Rabu, 7 Oktober 2009

Betulkah Kemelut Umno Terengganu sudah selesai?



Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

LAMA juga tidak menulis pasal kemelut politik Terengganu. Maklumlah, salah seorang dari mereka yang terlibat dengan kemelut ini, bersama Geng 10, YB Datuk Din Adam sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka (bersama-sama enam ADUN) berdiri teguh bersama-sama kepimpinan yang ada.
Jauh sekali mahu menderhaka kepada Sultan Terengganu, dia dipetik sebagai berkata sebaik sahaja selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Tidak lama selepas itu, Hishammuddin pula mengumumkan perlantikan beberapa pengerusi biro, yang sekaligus mengambarkan memang kemelut sudah berakhir dan mereka mahu bekerja bersama-sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said untuk membangunkan Negeri Terengganu.
Malangnya, ketika berada di Port Dickson, ketika kempen pilihan raya kecil berlangsung di DUN Bagan Pinang, kedengaran cerita di sebalik tabir mengenai politik Terengganu ini.
Kononnya, Hishammuddin kurang seronok dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang menawarkan diri menjadi orang tengah bagi membantu Hishammuddin menyelesaikan kemelut tersebut.
Hishammuddin dan juak-juaknya didakwa tidak suka dengan kenyataan itu. Hishammuddin khabarnya kurang senang dengan kata-kata Muhyiddin yang menyebabkan orang di luar mengambarkan Hishammuddin lembik dan tidak berkemampuan untuk menerajui Umno Negeri Terengganu hingga menyebabkan perlu ‘bantuan Muhyiddin’.
Maka, untuk membuktikan bahawa campur tangan Muhyiddin tidak diperlukan, maka cepat-cepat Hishammuddin pintas dengan membuat beberapa perlantikan dan serentak dengan itu bergambar ramai-ramai bagi ditunjukkan imej tidak bermasalah kepada umum dan sekaligus mahu menyampaikan mesej kepada Muhyiddin, tak payah sibuk-sibuk untuk membantu menyelesaikan masalah di Terengganu.
Satu sumber lain pula memberitahu, Hishammuddin menggunakan khidmat budaknya yang bernama Din Adam yang dikatakan sudah dilantik menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri untuk berdepan dengan wartawan dengan imej sudah bersedia untuk berdamai dengan Menteri Besar dan Sultan Terengganu, demi menjaga imej Hishammuddin.
Memang selama ini, kemampuan Hishammuddin menerajui Umno Terengganu dipersoalkan. Malahan, kedudukannya sebagai Naib Presiden di temat kedua selepas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat sebagai ‘menghadapi masa depan politik yang suram’.
Rekod kurang baik yang ditinggalkan di Kementerian Pelajaran – serta gagal menyelesaikan isu PPSMI menyusahkan Hishammuddin untuk mendapat kenyakinan rakyat dan ahli-ahli Umno untuk membenarkan dia melangkah lebih jauh dalam hirerki kepimpinan Umno.
Ketika Hishammuddin sedar kelemahannya dan penyokong-penyokong tahu isu lembik ini akan menyulitkan Hishammuddin untuk bersaing dengan pengaruh Ahmad Zahid, maka mereka merancang untuk menyelesaikan secara ‘wayang kulit’ kemelut di Terengganu.
Sekurang-kurangnya, imej Hishamuddin tidaklah seburuk yang diketahui umum walaupun dari segi jangka panjangnya, Umno Terengganu akan terus bermasalah selagi Presiden Umno yang juga Perdana Menteri masih mempercayai Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Apa yang Najib harus lakukan ialah ‘ketegasan’ untuk berhadapan dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan seorang dua pengikutnya yang menyangka ‘hidup dan mati politik mereka’ kerana pengaruh Idris.
Jika Najib tegas, kemelut ini akan berakhir dan noktah boleh diletakkan di situ – menandakan kemelut benar-benar berjaya diselesaikan.
Keberanian yang ada pada Geng 10 ini ialah kerana mereka tahu Najib dan Muhyiddin takut. Jika Geng 10 termasuk Idris tahu Najib dan Muhyiddin mempunyai keberanian, mustahil mereka masih mahu mengada-ngada seperti apa yang mereka lakukan sekarang.
Najib dan Muhyiddin kena ingat, bahawa Geng 10 sebenarnya bukan menggugut Datuk Ahmad Said tetapi mengugut mereka berdua, termasuk Sultan Terengganu.
Bolehkah ia diizinkan?
Berita Selanjutnya >>

Pilih calon – Anak tempatan atau bukan anak tempatan



Oleh Zainal Yusof
MENJELANG hari pengundian 11 Oktober depan, pengundi di DUN Bagan Pinang diasak dengan cerita bahawa calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dilahirkan di Melaka dan bukan anak tempatan manakala calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar anak kelahiran Negeri Sembilan, tidak mungkin dapat mempengaruhi pengundi menukar selera mereka.
Cerita anak luar dan anak tempatan ini dibawa oleh Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan yang merupakan anak jati Johor tetapi terpaksa bertanding di Kelantan kerana tidak ‘ada tempat dia boleh menang di negeri kelahirannya sendiri’.
Tapi, orang Pas ini biasalah! Dia akan jawab, dia bertanding sebagai Ahli Parlimen tetapi Tan Sri Mohd Isa bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Macam mana pula dengan seorang anggota Exco di Kelantan, merupakan seorang anak Kedah tetapi boleh diberi tempat bertanding di Kelantan dan dilantik menjadi Exco?
Begitu juga dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Bukankah dia dilahirkan di Melaka dan untuk menjadi Ketua Menteri Melaka, memang mustahil maka dia bertanding di Pulau Pinang dan menang. Macam mana agaknya Salahuddin Ayob nak mempertahankan hujah ini?
Isu Mohd Isa terpilih bertanding di DUN Bagan Pinang sebenarnya bukan sahaja merisaukan Pas dan PKR tetapi beberapa penulis juga ‘risau’. Tan Sri Abdullah Ahmad (bekas Ahli Parlimen Kok Lanas, Kelantan) dan seorang kolumnis akhbar Sinar Harian yang bergelar doktor juga ‘macam tak boleh tidur malam’ apabila Barisan Nasional menamakan Mohd Isa sebagai calon BN di situ.
Bukan kerana Mohd Isa tidak layak, tetapi pemikiran mereka ini sudah ‘korup’. Bagi mereka, jika pucuk pimpinan mahu memilih calon, pilihlah yang mereka kira Pas boleh ‘makan’.
Kalau calon BN itu dari kalangan yang Pas boleh ‘makan’, cara menulis dan komentar mereka berlainan. Itulah sebabnya, Barisan Nasional tidak perlu melayan mereka ini, sama ada dia seorang bekas diplomat, atau seorang pensyarah universiti atau dia seorang Naib Presiden Pas.
Mereka tidak ada isu! Mereka sudah ‘korup’ pemikirannya. Mereka menulis ketika mereka duduk di rumah dan tidak ke Bagan Pinang untuk membuat tinjauan dan melihat sendiri pembangunan yang dibuat oleh kepimpinan BN khususnya dalam era Mohd Isa sebagai Menteri Besar.
Biasalah. Mereka yang menentang dan memaki hamun ini adalah dari kalangan orang yang tidak tahu bersyukur. Mengkritik memang senang kerana tidak perlu apa-apa perancangan dan komitmen. Siang mereka tidur dan malam mereka berceramah. Bagi yang mengajar di universiti, mereka makan gaji. Majikan mereka ialah kerajaan Barisan Nasional. Mereka memaki hamun kerajaan yang menyuap nasi ke mulut mereka.
Jika bukan kerana keadilan dan keprihatinan Umno dan BN, mereka bukan sahaja tidak layak menjadi pensyarah atau diplomat, malahan, mereka mungkin tidak merasai keamanan yang negara ini miliki sekarang ini.
Tempohari, jika BN menamakan anak kepada Tan Sri Mohd Isa, Mohd Najib yang mewakili BN di situ, isunya tentulah ‘legasi’ atau kronie atau nepostime. Dalam masa yang sama mereka dari kalangan penulis dan kolumnis di media-media cetak akan cuba melindungi bahawa anak Lim Kit Siang dan menantunya juga merupakan calon DAP dalam pilihan raya, selain dari anak Karpal Singh, seorang menjadi ADUN dan seorang lagi menjadi MP.
Jika mereka tidak tinggal di Malaysia mustahil mereka mempunyai tempat untuk bertanding dan bergelar YB. Mahu mencari kawasan majoriti kaum Sikh, jauh sama sekali tetapi dasar kepelbagaian di Malaysia, meletakkan mereka tiga beranak menjadi YB.
Lihat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dia boleh bertanding apabila isteri dia meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Anaknya, Nurul Izzah bertanding dan menang di Parlimen Lembah Pantai.
Orang Melayu dalam Umno jangan mudah terpersona dengan cerita Salahuddin Ayob. Dia orang Pontian di Johor. Kenapa dia tidak mahu bertanding di Johor. Banyak kerusi Parlimen Melayu di Johor termasuk Pontian, Johor Bahru, Pulai dan Pasir Gudang.
Isu Mohd Isa dilahirkan di Melaka, bukan atas kehendak Mohd Isa. Khabarnya, dalam PKR ada seseorang didakwa dilahirkan di Filipina tetapi entah macam mana mempunyai kad pengenalan Malaysia yang melayakkannya bertanding di DUN dan Parlimen dalam PRU 12 yang lalu. Nasib baik dia kalah. Kalau tidak, entah-entah rakyat Filipina bersorak gembira kerana rakyat mereka menjadi wakil rakyat di Semenanjung.
Pengundi di Bagan Pinang, jangan peduli apa cerita yang mereka bawa. Siapa yang mereka kenal antara Mohd Isa dengan Zulkefly. Jika mereka merasakan Mohd Isa sentiasa dekat di hati mereka, buatlah pilihan tepat. Jika sebaliknya, hak mereka untuk memilih wakil rakyat mereka sendiri.
Jangan menyesal selepas membuang undi. Lihatlah bagaimana kecohnya mereka yang tidak layak memerintah apabila mendapat kuasa. Menjadi wakil rakyat, mereka banyak masa di tempat lain dan sibuk berceramah. Kawasan ditinggalkan begitu sahaja.
Mohd Isa mempunyai rumah dan kampung halaman di Kampung Baru, Si Rusa. Bila-bila boleh ke situ walaupun dia tidak tinggal di situ kerana mendiami rumahnya di Nilai tetapi tahukan pengundi-pengundi di mana kediaman Zulkefly Mohamad Omar?
Buatlah perkiraan terbaik sebagaimana ibu bapa kita dahulu memilih BN (Perikatan) sebagai kerajaan hingga menyebabkan kita dapat menikmati kehidupan yang cukup aman dan sejahtera. Jika bukan kerana kebijaksanaan tok nenek dan ibu bapa kita, sudah lama negara ini hancur!
Berita Selanjutnya >>

Sabtu, 3 Oktober 2009

SOUR GRAPE DAN LEBIH KERAK DARIPADA NASI…

(Dipetik dari http://ohsedapnya.blogspot.com/ dan ia ada kaitan dengan tulisan yang pernah tersiar dalam blog ini. -Redaksi )

Ada pelakon tambahan yang bersikap sour grape dengan kembalinya enam ADUN ke arus perdana politik UMNO Terengganu.

Pelakon tambahan ini, kononnya mahu menjadi dalang tetapi ternyata kantoi dan terkejut dengan tindakan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berjumpa Hishammuddin baru-baru ini.

Dia tidak percaya tujuh ADUN berkenaan boleh mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan hala tuju UMNO negeri itu.

Malah, pelakon tambahan ini menulis dalam blognya dengan mempertikaikan kenapa ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam yang mewakili kumpulan ADUN itu boleh membuat kenyataan yang mampu meredakan kemelut politik Terengganu.

Dia bagaikan terkejut dan hampir pengsan apabila pertemuan dengan Hishammuddin itu sebenarnya mahu memperkukuhkan UMNO Terengganu di bawah kepimpinan negeri.

Gelagat pelakon tambahan ini menjijikkan apabila mengucapkan selamat hari raya kepada Menteri Besar mengatakan “Selamat hari raya MB Mat Said. Maaf zahir sahaja deh…”
Hakikatnya, siapa dia ini? Besar sangatkah dia ini? Bijak sangatkah dia ini? Atau mulia dan berpengaruhkan dia ini?

Janganlah nak menjadi ‘lebih kerak daripada nasi…”.

Apabila dua pihak yang berselisih dan kini bercantum kembali, bersyukurlah. Jangan pula ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong…”

Kalaupun mahu membela beberapa orang, janganlah sampai mengherdik atau mencela pemimpin lain yang berusaha menegakkan UMNO demi menjamin Barisan Nasional (BN) terus berkuasa di Terengganu.

Ingatlah, perpaduan UMNO adalah penting untuk rakyat Terengganu.

Bukan rakyat sahaja yang mahu melihat Terengganu tenang, Pemimpin pusat tenang dan pihak istana juga tenang.

Janganlah terus mahu menjadi pecacai yang cuba melagakan pihak yang sedang mahu berbaik-baik, nanti kita juga yang akan diketawakan.

Ini kerana ketika kita masih dibuai perasaan ingin melaga-lagakan orang, orang yang mahu dilaga-lagakan itu sudahpun duduk semeja dan mentertawakan kita yang bagai tidak bertempat dan beradab.

Selama mana mahu menjadi pelakon tambahan yang wataknya hanya kerja mencucuk jarum memfitnah dan memecahbelah…

Kesian, sudahlah melukut di tepi gantang, tidak tahu mengenang untung dan tidak sedar diri di mana kaki berpijak.

Sedar dan insaflah sedikit, kalau sudah pernah merasai kesenangan dan menerima habuan, berilah peluang orang lain pula merasai nikmat yang sama.

Janganlah kita menjadi jarang anak Melayu yang bersikap memporak-perandakan perpaduan dan persahabatan. Tetapi jadilah jarang anak Melayu yang ingin melihat stabilnya UMNO dan ikatan persahabatan yang semakin erat antara ADUN dan kepimpinan negeri.

Janganlah kita bersekongkol dengan mereka yang enggan tunduk kepada orang lain, termasuk istana, hanya kerana pernah ‘kenyang’ kerana seseorang.

Janganlah persoalkan tidak tentu hala sehinggakan keputusan Sultan melantik seseorang menjadi Menteri Besar pun mahu kita persenda. Tidak baik sebagai rakyat berbuat begitu.
Pihak yang melantik mempunyai sebab tertentu kenapa memilih seseorang. Apakah Baginda Sultan tidak mengambil kira banyak perkara sebelum memutuskan untuk memilih Menteri Besarnya?

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘ikutlah resmi padi, makin tunduk makin berisi”. Lebih-lebih lagi kita sebagai pengajar, kalaupun benar-benar berbisa, apa salahnya kerana ‘ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya’.

Namun nampak sangat pelakun tambahan ini terlalu bimbang apabila ADUN-ADUN seperti ADUN Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof, , Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Abd Halim Jusoh (Permaisuri), Ramlan Ali (Jabi), dan ADUN Hulu Besut, Nawi Muhamad selain Datuk Din Adam (Bukit Besi) kini sanggup melupakan ‘ribut secawan kopi’.

Pelakun tambahan ini terus khayal kononnya dialah hero dan berusaha untuk terus mengeruhkan suasana agar dirinya dipuja sebagai jarang anak Melayu yang sanggup mengetepikan segala perbezaan dan perselisihan.

Apapun apalah daya kita jika dia terus menjadi pelakun tambahan sedemikian rupa. Biarkan, biarkan….

Biarlah dia hanyut sebagai jarang anak Melayu yang tidak mahu berenang ke tepian atau berusaha mencari daratan.

Mungkin baginya kemelut dan perselisihan lebih mulia daripada bersalam-salaman, makan semeja dan ketawa-hilai bersama!

Jadi sesuai sangatlah jika dia menggelarkan dirinya jarang anak Melayu…kerana pada ketika orang lain sudah bertaut semula, dia masih terkapai-kapai dengan sikap dan falsafahnya selain sour grape dengan kumpulan yang kembali ke arus perdana.



Berita Selanjutnya >>

Jumaat, 2 Oktober 2009

Rakyat Kelantan mencari kerja di luar – Ibrahim


Oleh Ahmad Ishak

PERTELAGAHAN antara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali perlu dilihat dari sudut ‘polemik’ – iaitu perbahasan ilmiah yang mempunyai fakta dan bukan serangan peribadi.
Bagi saya, alasan ke 10 Ibrahim bahawa Menteri Besar itu telah gagal mengujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan walaupun hampir 20 tahun memerintah sehingga menyebabkan lebih 100,000 rakyat negeri itu berhijrah ke negeri lain mencari rezeki perlu diperhatikan secara serius.
Apabila perdebatan atau pertelagahan berlaku antara Nik Aziz dengan sesiapa sahaja, orang lebih melihat kononnya Nik Aziz adalah ulama. Disebabkan dia ulama, maka tiada apa yang salah kalau dia bercakap, walaupun kadang-kadang percakapannya banyak yang tersasar dari perkara sebenar.
Jika ini dianggap sebagai kelebihan, untunglah Nik Aziz sebagai seorang ahli politik. Dia tetap disokong dan dipertahankan walaupun dia melakukan kesilapan. Malahan, ramai pula yang tampil mempertahankannya termasuk mereka yang tidak arif dalam hal-hal yang diperkatakan.
Berbanding dengan Ibrahim pula, apabila beliau bercakap, orang melihat kononnya dia seorang ahli politik serba mungkin. Sekali beliau menyokong Pas, sekali lagi, kelihatan beliau membelasah parti pembangkang itu. Ini cukup merisaukan Pas dan Nik Aziz dijadikan ‘meriam buluh’ oleh orang-orang Pas, untuk ‘menembak’ Ibrahim.
Persoalannya, apakah salah dakwaan Ibrahim mengatakan Nik Aziz telah gagal mengujudkan perluang pekerjaan kepada 100,000 rakyat Kelantan yang kini terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain untuk mencari rezeki?
Apakah perancangan Nik Aziz ketika mula-mula dilantik menjadi Menteri Besar dan adakah perancangan itu berjaya? Jika tidak Berjaya, apakah Nik Aziz tidak mahu membuat perncangan lain hingga membolehkan 100,000 rakyat Kelantan yang berada di luar Kelantan kembali ke negeri asal mereka untuk bekerja?
Fakta ini yang perlu dijawab oleh Nik Aziz dan bukan meminta Ibrahim mengosongkan kerusi Parlimen Pasir Mas yang dimenangi Ibrahim atas tiket Pas dalam PRU 12, Mac 2008 yang lalu.
Jika Nik Aziz merasakan dia tidak mempunyai idea untuk mengujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan, mengapa tidak mencari konsultan dari dalam atau luar negeri bagi membantunya mencetuskan idea bagi tujuan murni ini?
Baguslah rakyat Kelantan mempunyai seorang Ibrahim Ali yang berani menegur Nik Aziz yang dianggap oleh penyokong Pas sebagai ‘tengok gambar pun dapat pahala’ sedangkan rakyat terus sengsara kerana ketidak cekapannya mentadbir negeri.
Menjanjikan syurga dan neraka sahaja tidak memadai. Mengatakan Ibrahim makan gaji haram dan dia (Nik Aziz dan orang-orang Pas) makan gaji halal tidak menyelesaikan masalah rakyat Kelantan yang mengharapkan negeri itu dapat memberi mereka peluang pekerjaan.
Hari ini, jika Nik Aziz merasakan dia telah gagal, hanya dapat memajukan Kelantan dengan terbinanya KB Mall, Giant dan Tesco, mengapa tidak Nik Aziz mendapatkan khidmat pembantu dan penasihat berkaliber supaya Kelantan lebih maju dari sekarang.
Jika Kelangan maju, Nik Aziz tidak perlu meletakkan jawatan. Kalau Kelantan maju, Ibrahim tidak perlu menyerang Nik Aziz. Jika Kelantan maju, 100,000 rakyat Kelantan yang merantau ke negeri-negeri lain bolehlah terus menyokong Nik Aziz dan tidak perlu memintanya meletakan jawatan.
Nik Aziz tentunya tidak mahu mengaku dia gagal membangunkan Kelantan. Nik Aziz juga tentunya tidak mahu mengaku dia tidak berkemampuan untuk menjadikan Kelantan membangun. Maka, alasan terbaik yang boleh diberikan kepada rakyat ialah ‘pembangunan insan’ yang suci akidahnya dan bersih jiwanya! Cerita ini samalah dengan kisah seseorang yang membuat kajian (penyelidikan) tetapi tidak membangunkan apa yang diselidiknya. Hakikatnya, kajian atau penyelidikan yang tidak pernah dibangunkan (R & D) adalah kajian atau penyelidikan yang sia-sia.
Nik Aziz perlu memberitahu umum, penggal pertama, apa yang dibuatnya. Berapa ramai yang mendapat pekerjaan hasil dari pembangunan yang dilaksanakan. Penggal kedua, pembangunan apa lagi yang dibuatnya dan berapa ramai lagi yang dapat nikmat dari pembangunan tersebut. Penggal ketiga dan keempat, apa yang dibuatnya dan berapa ramai lagi yang menghirup nafas kelegaan dengan pembangunan yang dilaksanakan.
Perkara ini mudah kerana pembangunan mestilah nampak di depan mata. Jika yang ditunjuk hutan yang gondola kerana penebangan balak dan bukit yang ditarah kerana tanah-tanah diagih-agihkan kepada taikun-taikun, selain patung besar di Tumpat – itu bukan pembangunan namanya tetapi lambang kegagalan.
Kalau Nik Aziz berjaya membuktikan, bukan Nik Aziz yang kena berundur tetapi Ibrahim yang patut malu dengan serangannya yang tidak berasas.
Berita Selanjutnya >>

Khamis, 1 Oktober 2009

Pas mengharapkan Umno Terengganu terus berpuak-puak


Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

PERLANTIKAN beberapa Pengerusi Biro Umno Negeri Terengganu seperti yang diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak membawa apa-apa perubahan besar dalam konflik yang berlaku terhadap parti itu, kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Beliau berkata, perlantikan itu sekadar bersifat penyelesaian sementara sedangkan kemelut di Terengganu sukar diatasi kerana sikap pemimpin Umno itu sendiri yang berpuak-puak.

Menurutnya, perlantikan baru yang diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu itu semata-mata menagburi mata rakyat.

“Rakyat Terengganu tahu apa yang berlaku, terutama membabitkan kumpulan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dengan kumpulan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.”

Dari kata-kata Syed Azman ini, membuktikan perbuatan Geng 10 yang kini tinggal Geng Empat sudah berjaya mengambarkan Umno di Terengganu dilanda kemelut dan tingkah laku Geng Empat yang masih berkeras mahu menunjukkan mereka tidak mahu menerima kepimpinan Datuk Ahmad telah menjadikan Pas kaya dengan modal baru untuk menyerang Umno.

Hakikatnya, bukan Umno yang berkemelut di Terengganu tetapi perbuatan cetek fikiran Empat ADUN yang tidak memegang jawatan penting dalam Umno, kecuali seorang dua yang diserang penyakit ‘gila talak’ kerana kehilangan jawatan.

Geng Empat mungkin takut diserang blogger yang mengharapkan mereka terus berusaha menggugat kepimpinan Datuk Ahmad. Malahan, perubahan sikap Datuk Din Adam yang kembali mahu bersama-saa kepimpinan Umno dan kerajaan di Terengganu diserang bekas pembantunya sendiri, Abdul Mubin Ismail melalui blognya, http://jaranganakmelayu.blogspot.com.

Blog http://besutlonih.com juga menyerang Datuk Ahmad dengan memberi tempoh seminggu untuk Datuk Ahmad meletakkan jawatan kerana baginya kepimpinan Datuk Ahmad tidak diterima oleh orang Besut. Kebetulan, Ketua Umno Bahagian Besut ialah Idris Jusoh, seorang pemimpin yang disifatkan oleh para penyokongnya yang taksub sebagai ‘pemimpin Besut yang bertaraf dunia’ dan banyak mencipta tamadun.

Malangnya, ketika mereka yang memuja-muji Idris Jusoh sedang beratib dan berzikir memuji Idris, tiba-tiba bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak runtuh.

Selang beberapa hari, Pusat Akuatik pula bocor dan diarahkan tutup. Kemudian Lapangan Terbang Sultan Mahmud pula tercabut dan berterbangan bumbungnya. Semua ini dibina di zaman seorang pemimpin yang bertaraf dunia dan pencipta tamadun di Terengganu.

Namun, blogger yang menyokong taksub Idris menyifatkan semua keruntuhan berlaku kerana ‘bala diturunkan oleh Allah’ kerana kepimpinan Datuk Ahmad tidak mendapat rahmat. Mereka tidak pula mencari sebab mengapa ia runtuh dan adakah ketika pembinaannya, berlaku unsur-unsur rasuah.

Blogger Abdul Mubin pula menyindir kononnya di era kepimpinan Datuk Ahmad, tiada apa yang akan runtuh, walaupun kandang kambing kerana tiada apa kompleks dan bangunan yang Datuk Ahmad bina sepanjang setahun menjadi Menteri Besar.

Mereka terus menyerang Datuk Ahmad. Bermula dengan Geng 10, memboikot persidangan DUN Terengganu dan menyebarkan cerita kononnya mereka takut keselamatan diri mereka terancam ekoran penerimaan SMS bernada ugutan, yang didakwa oleh Geng 10 ini diterima dari Pejabat Menteri Besar Terengganu.

Datuk Ahmad juga digertak oleh mereka ini (ketika itu mungkin Geng 10 sudah bertambah menjadi Geng 11) kononnya mereka sudah berunding dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bersedia pada bila-bila masa, melompat ke PKR untuk bergabung dengan Pas, bagi menubuhkan kerajaan pembangkang di Terengganu.

Namun, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib menyifatkan mereka yang lompat melompat parti ini sebagai kumpulan jijik yang sekaligus membantutkan usaha Geng 10.

Jangan terkejut, Geng Empat ini tidak akan berputus asa untuk merosakkan imej kepimpinan Datuk Ahmad seterusnya walaupun mereka sedar, tidak ada apa lagi yang boleh mereka lakukan kecuali menabur fitnah kononnya pegawai-pegawai kerajaan di Terengganu tidak menerima Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar.


Berita Selanjutnya >>

Bagan Pinang : Cerita Menarik selepas pengumuman calon


Oleh Zamzuri Damanhuri

BARISAN Nasional sudah membuat keputusan mencalonkan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon di DUN Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil, 11 Oktober ini.
Pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dibuat di hadapan lebih 10,000 hadirin yang memenuhi khemah besar di tepi jalan, Batu 6 Teluk Kemang, 29 Oktober lalu, lebih kurang jam 5.15 petang.
Ada yang berpelukan, ada yang berlinangan airmata dan ada yang bersorak gembira kerana mereka semuanya bersatu hati mahukan Mohd Isa yang pernah dihukum dengan mengantung keahlian Umnonya selama tiga tahun, membuat ‘come back’ dalam politik.
Muhyiddin sendiri, kelihatan cukup gembira apabila pertanyaannya kepada hadirin, “siapa yang tuan-tuan mahu dicalonkan di sini?” disambut serentak suara hadirin “Mohd Isa”. Berulang-ulang kali Muhyiddin bertanya dan jawapannya tetap sama dan beliau dengan senyum penuh makna terus menamakan Mohd Isa sebagai pilihan pucuk pimpinan dan mengikut kehendak akar umbi menamakan Mohd Isa.
Paling menarik, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti memilih Mohd Isa sedangkan beberapa kali beliau memberikan pandangan supaya BN jangan memilih Mohd Isa dan Dr. Mahathir juga mahukan Mohd Isa mendesak pucuk pimpinan supaya jangan menamakan beliau sebagai calon.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi yang turut menyokong pandangan Dr. Mahathir supaya BN tidak memilih Mohd Isa kelihatan hadir sama di hari pengumuman calon bersama-sama SUSKnya, Haji Salim Sharif yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Tan Sri Mohd Isa Abdul Saad ketika Mohd Isa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.
Kelibat seorang lagi Timbalan Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah (Pengajian Tinggi) yang juga tidak mahu Mohd Isa dicalonkan tidak kelihatan tetapi kenyataan yang dibuatnya sehari kemudian di putrajaya turut menyokong Mohd Isa dan yakin BN akan mencapai kemenangan yang cemerlang dalam pilihan raya kecil kali ini.
Setakat ini, Tengku Razaleigh Hamzah sahaja yang belum mengeluarkan kenyataan selepas nama Mohd Isa dicalonkan kerana beliau juga digambarkan media sebagai tidak mahu Mohd Isa dicalonkan. Bekas Tahanan ISA, Tan Sri Abdullah Ahmad yang dikaitkan dengan ideologi komunis juga dalam tulisannya di Akhbar Sinar Harian menampakkan pendiriannya tidak mahu Mohd Isa menerima tawaran menjadi calon BN.
Tidak tahulah selepas ini, adakah Dollah Kok Lanas yang pernah ‘berperang’ dengan Tan Sri Annuar Musa dalam beberapa tulisannya akan menulis perkara-perkara baik atau sebaliknya mengenai calon BN di DUN Bagan Pinang ini kerana setiap kali dia menulis, dia akan menghina orang lain termasuklah Allahyarham Tun Ghafar Baba, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Baginya, dia seorang sahaja yang pandai dan orang lain tidak. Dollah Kok Lanas ni tidak pernah mendapat ijazah atau diploma dari mana-mana IPTA tetapi disebabkan dia pernah menjadi Setiausaha Politik Allahyarham Tun Abdul Razak maka dia merasakan dialah yang pandai dan setanding dengan kepandaian Tun Razak, agaknya.
Sebenarnya, orang seperti ini tidak ada tempat dalam Umno. Cuba bertanya kepadanya, berapa kali dia menang MT?
Ketika jentara BN akan berkerja keras di Bagan Pinang kerana ingin mencari kemenangan besar, ramai yang tidak berkesempatan datang mendoakan kemenangan berpihak kepada Tan Sri Mohd Isa. Malahan, kemenangan ini nantinya akan memberi nafas baru kepada BN dan Umno walaupun Menteri Besar Negeri Sembilan dalam ucapannya di hari pengumuman calon mengatakan Umno dan BN sedang lemah dan tidak kuat.
Yang tidak kuat bukan BN dan Umno tetapi pemimpin macam Mohamad Hasan yang kalah bertanding MT walaupun dia adalah Ahli Majlis Tertinggi yang mempertahankan jawatannya.
Kepada beberapa blogger yang turut tidak menyenangi Mohd Isa dipilih sebagai calon, hari ini mulakanlah tulisan-tulisan yang memperkatakan kebaikan yang Mohd Isa pernah buat walaupun ada sekali dalam karier politiknya beliau telah dikatakan melanggar kod etika pemilihan.
Berjumpa di Bagan Pinang!
Berita Selanjutnya >>