahawa dia perlu melantik Datuk Din Adam yang juga bekas seorang juruteknik rendah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu kerana setakat ini Geng 10 memang bergantung kepada kehebatan Din untuk bercakap dan menyerang Menteri Besar Terengganu.

(penah tersiar dalam http://lesungbatu.webs.com)

1 ulasan:

leetapang berkata...

Semakin baca catatan saudara, semakin panas dan bergelora rasa hati pada geng 10 ni. Saya tertarik kepada kata seorang sahabat bahawa geng2 ni boleh diumpamakan sebagai seekor bewak! "Dikerat dua pun tetap menjadi bewak. Kepalanya bewak dan ekornya bewak". Jadi kita selaku penyokong dan peminat DAS, mesti sama2 berganding bahu dan berganding minda untuk merobohkan benteng keangkuhan DSIJ dan Geng 10! Wahai rakyat Terengganu, bangkitlah menentang penderhaka ini. Kalau pemimpin2 yang dilantik oleh kuasa rakyat dan limpah perkenan Duli Tuanku dianggap 'cap ayam' maka pasti orang2 marhaen serupa kita ni puak2 dia anggap serupa 'dedak ayam, atau 'tahi ayam' saja. Ptuii...