Selasa, 5 Januari 2010

Pribumi Perkasa rancang protes Jumaat ini

Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) merancang untuk mengadakan protes di seluruh negara Jumaat ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan "Allah" digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald.

Setiausahanya, Syed Hassan Syed Ali memberitahu AFP hari ini bahawa pertubuhannya itu mahu mengadakan protes tersebut di luar masjid-masjid utama.

"Kami mahu kerajaan membatalkan keputusan mahkamah itu. Kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam. Tiada sebarang keraguannya mengenainya,” katanya.
Berita Selanjutnya >>

Sabtu, 2 Januari 2010

Tok Mat 'Mr Propaganda' terbaik: Zukri




Tan Sri Mohamed Rahmat 'Mr Propaganda' yang terbaik, kata bekas setiausaha akhbarnya Zukri Valenteno Mohd Ali.

"Sebagai 'Mr Propaganda', allahyarham bekerja seorang. Beliau ialah one-man team dan selesa begitu", katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Zukri berkata ketika menyandang jawatan menteri penerangan sebanyak dua kali iaitu dari 1978 hingga 1982 dan dari 1987 hingga 1999, allahyarham banyak menjulang nama baik kerajaan dan parti.

"Saya anggap beliau sebagai penteri penerangan personified," katanya.

Bekas menteri penerangan dan setiausaha agung Umno itu meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Asar.

Bagi Zukri, dalam banyak-banyak gelaran yang diberikan kenalan dan orang ramai kepada allahyarham seperti Tok Mat, Mat Bulat dan sebagainya, paling istimewa dan yang turut menyentuh allahyarham ialah 'Mat Umno', panggilan yang diberikan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Beliau amat menyayangi Umno. Pada suatu hari dia pernah berkata inilah rumah kedua saya, iaitu pejabatnya di tingkat 38, ibu pejabat Umno dan BN.

"Baginya, Umno ialah orang Melayu dan orang Melayu ialah Umno," kata Zukri.

Zukri juga menganggap allahyarham sebagai bos yang baik dan karismatik, "seorang pemikir, strategis dan pelaksana".

Katanya, allahyarham banyak menjalankan kempen yang berjaya seperti Setia Bersama Rakyat (Semarak) dan kempen MESRA yang melonjakkan nama Dr Mahathir dan kerajaan BN, malah berbakat menulis beberapa lagu patriotik seperti Setia dan Sejahtera Malaysia.

"Sebagai menteri kabinet, Tok Mat tidak pernah mementingkan protokol, orang ramai dan sesiapa jua boleh bertemu beliau tanpa temu janji dan beliau akan layan, baik di pejabatnya, di kawasan parlimen ataupun ketika berehat minum kopi di Hotel Equatorial (kegemarannya) di Kuala Lumpur," katanya.

Zukri, kini ketua komunikasi korporat Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, mengenali allahyarham sejak 1990 iaitu semasa beliau menjadi wartawan di Bernama, The Star dan The Sun sebelum menjadi setiausaha akhbar allahyarham selama lima tahun sejak 1995.

Beliau menganggap allahyarham seorang yang peramah dan ringkas, dengan lazimnya di pejabat, beliau mengambil sarapan teh O dengan nasi lemak bungkus kerana makanan itu mengingatkannya kepada zaman persekolahannya ketika beliau menjaja kuih dan nasi lemak.

Selain itu, Zukri berkata allahyarham menggemari lagu Rindu Lukisan yang dinyanyikannya pada majlis tertutup tertentu.

Antara kata-kata Tok Mat yang sentiasa dikenang Zukri mengenai Umno ialah "for Umno, I've done my job but people hate my guts and in the end, they respect me."

(Untuk Umno saya telah melakukan tugas saya tetapi orang ramai membenci keberanian saya dan akhirnya, mereka menghormati saya.)

Zukri pernah meminta izin allahyarham untuk menulis buku mengenainya bertajuk Yang Setia tetapi setiap kali ditanya, jawapannya ialah: "Siapa nak baca pasal aku?".

Akhirnya baru-baru ini, Zukri berkata beliau telah membaca buku hasil tulisan allahyarham sendiri mengenai pengalamannya yang berjudul Umno: Akhir Sebuah Impian yang dilancarkan Oktober 2009.

- Bernama
Berita Selanjutnya >>

Tok Mat Nasionalis Yang Setia

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- 'Tok Mat', 'Mat Setia', 'Mat Umno' dan 'Mat Bulat' adalah antara nama jolokan yang diberikan bagi menggambarkan personaliti dan perwatakan Tan Sri Mohamed Rahmat, bekas Menteri Penerangan Malaysia yang pernah mewarnai dunia politik dan industri hiburan negara dengan pelbagai sejarah tersendiri.

Menggalas tugas sebagai Menteri Penerangan sebanyak dua kali iaitu pada 1978-1982 dan 1987-1999, Mohamed atau lebih dikenali dengan panggilan "Tok Mat" mempunyai cara tersendiri sebagai ejen penerangan kerajaan untuk memastikan segala dasar kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.

Tok Mat adalah tunjang kepada "Setia Bersama Rakyat" atau Semarak, yang menjadi program serampang dua mata iaitu untuk meningkatkan semangat cintakan negara juga mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti Umno yang ketika itu sedang mengalami krisis kepimpinan.

Beliau juga telah menghasilkan lagu patriotik 'Setia' yang menjadi begitu penting sehingga sering dimainkan setiap kali selepas lagu Negaraku diputarkan.

Setianya kepada parti juga terbukti apabila beliau sedia memikul tugas berat sebagai Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) sejak 1988 hingga 2004.

Sebagai Setiausaha Agung Umno beliau bertanggungjawab mengembalikan maruah dan menghidupkan semula UMNO setelah parti Melayu itu melalui sejarah hitam diharamkan akibat krisis kepimpinan pada 1988.

Malah beliau juga sering diberi kepercayaan untuk menjadi pencatur strategi sama ada untuk mengembalikan sokongan rakyat baik kepada parti mahupun pemimpin.

"Bagi saya, itu satu perkara amat memalukan, sejarah yang paling hitam dalam UMNO bila diharamkan," katanya yang merupakan pemegang nombor keahlian 00000003 dalam Umno.

Dilahirkan di Pulai, Johor pada 4 Januari 1938, Mohamed mendapat pendidikan menengah di Maktab Abu Bakar, Johor Baharu pada 1956 sebelum melanjutkan pengajiannya dalam bidang Bachelor of Letters di Universiti Indonesia, Jakarta pada 1961. Beliau bagaimanapun tidak sempat menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana ekoran konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia.

Memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah King Edward VII, Taiping, Perak pada 1963, Allahyarham Mohamed kemudiannya beralih kepada bidang penulisan skrip di Filem Negara Malaysia (Finas) selama setahun bermula 1964.

Namun, hari ini Menteri Propaganda itu telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun meninggalkan legasi dan strategi-stretegi propagandanya sebagai rujukan.

Allahyarham yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 Isnin depan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Bukit Damansara, di sini pagi ini.

Anak sulungnya Datuk Nur Jazlan, yang juga Anggota Parlimen Pulai, berkata bapanya disedari meninggal dunia pada kira-kira 8 pagi ini ketika ibunya Puan Sri Salbiah Abdul Hamid mahu mengejutnya bangun daripada tidur dan menutup mesin dialisis yang dipasang pada tubuh suaminya itu.

Beliau berkata allahyarham bapanya menghidapi penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.

Menyorot kembali penglibatan Allahyarham dalam dunia politik bermula dengan menyertai UMNO sejak 1963 dan terpilih menjadi Ahli Parlimen Johor Baru Barat (yang dinamakan sebagai Pulai pada tahun 1974) dalam Pilihan Raya Umum 1969.

Beliau terus menjadi Ahli Parlimen Pulai selama enam penggal atau 30 tahun sehingga 1999.

Di dalam Kabinet, Mohamed telah dilantik sebagai Menteri Penerangan (1978-1982) dan atas kapasiti sebagai Menteri Penerangan, beliau juga dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung Barisan Nasional bermula 1988 hingga 2004.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Duta berstatus menteri ke Jakarta, Indonesia pada 1982.

Semasa menjadi Menteri Penerangan, antara peristiwa yang diingati ialah apabila beliau berjaya menyelesaikan isu disiplin penyanyi rock yang timbul tahun 1990 apabila mengarahkan penyanyi rock memotong rambut jika hendak keluar televisyen. Antara yang menjadi mangsa ialah penyanyi Awie dari Kumpulan Wings dan Amy dari kumpulan Search.

Selepas bersara daripada pentadbiran kerajaan dan Umno, Tok Mat telah menghasilkan sebuah nukilan buku berjudul 'Umno: Akhir Sebuah Impian' yang memaparkan manipulasi politik yang dilakukan pemimpin UMNO terdahulu dalam mengekalkan kekuasaan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Saya sekeluarga berasa amat sedih mendengar berita kembalinya Tan Sri Mohamad Rahmat ke rahmatullah awal hari ini.

"Saya ingin mengucapkan takziah kepada Puan Sri Salbiah Abdul Hamid sekeluarga di atas kehilangan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Allahyarham bukan sahaja seorang menteri dan duta yang telah membantu membangunkan negara, tetapi juga seorang negarawan yang telah memainkan peranan besar melalui komitmen dan dedikasi beliau merealisasikan matlamat negara, terutamanya semasa beliau dilantik sebagai Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Barisan Nasional.

"Pemergian Allahyarham akan meninggalkan kesan yang mendalam di hati rakyat Malaysia dan Tok Mat akan sentiasa berada di hati semua.

"Ingatan tulus ikhlas dan doa kami bersama keluarga Allahyarham. Al-Fatihah," katanya.

-- BERNAMA


Berita Selanjutnya >>

Jumaat, 1 Januari 2010

Tok Mat…Semoga Amanlah Di Sana


Oleh Daud Hj Ibrahim

ALFATIHAH. Ketika Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Haji Aziz menghubungi saya memberitahu Tan Sri Mohamed Rahmat (Tok Mat) meninggal dunia pagi Jumaat, 1 Januari 2010, saya tergamam. Dalam masa yang sama, ada missed call Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Saya segera memanggil semula Tan Sri Mohd Isa dan beliau maklumkan, “Daud, Tok Mat meninggal.” Saya segera menghantar SMS kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali memberitahu berita sedih itu. Ini saya lakukan kerana Datuk Ibrahim boleh dikatakan rapat juga dengan Tok Mat. Ketika Datuk Ibrahim mahu kembali semula ke dalam Umno dan meninggalkan Parti Melayu Semangat 46, saya adalah orang yang bertanggungjawab menghantar borang permohonan menjadi ahli Datuk Ibrahim kepada Tok Mat.
Dalam masa yang sama, saya turut menghantar SMS kepada Tan Sri Elyas Omar, Saudara Yusof Merah, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, ADUN Kemelah, YB Ayub Rahmat, MP Sekijang, Datuk Baharom Mohamad.
Sahabat saya Mutalib Hj Omar, Zakaria Bidin, bekas MP Kuala Selangor Mohd Daud Tarihep, Datuk Mohd Daud Yusof dan beberapa orang lagi yang tidak dapat saya senaraikan di sini.
Tan Sri Muhyiddin membalas SMS saya dengan kata-kata, “Innalilahhiwainnaillahhirajiun. Perginya seorang pejuang berjasa. Hilanglah sebutir bintang! AlFatihah.
Ketika saya bekerja sebagai wartawan Watan di Kumpulan Karangkraf, saya adalah wartawan yang membawa Tok Mat melawat Pejabat Karangkraf di Taman Tun Dr. Ismail. Kebetulan, wartawan Berita Harian, Haji Zulkifli Jamaluddin atau ZJ menghubungi saya bertanya alamat rumah Tok Mat.
Saya teringat, ZJ juga merupakan antara wartawan yang Tok Mat gemari selain Saudara Azahar Hj Mohd Taib yang kini sudah menjadi wartawan kanan di Harian Metro.
Saya terus menghubungi Saudara Wan Yusof Hj Wan Ngah yang mengelolakan blog ini, http://citra-bangsa.blogspot.com untuk saya menulis satu artikel mengenai Tok Mat dan saya, kerana saya rasa bersalah pula jika saya tidak merakamkan sesuatu sejarah saya dengan Tok Mat.
Terima kasih Wan Yusof kerana menyiarkan artikel ini di blog ini.
Satu ayat yang hendak saya rakamkan di sini, Tok Mat seorang yang pemurah. Allahyarham sudi berkawan dengan sesiapa sahaja yang ramai yang Allahyarham pernah bantu dan saya mengetahuinya. Saya pernah berkereta dengan Tok Mat ke Port Dickson kerana menghadiri majlis perkahwinan. Datuk Ibrahim Ali pun ada sama. Saya juga pernah satu kereta dengan Tok Mat ke Umno Bahagian Selandar kerana beliau merasmikan persidangan tahunan Umno bahagian tersebut.
Ketika Tok Mat menjadi Menteri Penerangan, pegawai-pegawainya seperti Ibrahim Mohamad, Mustapa Ong, Mohd Daud Tarihep, Zuber, Shamsuddin Abu Bakar dan Datuk Baharom Abdul Ghani memang tahu hubungan saya dengan Tok Mat.
Malahan, pemandu Kementerian Penerangan yang membawa Tok Mat, Taufek yang misainya lebat pun baik dengan saya kerana dia tahu saya memang rapat dengan Tok Mat.
Ketika menziarahi jenazah Tok Mat petang Jumaat lalu, saya terserempak dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kata Dr. Ahmad Zahid, “saya masih ingat Tok Mat pernah beritahu kat saya, kau bantulah Daud ini,”
Tidak dapat saya menafikan, saya kenal ramai orang politik kerana saya baik dengan Tok Mat. Malahan, ada seorang bekas Setiausaha Akhbar kepada seorang Menteri Besar memberitahu, Daud kalau menulis, dia rujuk dulu dengan Tok Mat.
Mungkin dia bergurau tetapi saya tidak kisah dengan semua tuduhan itu kerana Tok Mat tidak pernah mengawal tulisan saya.
Tok Mat pernah bercerita dengan saya, ada serang orang Umno yang “disuapkan nasi ke mulutnya” mengkhianatinya dengan cerita-cerita fitnah.
Ketika Tok Mat jadi Setiausaha Agung Umno Allahyarham pernah meminta saya menghantar sejambak bunga kepada Datuk Zainal Abidin Zin yang dirawat di sebuah hospital swasta di Ipoh. Ketika itu, Datuk Zainal adalah orang kuat Parti Melayu Semangat 46.
Tok Mat juga pernah meminta saya mengaturkan pertemuannya dengan Datuk Paduka Ustaz Ibrahim Azmi Hassan yang ketika itu Naib Presiden Parti Melayu Semangat 46 untuk makan malam bersama-samanya.
Saya juga tidak akan melupakan peristiwa mengaturkan pertemuan Tok Mat dengan Tan Sri Mohd Isa ketika Tan Sri Mohd Isa masih menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Pertemuan berlangsung di Hotel Equatorial, Kuala Lumpur.
Ketika saya menemani Allahyarham Abu Bakar Dewa (bekas Exco Kerajaan Negeri Johor) ke India kerana perubatan buah pinggangnya, Tok Mat bukan sahaja menghulurkan bantuan kepada Abu Bakar malahan berpesan dengan saya, “kau maklumkan kepada aku apa saja perkembangan (Abu) Bakar,”
Tok Mat adalah Setiausaha Agung Umno yang bertanggungjawab memperkenalkan sistem komputer di Ib Pejabat Umno dan Tok Mat adalah satu-satunya menteri yang sanggup menjadikan dirinya ‘sebagai benteng’ mempertahankan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Perlahan-lahan, ketika saya bertemu dengannya d Kota Kinabalu, Allahyarham membisikkan kepada saya bahawa Dr. Mahathir berbuat tidak baik kepadanya dan beliau tidak akan lupakannya hingga ke mati.
Ketika wujud team wawasan dalam tahun 1993, Tok Mat menjadi sasaran banyak pihak kerana dakwaan mengatakan beliau telah menyalahgunakan Ibu Pejabat Umno untuk menyokong Anwar Ibrahim menentang Tun Ghaffar Baba (Allahyarham).
Buku tulisan Allahyarham, Umno – Akhir Sebuah Impian telah menjawab banyak tuduhan tidak betul terhadapnya.
Di kesempatan ini, saya mendoakan agar roh Allahyarham ditempat di kalangan para solehin. Jasanya yang terlalu besar kepada penyatuan orang-orang Melayu tidak mudah dilupakan. Kepada keluarganya, banyak-banyak bersabar menghadapi ujian Allah ini. AlFatihah.
Berita Selanjutnya >>

SAYA DAN TOK MAT...

Tok Mat sudah kembali ke Rahmatullah. Bekas Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pagi ini.


Hanya doa dan al-Fatehah yang mampu yang sedekahkan kepadanya. Tidak terbalas jasanya kepada saya.

Tidak banyak mana perkara manis antara saya dan Tok Mat. Namun di sebalik itu, hubungan kami rapat juga tetapi lebih sebagai orang politik dengan wartawan.

Kami lebih akrab apabila saya bertugas sebagai Penyelidik dan Pengarang akhbar UMNO - Wawasan Merdeka - di Ibu Pejabat UMNO (Menara Dato Onn) pada awal 90an dan beliau pula ketika itu Setiausaha Agung Barisan Nasional.

Saya mula kenali secara dekat Tok Mat pada 80an. Ketika beliau masih menjadi Ahli Parlimen (Pulai) dan sekembalinya beliau dari menjadi Duta Besar Malaysia di Jakarta membuatkan kami rapat.

Tok Mat yang disayangi warga Kementerian Penerangan sering digelarkan dengan pelbagai panggilan, seperti ‘Mat Bulat’ namun saya yang ada hanya nama ‘Tok Mat’.

Di Parlimen (Dewan Rakyat) - walaupun saya wartawan Berita Harian ketika itu - ada juga saya membantu beliau untuk menulis dan menyemak beberapa ucapan. Namun yang paling penting ialah ucapannya selepas krisis yang menyebabkan UMNO di haramkan.


Semua ini tercatat dalam buku saya UMNO BARU MILIK SIAPA (Kuala Lumpur: 1988).

Banyak juga kami bertukar fikiran dengan merancang program UMNO dan Kementerian Penerangan untuk mempertahankan Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri khususnya apabila UMNO Baru ditubuhkan.

Malah Tok Mat turut berperanan menaikkan pemimpin UMNO lain ketika itu, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Anwar Ibrahim.

Walaupun di Berita Harian orang seperti Datuk Ahmad Sebi, Datuk A Kadir Jasin dan Datuk Nazri Abdullah menganggap saya sebagai penyokong Team B kerana mengatakan saya rapat dengan Tengku Razaleigh Hamzah, namun saya sebenarnya menyebelahi Team A.

Saya akui saya rapat dengan Datuk Seri Adib Adam, Datuk Zainal Abidin Zin, Datuk Rahmah Othman, juga Datuk Seri Rais Yatim dan Datuk SeriRadzi Sheikh Ahmad tetapi saya juga ‘kenal rapat’ dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Sanusi Junid, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun), Datuk Seri Mohd Najib, Datuk Seri Megat Junid (Allahyarham) dan tidak terkecuali Tok Mat.

Tok Mat tahu dan sering menasihatkan saya supaya ‘berdiri sebagai diri saya’ apabila berdepan dengan tuduhan daripada bos Berita Harian atau pihak-pihak lain dalam UMNO.

Kerana sangkaan sedemikian, saya sering ‘terpinggir di Berita Harian’, namun saya sering menyerahkan diri saya untuk ditentukan hidup dan rezeki saya oleh Allah.

Saya juga banyak maklumat mengenai hasrat Dr Mahathir mahu menghantar Yusof Noor (Tan Sri) sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad melalui Tok Mat.

Tidak apalah, itu sudah menjadi sejarah dan ia menjadi pengetahuan untuk saya.

Selain membantu buah fikiran bersama Tok Mat, satu lagi peranan Tok Mat yang tidak akan saya lupakan ialah kebaikannya membantu memudahkan saya sebagai ‘pengawal berita Bahasa Melayu’ di ntv7 ketika mula stesen itu memulakan penyiarannya.

Beliau menasihati saya dalam banyak perkara termasuk proses pelancaran berita dan stesen tv itu sendiri dengan ucapan dan kedatangan beliau ke stesen berkenaan, walaupun ntv7 stesen swasta.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa setiap petang saya datang atau menyuruh kakitangan saya mengambil tape beta di Bahagian Berita RTM.

Tujuannya ialah mendapatkan bahan-bahan yang direkodkan oleh RTM dan saya proses atau olah semula untuk siaran di berita pukul 8 malam ntv7. Bahan-bahan ini juga dipakai untuk berita Inggeris (tengah malam).
Ini tidak diketahui oleh pemilik ntv7, Datuk Seri Effendi Norwawi atau CEO ntv7 ketika itu, Sazali Ramli.

Mereka menyangka berita Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bahannya 100 peratus daripada team ntv7.

Pengurus Berita ntv7 ketika itu, James Gibbon juga tidak tahu semua dan dan saya fikir tidak guna beritahunya kerana dia ‘banyak tidak tahu’.

Tanpa bantuan RTM, berita ntv7 tidak akan ‘sehebat’ itu kerana kami hanya mempunyai team kecil berbanding TV3 dan RTM sendiri.

Tok Mat memberikan ‘lampu hijau’ kepada saya untuk berjumpa Khairuddin Che Long atau Mohammad Husin yang ketika itu mengawal berita di RTM.

Inilah jasa Tok Mat kepada ntv7 dan saya.

(Dipetik dari http://hambali1.blogspot.com/)
Berita Selanjutnya >>

Tok Mat Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Mohamed Rahmat meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, di sini, pagi Jumaat.

Allahyarham, yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur.

Anak sulungnya Datuk Nur Jazlan, yang juga Anggota Parlimen Pulai, berkata bapanya disedari meninggal dunia pada kira-kira 8 pagi ini ketika ibunya Puan Sri Salbiah Abdul Hamid mengejutnya bangun daripada tidur.

"Beliau meninggal dalam tidur," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman bapanya di sini, Jumaat.

Nur Jazlan berkata allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas Asar.

Beliau berkata allahyarham bapanya perlu menghidapi penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.

Sinonim dengan gelaran 'Tok Mat', pemimpin veteran Umno itu menjadi Menteri Penerangan sebanyak dua kali iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf Menteri dari 1982 hingga 1984.

Selain itu, allahyarham menyandang jawatan setiausaha agung Umno sejak 1988 hingga 1996 dan setiausaha agung Barisan Nasional dari 1988 sehingga 1999.

Semasa menjadi Menteri Penerangan, allahyarham memperkenalkan Program "Setia Bersama Rakyat" (Semarak) yang bertujuan meningkatkan semangat cintakan negara.

Ketegasannya juga turut ditampilkan antaranya dalam menyelesaikan isu disiplin artis tempatan apabila mengarahkan penyanyi rock memotong rambut panjang mereka jika mahu menyertai program di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Antara yang mematuhi arahan beliau ialah kumpulan rock Wings dengan penyanyi utamanya Awie dan kumpulan Search dengan penyanyi utamanya Amy.

-- BERNAMA
Berita Selanjutnya >>

Tok Mat Pergi Dengan Mudah Dan Tenang, Kata Isteri

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- "Saya syukur kerana dia pergi dengan mudah dan aman," kata Puan Sri Salbiah Abdul Hamid, mengenai pemergian suaminya bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Mohamed Rahmat ke Rahmatullah pada Jumaat.

Allahyarham, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Damansara di sini kira-kira 8 pagi.

Allahyarham, yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur.

Salbiah berkata beliau menyedari suaminya tidak bernafas kira-kira 8 pagi ketika mahu menutup mesin dialisis yang dipasang pada tubuh suaminya.

"Selalunya, tiap-tiap pagi dalam 8.40 (pagi) saya akan menutup mesin dialisis yang dipasang pada arwah, tetapi pagi tadi kira-kira 8 pagi, saya tengok mesin itu 'hang' (terhenti) dan dada arwah tidak menunjukkan dia bernafas," katanya kepada Bernama di kediamannya di sini, pada Jumaat.

Salbiah berkata melihat keadaan arwah, beliau segera menelefon doktor dan anak-anaknya bagi memaklumkan perkara itu.

"Doktor (yang datang) kemudian mengesahkan arwah telah menghembuskan nafas terakhir dalam 8 pagi tadi," katanya.

Allahyarham menghidapi penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.

Salbiah berkata Allahyarham juga mengarahkan pemandu keluarganya untuk datang bekerja pagi ini bagi membawanya keluar berjalan.

"Arwah mengarahkan pemandu kami untuk datang bekerja walaupun hari ini cuti umum. Arwah meminta pemandu untuk membawa saya keluar berjalan-jalan... macam tanda seperti dia hendak pergi," katanya.

Beliau bagaimanapun terkilan kerana tidak sempat memohon maaf daripada Allahyarham.

"Semalam beliau langsung tidak memanggil saya...selalunya setiap malam dia akan panggil saya untuk membuang air kecil dan saya akan bawanya serta tolak mesin (dialisis) ke bilik air.

"Saya juga tak dengar apa-apa kecuali dengar arwah buka dan tutup TV...memang dia akan tengok berita 24 jam. Agaknya dia tak rasa sakit, syukur Alhamdulilah, beliau pergi dengan aman," katanya.

Salbiah juga bersyukur kerana sebelum Allahyarham meninggal dunia, beliau sempat bertemu Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Beliau nak sangat bertemu dengan Datuk Seri Rais dan dua hari lepas arwah dapat bertemu dengannya di pejabat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan".

Salbiah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pemimpin tertinggi kerajaan yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah Mohamed akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas Asar.

-- BERNAMA
Berita Selanjutnya >>