Isnin, 7 September 2009

Jangan beri muka sangat dengan ‘penentang’



Oleh Zainal Yusof

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bahawa beliau bukan ‘orang tengah’ tetapi berhasrat membantu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebenarnya ‘kenyataan yang terlalu memberi muka’ kepada kumpulan yang menentang.

Apa yang sepatutnya dilakukan, panggil seorang demi seorang 10 ADUN penentang ini dan beri kata dua kepada mereka. Jika mereka merasakan diri mereka terlalu hebat, suruh mereka meletakkan jawatan atau mengosongkan kerusi.

Jika mereka tidak mahu, serahkan kepada mereka untuk meninggalkan Umno dan masuk PKR atau sebagainya. Jika dilayan karenah mereka, seolah-olah TPM memberi ruang kepada lebih ramai lagi ADUN yang mempunyai masalah peribadi ‘menggugut’ pucuk pimpinan.

Muhyiddin sendiri tahu bahawa Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sudah terbabit (ke arah menyelesaikan masalah) tetapi menurut TPM nampak ada beberapa perkara yang belum selesai. “Mungkin pada peringkat ini saya boleh bantu dan akan jumpa pihak yang belum selesai lagi masalah, Insyaallah kita akan selesaikan,” kata Muhyiddin selepas menyampaikan bantuan Aidilfitri Parlimen Ipoh Barat dan Ipoh Timur di Kampong Kepayang Fair Park dekat Ipoh baru-baru ini.

Umno sebenarnya bukan tidak pernah menghadapi masalah serupa seperti apa yang berlaku di Terengganu, tetapi kebijaksanaan pucuk pimpinan biasanya boleh menyelesaikan.

Ketika Kedah mahu menukar Menteri Besar, dari Tan Sri Osman Arof kepada Tan Sri Sanusi Junid, ada 22 ADUN menandatangani memorandum tidak mahu menerima Sanusi. Tetapi Perdana Menteri (PM) ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad memanggil setiap orang 22 ADUN tersebut untuk bersemuka, seorang demi seorang, akhirnya mereka akur.

Kenapa dalam kes Terengganu, PM Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mempunyai cukup keberanian untuk berdepan dengan kesemua 10 ADUN yang menentang perlantikan Datuk Ahmad Said ini? Hebat sangatkah pengaruh 10 ADUN penentang ini hingga menyebabkan PM dan TPM beria-ia sangat mahu ‘mengadakan’ rundingan demi rundingan yang seolah-olah terlalu memberi muka kepada mereka yang menentang.

Penyakit menentang dan menggugut ini akan merebak ke negeri-negeri lain jika PM dan TPM terlalu berlembut dengan mereka. Takut apa sebenarnya dengan Geng 10 ADUN penentang ini? Jika terpaksa membubarkan DUN Terengganu, teruskanlah asalkan ‘duri dalam daging’ ini boleh dikeluarkan.

Ketika inilah sebenarnya PM dan TPM boleh mengenal pasti siapakah sebenarnya kawan dan siapa sebenarnya lawan dalam Umno.

Potonglah ‘bahagian’ yang dikesan mendapat barah kerana jika tidak, ia akan merebak.

Atau, jika Najib dan Muhyiddin sedar, sebenarnya dalam Geng 10 ini, ada tiga empat orang sahaja yang ‘menjadi ketua’ kepada yang lain-lain. Jika perlu, ambil tindakan ‘brutal’ kepada mereka yang dikenal pasti sebagai pembawa masalah.

Kenapa nak simpan mereka ini? Kenapa perlu korbankan Datuk Ahmad Said yang nyata sudah membuktikan dirinya sebagai seorang Menteri Besar yang dapat diterima rakyat tetapi tidak dapat diterima 10 wakil rakyat?

Selepas ini, PM dan TPM perlulah memilih calon-calon wakil rakyat yang setia kepada parti, tahu Perlembagaan dan boleh menghormati udang-undang.

Amatlah rugi apabila Umno memilih wakil rakyat dari kalangan mereka yang cetek fikiran, taksub kepada seseorang hingga menyebabkan sanggup menjadi perosak kepada kestabilan parti yang banyak berjasa kepada diri wakil-wakil rakyat ini dan negara.

Atau, jika ada ‘budget’ PM dan TPM bolehlah menghantar kesemua 10 ADUN ini menghadiri kursus ‘mendalami’ pemahaman Perlembagaan Umno dan belajar untuk mencintai Umno, parti yang benar-benar terbukti sudah banyak berjasa kepada orang Melayu dan agama Islam.


Berita Selanjutnya >>

Jumaat, 4 September 2009

Hanya beberapa Adun sertai majlis Muhyidin

HULU TERENGGANU, 3 Sept - Hanya empat sahaja dari anggota Exco dan hanya satu sahaja Adun Umno yang kelihatan dalam majlis berbuka puasa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang hari ini.

Bahkan Adun Ajil, Rosol Wahid, yang kawasannya terletak dalam Parlimen Hulu Terengganu juga tidak kelihatan dalam majlis Timbalan Perdana Menteri hari ini. Begitu juga Datuk Seri Idris Jusoh, bekas MB dan juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu.

Inilah realiti permasalahan Umno di Terengganu sekarang sehingga Muhyidin dalam sidang medianya terpaksa menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam krisis di Terengganu sekarang.

Muhyidin juga mengakui Umno Terengganu sekarang dilanda krisis.

“Saya lihat sudah ada penambahbaikan situasi sekarang berbanding dahulu. Namun begitu, saya nyatakan kesediaan saya untuk membantu mana yang difikirkan perlu kalau ada perkara-perkara tertentu yang perlu dibereskan.

“Sama ada melibatkan isu politik atau kerajaan dengan kerjasama Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Besar ... lepas hari raya atau bila masa yang sesuai,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin empat peringkat Umno Terengganu itu.

Menurut maklumat, hanya sebahagian kecil sahaja wakil rakyat Umno yang hadir dalam pertemuan tertutup para pemimpin Umno dengan Muhyidin itu.

Muhyidin sampai ke Kuala Terengganu jam 4.30 petang tadi dan terus ke Hulu Terengganu untuk mengadakan pertemuan itu. Turut serta bersama beliau adalah Datuk Seri Hishamudin Hussein yang merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu serta datuk Ahmad Said, timbalan beliau yang juga MB Terengganu.

Beliau kemudiannya berbuka di Masjid Sultan Mahmud dan solay Isyak serta terawih di Masjid Telok Menara, Manir iaitu dalam Dun yang diwakili oleh Datuk Harun Taib, Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Ketua Pembangkang Dun Terengganu.

Mahyudin ke Terengganu di tengah-tengah berita panas yang melibatkan Umno Terengganu. Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan, sembilan Adun Terengganu dikatakan akan melompat ke PKR dan membentuk kerajaan baru di Terengganu.

Mereka telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dekat sebuah hotel di Kemaman.


(Dipetik dari http://www.themalaysianinsider.com )


Berita Selanjutnya >>

Berita Adun Umno keluar parti semakin panas

KUALA TERENGGANU, 1 Sept — Bermula dengan laporan dari The Malaysian Insider, kini berita sembilan Adun Umno Terengganu akan melompat parti semakin panas diperkatakan.

Terbaru, seorang Exco kerajaan negeri dikatakan sudah tidak sabar lagi dengan apa yang berlaku dalam kerajaan negeri Terengganu pimpinan Datuk Ahmad Said.

Beliau dikatakan mengugut akan meletakkan jawatan tidak lama lagi jika keadaan yang ada terus berkekalan.

Ahmad Said reciting at a mosque two days ago. - Bernama pic

Isu yang berlaku di Terengganu sangat-sangat tidak disenangi oleh Adun Umno khasnya yang tidak bersama dalam kem Ahmad Said.

Ini kerana, sejak tersisih mereka kehilangan segala-galanya bukan sahaja jawatan bahkan juga projek-projek kerajaan negeri.

Ini kerana, mereka bukan lagi hanya bersaing dengan penyokong Ahmad Said bahkan juga mereka yang berselindung di belakang Istana Terengganu yang menabalkan Ahmad Said.

Ahmad dilantik sebagai MB Terengganu selepas pilihan raya umum 2008 apabila Datuk Seri Idris Jusoh ditolak oleh istana walaupun nama beliau dikemukakan oleh Umno sebagai bakal MB.

Akibat tidak bersetuju dengan penolakan terhadap Idris, sekumpulan ahli Umno telah mengadakan demo di perkarangan kediaman rasmi MB Terengganu dan menaikkan beberapa kain rentang yang amat sensitif.

Antara kain rentang itu berbunyi “Kami nak Deris Jusoh natang”. Ia disiarkan oleh sebuah stesen TV dan gambarnya disebarkan merata-rata selepas itu.

Tafsiran yang berbangkit dari kain rentang itu amat ketara iaitu seolah-olah mereka menyifatkan Sultan Terengganu yang juga Yang Dipertuan Agung adalah ‘binatang’.

Sejak itu, hubungan antara penentang istana dengan istana semakin renggang.

Ada juga yang mendakwa, Ahmad Said bukan lagi MB Terengganu yang sebenar tetapi pihak yang mengambil kesempatan dengan apa yang berlaku terhadap beliau.

Ekoran itu, peluang perniagaan dan projek untuk penentang Ahmad Said semakin tipis bahkan hilang terus. Ini menyebabkan mereka terpaksa mencari jalan lain.

Jalannya adalah bekerjasama dengan PAS dan membentuk kerajaan baru kerana PAS juga mempunyai hubungan baik dengan istana Terengganu.

“Tetapi bagi saya, para pemimpin Umno ini penakut. Sebab itu sampai sekarang mereka tak berani nak tinggalkan Umno,” kata seorang pemimpin PAS Terengganu.

Namun begitu, seorang demi seorang mengaku dan meluahkan perasaan tidak senang mereka secara terbuka kepada media.

Baru-baru ini, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad mengaku ada rundingan dibuat yang melibatkan beberapa orang wakil rakyat berkenaan cadangan untuk lompat parti.

Nawi sebagaimana dilaporkan sebuah laman web berkata, cakap-cakap mengenai tindakan untuk meninggalkan Umno bermula sejak dua bulan lalu.

“Ini bermula daripada cadangan. Cadangan ini ada daripada PKR dan ada daripada individu,” katanya tanpa menamakan individu-individu berkenaan.

Menurut Nawi, pertemuan seumpama itu juga diadakan secara tidak rasmi di antara beliau sendiri dan beberapa lagi wakil rakyat Umno negeri itu.

Beliau turut mengesahkan terdapat sembilan orang wakil wakyat Umno yang kini tidak lagi menyokong kepimpinan ADUN Kijal sebagaimana dilaporkan The Malaysian Insider sebelum ini.

“Memang betul kami tidak berpuas hati dengan menteri besar,” kata Nawi lagi


Berita Selanjutnya >>

POLITIK UGUT-MENGUGUT PULA DI TERENGGANU

(Dipetik dari http://hambali1.blogspot.com/)

Politik Terengganu nampaknya panas semula.

Walaupun dikatakan reda oleh beberapa pihak minggu lalu, ia sebenarnya bagaikan api dalam sekam.

Kalau sebelum ini wujud pulau memulau, kali ini wujud pula strategi mengugut. Ugutan ini bukan setakat kepada UMNO Terengganu tetapi UMNO Malaysia amnya.

Amat jelas ADUN UMNO yang menentang kepimpinan Datuk Ahmad Said kini tidak melihat kepentingan lain tetapi memenuhi tuntutan mereka semata-mata.

Wakil rakyat Umno kini berpecah dua susulan pelantikan mengejut Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar, menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, selepas pilihan raya umum 2008.

Hari ini Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berada di Kuala Berang.

Malah, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein juga akan berada pada Program Memperkasa Umno Semula di Kuala Berang.

Program yang melibatkan ahli-ahli jawatankuasa lapan bahagian di Terengganu itu disusun bagi merapatkan semula hubungan antara penyokong Ahmad dengan penyokong Idris.

Selain Muhyiddin, Hishammuddin juga akan menyertai program bertemu rakyat di Setiu, malam ini dan esok.

Apapun, bak kata ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad: “Kena ada kesungguhan dari kedua-dua pihak (pro-Ahmad dan pro-Idris).

"Perkembangan isu ini setakat ini sangat tidak baik kepada BN. Orang boleh nampak tiada kekuatan dalam parti. Kalau datang pilihan raya sekarang, kita pasti kalah," tambahnya.
Namun, di sebalik itu, ada dua perkara yang akan disuarakan kepada Muhyiddin hari ini.

Pertama, wakil rakyat perlu dilantik sebagai pengerusi penyelaras DUN masing-masing dan;

Kedua, mereka mempunyai kuasa untuk menamakan anggota-anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menurut kumpulan yang menentang kepimpinan Datuk Ahmad Said, kedua-dua tuntutan ini, sekiranya ditunaikan, boleh memulihkan semula hubungan antara pemimpin-pemimpin Umno di Terengganu.

Malah, banyak pihak melihat program berkenaan boleh membuahkan hasil, sekiranya pucuk pimpinan mengambil kira tuntutan yang dikemukakan.

Kalau tidak?

Ini yang menariknya.

Sembilan wakil rakyat Terengganu mahu tuntutan mereka ditunaikan sekiranya Umno mahu mengelakkan mereka melompat kepada PKR.

Persoalannya, bersediakah melakukan sedemikian?

Apakah dengan melompat kepada PKR, isu dan tuntutan mereka akan berhasil?

Apakah UMNO Pusat atau Putrajaya akan ‘membenarikan’ mereka berbuat demikian?

Yang pasti, menurut Malaysiakini, Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengadakan pertemuan bersama sembilan ADUN Umno Terengganu tetapi tidak pasti ia melibatkan usaha menggulingkan kerajaan negeri.

ADUN Hulu Besut semalam mengakui bahawa pertemuan antara Anwar dan sembilan orang wakil rakyat itu – yang diura-urakan menyertai PKR sebelum bergabung dengan lapan ADUN PAS – memang telah diadakan.

Nawi bagaimanapun menjelaskan tidak mempunyai maklumat lengkap kandungan perbincangan kedua-dua pihak berkenaan.

"Saya tidak tahulah apa yang dibincangkan dan ia juga tiada kena-mengena dengan saya," katanya, sambil menegaskan beliau sendiri tidak tersenarai dalam sembilan ADUN yang akan meninggalkan parti.

"Yang sembilan orang itu tidak termasuk saya. Kalau sepuluh orang pun tidak termasuk lagi," katanya.

Tambahnya, beliau tidak termasuk daripada 10 ADUN Umno yang bertindak memboikot persidangan DUN Terengganu, April lalu.

Apapun menurut Nawi, spekulasi hangat mengenai usaha lompat parti wakil-wakil rakyat BN itu "sudah semakin reda" sekarang dan cakap-cakap mengenai isu itu semakin jarang kedengaran.

"Kalau wakil rakyat ini masuk PKR, tidak akan dapat untung apa-apa, cuma dapat kepuasan secara peribadi," katanya.

Berita Selanjutnya >>

BUKITBESI DULU KINI DAN AKAN DATAN

(Dipetik dari http://anakbukitbesi.blogspot.com/)

1960'an aku membesar di Besol dengan suasana Bandar Bukit Besi yang paling maju di Terengganu. Api, air, rumah cantik, supermarket, keretapi kesemuanya PERCUMA. Komuniti tak bergaduh, Cina, India pun ada MELAYU majoritinya...sejarah!!

Bermula era 70'an pemimpin politik Melayu Terengganu terserlah kedaifannya..setelah kontrak lombong tamat habis infrastruktur dan peninggalan Industri Lombong terbesar Asia diroboh walaupun dihalang oleh ahli-ahli Persatuan/ Union Pekerja Lombong. Diluar kawalan MB Wan Mokhtar ketika itu, bos SEDC/PMINT membuat keputusan tanpa merujuk bossnya...tak reti menilai kesan sejarah ataupun menghargai infrastruktur yang cukup baik untuk pembangunan masa depan Terengganu.

Bermulalah era KETENGAH yang hampir 36 tahun diamanah untuk membangun 1/3 kawasan jajahan terengganu termasuk Bukit Besi. Dinamakan Bandar Bukit Besi tetapi hakikatnya Sosial Ekonomi tidak seberapa walaupun berjuta-juta ringgit dibelanja. Bermula isu penipuan projek PPRT RM43 Juta, diera Anuar Musa menteri yang bijaksana pidatonya!!!??? Hari ini KETENGAH dah hebat dengan anak syarikat, koperasi dsbnya. Malangnya kampungku Bandar Bukit Besi bergelumang dengan masaalah rumah tak bayar, sosial golongan murid sekolah, tak ade pembanguunan utk org.kampung (kedai & sebagainya...)belia dan orang dewasa tak kurang hebatnya dan paling MEMALUKAN BILAMANA WAKIL RAKYAT DUN, DIN ADAM bekas pegawai KETENGAH menjawat EXCO dizaman Pak Yeh, Ketua Pemuda, Pengerusi Muzium bla-bla... hari ni masih jadi wakil Rakyat hanya pandai buat rumah kediaman beliau di KT RM?berjuta-juta dan menentang Menteri Besar (Mat Said). DIN ADAM tak ada kepertanggungjawaban sebagai wakil rakyat....sombong, angkuh, tamak, rakus, memecahbelahkan bangsa bepaksikan teori politik kotornya, pecah dan perintah biar orang-orang Bukit Besi bodoh dan miskin mudah beliau nak jual-beli kami!!!! maaf emosi sikit

Maka masa depan kami Generasi Kedua masih belum ada tanda-tanda pembelaan selagi Wakil Rakyat DIN ADAM bermahaRAJAlela..

KETENGAH pulak dengan gelagat pegawai-pegawai yang kurang rajin/amanah dan berpuak sesama mereka.

Untuk MB Terengganu, YB Matulidi dan GM KETENGAH En.Hamzah demi Agama, Bangsa dan Negara bangunkanlah Bukit Besi yang telah ada sumber dan potensinya. Semoga kemajuan BUkit Besi menjadi tanda mercu dan Identiti Terengganu dalam Industri EkoTourism, EduTourism, AgroTourism...

Apa kelasnya ada wakil Rakyat Melayu, tapi bangsaku hidup merempat dan meminta subsidi disaban hari. Tok wakil kumpul harta dan asyik melancung ke Indonesia dgn kroni-kroninya.....

Kalau tidak kita Orang Bukit Besi siapa lagi nak majukan? kampung kita. DIN ADAM rumah besar di Kuala Terengganu, Pegawai KETENGAH tunggu pencen lepas tu blaalah...orang politik dok asyik bergaduh sesama mereka (melayu bukan Melayu !!).

Akhirnya bangsa asing akan datang menguasai semula Bukit Besi berbentuk ekonomi dan sosial. Takde gunanya UITM dan Penjara dibina di BUkit Besi kalau pekerja India, taukeh org luar.

Berita Selanjutnya >>

ROSOL BARU SEDAR

( Dipetik dari http://memobelakang.blogspot.com/)



Saya sudah biasa dengan suasana Kuala Berang kerana ayah saya, aruah Haji Saidi bin Abdul Latif bekerja di FELCRA Kuala Embong, Sekayu dan FELCRA Kg. Nibong dari tahun 1975 hingga 1993. Jadi saya selalu berulang alik dari rumah nenek saya di Pasir Gajah, Kemaman ke Kuala Berang rumah ayah dan ibu saya. Sejak kecil saya duduk dengan datuk dan nenek saya di Kemaman.




Pada tahun 1996, Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang ketika itu Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu menawarkan saya menulis buku HULU TERENGGANU MENUJU KEEMASAN. Saya tinggal di Kuala Berang selama empat bulan untuk menyiapkan buku tersebut yang dilancarkan oleh Exco Kerajaan negeri, Datuk Abdul Rashid Ngah.




Ketika itu Datuk Rosol Wahid belum aktif dalam politik. Jadi ketika saya berada di Kuala Berang pada tahun 1996, saya tidak kenali Rosol. Pada tahun 1999 sewaktu PAS menang di Terengganu, beliau baru aktif dalam politik dan menang di DUN Ajil bersama Tengku Putera yang mengekalkan kerusi DUN Telemong.




Pada tahun 2004 Tengku Putera berpindah ke parlimen Hulu terengganu maka Rosol menjadi Exco memenuhi kuota UMNO Bahagian Hulu terengganu. Beliau menjadi semakin gagah apabila Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh melantiknya sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO terengganu.




Sepatutnya beliau berterima kasih kepada Tengku Putera yang mempromosi dirinya untuk masuk politik menggantikan tempat bekas Exco, Othman Daud yang tidak ngam dengan Tengku Putera. Bila dah jadi wakil rakyat dan Exco, Rosol mula gong dan tak nak terima Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar kerana dahulu Ahmad setaraf dengannya sesama Exco dari tahun 2004-2008.




Tapi sebenarnya Rosol lupa bahawa Ahmad Said lebih senior darinya kerana Ahmad jadi ADUN sejak pilihanraya kecil 1990 dan jadi Exco dari tahun 1995-1999 tetapi tewas di Kijal pada tahun 1999.


Inilah bahananya bila Rosol tak nak terima Ahmad sebagai Menteri besar baru.




Saya ingin ulas tulisan Rosol dalam blognya pada 20 Ogos lalu. Saya tertarik dengan tulisannya seperti berikut:- Bercakap tentang harapan, kita di Terengganu Darul Iman juga mempunyai harapan yang menggunung agar UMNO terus perkasa. Terutama di bawah kepimpinan mantan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Harapan kita agar diadakan program-program memperkasakan UMNO dan BN.


Saya katakan demikian kerana masa telah terlalu suntuk untuk pilihanraya akan datang. Sehingga kini saya tidak melihat satu usaha ke arah itu...Mungkin saya tidak terlihat atau tersalah pandang barangkali. Kalu begitu maaflah.


Kedatangan Pengerusi ke Terengganu beberapa hari yang lalu dengan kehadiran begitu ramai orang pada saya buka indikator kekuatan UMNO dan BN Terengganu. Strategi sekarang ialah menjaga setiap individu...atau 'head count'...ini lebih penting. Peranan ketua lima perlu diaktifkan semula. Malangnya kita hanya sibuk berpolitik sesama kita.




Rosol menulis kita hanya sibuk berpolitik sesama sendiri. Siapa yang sibuk berpolitik? Bukankah dia yang tak nak terima Menteri Besar baru dengan geng sembilan? Kalau dia terima Ahmad Said, kekecohan yang ada sampai sekarang tidak timbul.


Khabarnya Najib dan Hisshamuddin menghadap Sultan Mizan secara berasingan mengadu hal politik Terengganu. Sultan Mizan bertitah yang lain boleh sentuh tapi jangan sentuh hal Ahmad Said. Sultan Mizan yamg melantik Ahmad Said, kecuali Ahmad Said buat salah dengan Sultan Mizan, baru Sultan Mizan tukar Menteri Besar.


Rosol tak sedar ke mempertikai Ahmad Said maknanya mempertikai Sultan Mizan. Kalau tak nak dengar titah Sultan Mizan, lebih baik pindah ke negeri lain. Jangan duduk di Ajil lagi. Jangan cakap merapu. Dulu nak letak jawatan tapi sampai sekarang tak letak jawatan ADUN pasal Rosol tak tahu bila letak ADUN tak boleh tanding selama lima tahun.


UMNO Pusat sepatutnya ambil tindakan disiplin kepada sembilan ADUN yang bertemu dengan Anwar Ibrahim. Bila Setiausaha Agung UMNO mahu bertindak?

Berita Selanjutnya >>

IDRIS DAN ROSOL TIDAK HADIR

(Dipetik dari http://memobelakang.blogspot.com)


Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Idris Jusoh dan bekas Setiausaha Pehubungannya, Rosol Wahid tidak kelihatan di majlis Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini di Kuala Berang, Terengganu.


Sementara itu Muhyiddin menawarkan diri menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut politik di Terengganu yang sudah berlarutan sejak selepas pilihan raya umum ke-12 lepas.


Pemerhati politik berpendapat Muhyiddin lebih sesuai mengetuai UMNO Terengganu kerana dengan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, kumpulan 10 lebih menghormati Muhyididin daripada Hishamuddin yang lebih junior dari Idris dalam politik. Idris sudah jadi Ketua Pemuda UMNO Terengganu pada tahun 1993 sedangkan Hishamuddin baru menang Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang pada tahun yang sama.


Trend Timalan Perdana Menteri memimpin UMNO Terengganu pernah dirintis oleh Pak Lah apabila beliau selaku Timbalan Perdana Menteri dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu pada tahun 1999.


Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau sedia bersemuka dengan pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat kerana berpendapat kemelut itu lebih kepada masalah peribadi.


Katanya sejak beberapa bulan lepas, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan timbalannya, Datuk Ahmad Said yang juga Menteri Besar, telah melakukan pelbagai inisiatif bagi memperbaiki keadaan tersebut.


"Saya lihat sudah ada penambahbaikan situasi sekarang berbanding dahulu. Namun begitu, saya nyatakan kesediaan saya untuk membantu mana yang difikirkan perlu kalau ada perkara-perkara tertentu yang perlu dibereskan.


"Sama ada melibatkan isu politik atau kerajaan dengan kerjasama Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Besar...lepas hari raya atau bila masa yang sesuai," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin empat peringkat Umno Terengganu di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu di sini.


Sambil mengakui memang wujud krisis dalaman parti itu di Terengganu, Muhyiddin berkata masalah itu perlu diselesaikan segera supaya ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Beliau berkata sebagai sebuah negeri yang disifatkan sebagai "kubu kuat" Umno selepas pilihan raya umum lepas, hubungan dan kerjasama antara pemimpin parti perlu diperkukuhkan kembali di Terengganu.


"Saya tidak melihat ia satu masalah yang tidak dapat diselesaikan. Semua isu yang berbangkit, (melibatkan) hubungan antara kita..bukan ada orang luar nak kacau dan sebagainya."Saya melihat Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu kukuh dan bersatu padu...Terengganu merupakan negeri yang penting kepada kita dan mahu kedudukan ini terus kekal. Sebab itu kedudukan politik dan parti amat mustahak diberikan perhatian," katanya.


Dalam pada itu, beliau percaya tiada wakil rakyat BN Terengganu yang akan bertindak untuk keluar daripada parti itu kerana mereka merupakan pemimpin yang masih cintakan dan mempunyai semangat yang kuat untuk memperkukuhkan parti.


"Setakat ini, saya tidak dengar (ada pemimpin Umno hendak lompat parti). Saya tidak fikir mereka akan ambil langkah yang boleh merugikan parti," katanya.


Muhyiddin percaya kemelut dalaman itu tidak akan mengancam parti kerana pemimpin-pemimpin yang terlibat hanya menimbulkan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa perkara melibatkan Umno di negeri ini.


Namun begitu, beliau berkata kunjungan dan perjumpaannya dengan pemimpin Umno Terengganu adalah kritikal bagi memastikan hubungan dan kerjasama antara mereka terus mantap bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Kemelut politik Terengganu timbul selepas Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh selepas pilihan raya umum ke-12 lepas.


Berikutan itu, beberapa isu timbul di kalangan pemimpin Umno Terengganu antaranya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu April lepas, 10 wakil rakyat BN tidak menghadiri mesyuarat tersebut sebagai "memboikot" kepimpinan Ahmad sebagai Menteri Besar.


Hishammuddin dan Ahmad turut hadir pada perjumpaan itu.Bagaimanapun bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas setiausaha badan perhubungan Umno Terengganu yang juga anggota Dewan Dewan Undangan Negeri Ajil Datuk Rosol Wahid dan sebahagian besar wakil rakyat BN tidak kelihatan pada perjumpaan di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu itu
Berita Selanjutnya >>
H1N1 POLITIK DI TERENGGANU
(Dipetik dari http://ohsedapnya.blogspot.com/)

Beberapa ketika sebelum Sidang Dewan Undangan Negeri pada 25 dan 26 Ogos lalu, heboh kembali diperkatakan oleh rakyat jelata, tentang ’undi tidak percaya’ yang akan di usulkan terhadap Menteri Besar Terengganu Dato’Ahmad Said.

Samada berita atau khabar angin yang bertiup, namun yang pastinya, ia datang dari kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Timbulnya kembali desas-desus mahu menjatuhkan Ahmad itu, menjadi bukti bahawa Umno Terengganu masih berpecah dan masih berbalah.

Dengan itu, sekaligus menolak dakwaan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada pada 17 Ogos lalu.

Hisham (H1) Nafi Umno Terengganu Pecah

Hisham menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno Terengganu kini berpecah dan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.

Beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata perpaduan serta semangat anggota Umno negeri itu begitu tinggi.

"Sejak kebelakangan ini, ada tuduhan daripada pihak-pihak tertentu bahawa Umno Terengganu berpecah, pemimpin-pemimpin bertelagah dan bersengketa.

"Tuduhan itu tidak berasas kerana Umno masih lagi mendapat tempat bagi membela bangsa Melayu," katanya semasa melancarkan Gerak Kepimpinan Terengganu Stadium Negeri.

Beliau bagaimanapun mengakui, persengketaan pernah wujud di kalangan pemimpin Umno Terengganu namun katanya perselisihan faham itu telah diselesaikan.

Walaupun media aliran perdana melaporkan kira-kira 5,000 anggota Umno hadir, hakikat sebenarnya tidak sampai 1,000 yang berhimpun.

Yang turut hadir adalah Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Dan yang tidak nampak hadir dalam program yang cuba menonjolkan kekuatan Umno Terengganu itu adalah Idris Jusoh.

”ADUN Ajil, Dato’ Rosol pun tak nampak kelibatnya, kalau (dia) ada senang nampak, pasal dia tinggi (dari orang lain),”kata seorang rakan media memberitahu.

Rosol Nak Masuk PKR

Kemudian, timbul pula versi (cerita) yang dipopularkan oleh Malaysian Insider, yang mengatakan bahawa Rosol dan beberapa konco-konconya akan ’melompat’ menyertai PKR.

Akhbar Internet itu menyatakan, sembilan ADUN Umno yang diketuai oleh Rosol Wahid dikatakan telah bersetuju untuk menyertai PKR.

”Sebelas ADUN dan seorang wakil ADUN Umno telah mengadakan pertemuan dengan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel di Kemaman selepas pilihan raya kecil Manek Urai selesai,
”dalam pertemuan itu, kata sepakat telah dicapai untuk membentuk kerajaan baru di Terengganu dengan cara kesemua mereka akan menyertai PKR,
”langkah ini diambil berikutan perpecahan yang berlaku dalam Umno dan 12 dari ADUNnya tidak berpuashati dengan Ahmad (Said),”lapor akhbar itu lagi.
Rosol Nafi Nak Masuk PKR, akui Umno masih bermasalah

Pada 26 Ogos, sebaik sahaja tamat sidang DUN, Rosol dikejar wartawan sehingga sampai di tepi ’escalator’ yang menuju Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman.

Kemudian, wartawan pun berebut-rebutlah bertanyakan kepadanya, adakah beliau akan keluar Umno dan adakah beliau masuk PKR?

Rosol tidak mengaku malah menafikan beliau mengetuai kumpulan sembilan ADUN negeri ini untuk menyertai PKR.

Beliau menyifatkan laporan akhbar Internet mengenainya adalah bersifat provokasi selain bertujuan menjatuhkan imej Umno.

Beliau mengakui masalah dalaman Umno masih tidak selesai namun katanya beliau tidak pernah berbincang atau berniat untuk meninggalkan UMNO.

''Saya tetap bertegas bahawa laporan portal tersebut adalah khabar angin semata-mata. Ini tak akan berlaku dalam kumpulan kita.

''Khabar angin ini hanya untuk menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan wakil rakyat UMNO.

''Kita masih lagi wakil rakyat BN, itu tiada kompromi, kita yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib Tun Razak," katanya seperti biasa, sebagaimana kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini.

Selang beberapa minit selepas Rosol membuat kenyatan, beberapa wartawan berkejar memberitahu, Ahmad Said panggil, ada sidang media di pejabatnya.

Ahmad Said syok sendiri

Ahmad Said dalam sidang medianya berkata beliau yakin kemelut politik di Terengganu akan dapat diselesaikan tidak lama lagi berdasarkan sokongan majoriti wakil rakyat Barisan Nasional (BN) terhadap beliau sekarang.

Katanya, hubungan beliau dengan wakil-wakil rakyat BN semakin baik dan keadaan itu dapat dilihat dengan kehadiran mereka pada persidangan dua hari Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, yang berakhir hari ini.

"Apabila kita cadangkan (usul) mereka menyokong dan apabila pengundian dijalankan mereka semua setuju," katanya kepada pemberita selepas persidangan dewan hari ini.

Ditanya mengenai sikap wakil-wakil Barisan Nasional yang berdiam diri tanpa mengambil bahagian dalam perbahasan, seolah-olah membuat protes secara senyap terhadap beliau, Ahmad berkata: "Kita nak buat macam mana?"

"Saya bukan ada remote control yang boleh kawal keluar suara dan sebagainya macam nak buat jalut bercakap. Jadi biarlah rakyat menilai sendiri mereka.

Ahmad tidak menafikan masih ada "tiga atau empat" wakil rakyat BN yang enggan memberikan kerjasama kepada beliau untuk memimpin negeri itu serta sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Katanya, beliau telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan wakil-wakil rakyat yang terlibat bagi menyelesaikan kemelut politik dalaman Umno itu.

"Tetapi ada yang berkeras lagi kerana ini melibatkan perasaan masing-masing, kita tengoklah macam mana nanti," katanya.

Geng Rosol pula kata ’betul’ nak keluar UMNO

Kemudian, dalam masa 24 jam selepas itu, seorang penyokong Idris yang juga ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad mengakui memang ada rundingan melibatkan cadangan untuk lompat parti.

Nawi berkata cakap-cakap mengenai tindakan untuk meninggalkan Umno bermula sejak dua bulan lalu, berikutan rasa tidak senang dengan kepemimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Ini bermula daripada cadangan. Cadangan ini ada daripada PKR dan ada daripada individu," katanya kepada Malaysiakini, tanpa menamakan individu-individu berkenaan.

Jelasnya, pertemuan seumpama itu juga diadakan secara tidak rasmi di antara beliau sendiri dan beberapa lagi wakil rakyat Umno negeri itu.

Beliau turut mengesahkan terdapat sembilan orang wakil wakyat Umno yang kini tidak lagi menyokong kepimpinan ADUN Kijal.

"Memang betul kami tidak berpuas hati dengan menteri besar," kata Nawi lagi.

Ditanya sama ada wujud rundingan balas pihak menteri besar atau Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak untuk memujuk mereka kekal dalam Umno, Nawi berkata: "Tidak ada."

Beliau juga menolak laporan media bahawa tindakan mereka itu akan disekat oleh pemimpin-pemimpin tertentu PAS Terengganu.

"Maknanya sekarang ini, bebaslah (kami) sama ada hendak kekal atau hendak keluar daripada parti," katanya.

Tiba-tiba pula dalam akhbar hari ini, Presiden UMNO, Najib (N1) pula berbunyi:

Kalau pada 17 Ogos Hisham kata semua perbalahan Umno Terengganu dah selesai, tiba-tiba hari ini, Najib kata "Umno sedang berusaha untuk mententeramkan pergolakan politik parti itu yang berlaku di Terengganu”

Maknanya, Hisham kata selesai, tapi Najib kata tidak lagi, dan yang dimaksudkan sebagai "kita sedang berusaha untuk mententeramkan keadaan” itu bermakna Umno Terengganu tidak tenteram dan masih bergolak.

Aiikkk............. yang mana satu betul ni??

Mula-mula Hisham kata semua dah OK, dah bersatu, tapi tiba-tiba masih ada yang nak jatuhkan Ahmad Said dengan undi tidak percaya.

Kemudian Rosol tak berani nak buat usul undi tak percaya, tapi Rosol kata Gengnya tak akan keluar UMNO dan tak akan masuk PKR.

Lepas tu Ahmad Said pula kata, semuanya akan selesai, ramai ADUN yang sudah kembali menyokongnya, tapi pada masa yang sama menyebut, ada ADUN yang masih tak boleh dikawal.

Kemudian Nawi pula tidak menyokong dakwaan Rosol dan berkata mereka memang ada berbincang nak keluar UMNO.

Dan akhir sekali Najib pula menolak dakwaan Hisham bahawa UMNO telah pulih, telah selesai. Najib kata sedang berusaha ’mententeramkan’ tapi belum pulih lagi!

Hishamudin satu (1) dan Najib pun satu (1), dua-dua pun tak betul belaka.

Inilah mungkin yang dimaksudkan oleh Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah bahawa ’pemimpin UMNO pening kepala, H1N1...........
Berita Selanjutnya >>

Khamis, 3 September 2009

Sudah main ugut-ugut, masih nak simpan mereka ini?

Oleh Wan Yusof Haji Wan Ngah

BERITA ‘gembira’ yang Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin terima dengan kunjungan untuk berbuka puasa di Masjid Sultan Mahmud Hulu Terengganu di Kuala Berang, 3 September yang juga 13 Ramadan ialah pengesahan dari ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang ada berjumpa dengan Sembilan ADUN Umno dari Terengganu, baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, khabarnya ADUN-ADUN yang mempunyai sejarah tersendiri memboikot persidangan DUN Terengganu, April lalu mahu menggugut kepimpinan negara, jika tidak memenuhi tuntutan mereka, mereka tidak menolak untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.
Khabarnya, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, yang kemampuan kepimpinannya dipertikaikan salah seorang ADUN Umno dari Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga dikatakan turut menghadiri majlis berbuka puasa dan solat Terawih di Masjid Kampung Telok Menara, Manir hari yang sama.
Kedua-dua pemimpin ini ‘akan diserang’ oleh jurucakap ADUN-ADUN pembuat masalah ini untuk mendesak supaya jawatan Penyelaras DUN diberikan kepada mereka dan perlantikan JKKK hendaklah diserahkan kepada mereka.
Jika ugutan ini berjaya, mana-mana ADUN di mana-mana sahaja, jika bermasalah dengan ketua bahagian, hendaklah mengugut kepimpinan negara, insyaAllah, ugutan mereka akan dilayan. Ketika ini, tiada siapa yang berani untuk ‘mengenakan tindakan atau memberi amaran’ kepada ADUN-ADUN pembawa masalah di Terengganu ini.
Mereka dilayan secara istimewa jika ke Kuala Lumpur dan mereka bermaharajalela ketika di Terengganu. Jika mereka suka mahu ke persidangan DUN, mereka pergi. Jika mereka tidak suka bercakap dalam persidangan DUN, mereka berdiam diri. Ikut suka hati mereka, macam Dewan Undangan Negeri Terengganu, hak peribadi keturunan dan keluarga mereka.
Siapa yang berani menegur? Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang rajin bercakap, termasuk menyuarakan hasrat kakitangan kerajaan menuntut bonus menjelang Hari Raya kepada Perdana Menteri, juga tidak pernah mahu bercakap bagi pihak parti, dalam isu ADUN-ADUN di Terengganu ini.
Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula sudah berjanji mahu mententeramkan kemelut politik di Terengganu dalam masa terdekat manakala Muhyiddin mengakui sudah mengetahui yang sembilan ADUN Terengganu ini mengadakan pertemuan dengan Anwar.
Cuma satu yang menarik untuk dibicarakan, kenapa masih ada rasa takut di hati Sembilan atau 10 ADUN yang tidak bersetuju dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, bertindak meninggalkan Umno dan menyertai PKR.
Kalau berani, bertindaklah. Kenapa mahu mengugut dan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada Umno Terengganu. Kalau masih sayangkan Umno, kenapa ‘buat masalah’.Mereka yang sayangkan Umno tidak akan bertindak secara ‘orang yang cetek fikiran’. Tidak guna pandai kalau penakut. Tidak guna bijak kalau penakut. Tidak guna buat heboh tunjuk hebat tetapi hati kecil masih ada rasa takut.
Barangkali 10 ADUN ini mahu melihat sejauh mana ‘ugutan’ mereka berkesan. Jika Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ‘ikut kehendak mereka’ bermakna mereka akan buat lagi selepas ini. Mungkin juga mereka, merasakan ‘hayat politik’ mereka sudah sampai ke penghujung menyebabkan mereka kena terus membuat onar.
Dari segi politik Umno, ugutan seperti ini sebenarnya perkara kecil. Umno sudah pernah menempuh ugutan lebih besar. Umno pernah menempuh zaman gerhana dengan kawan-kawan dalam komponen BN. Umno pernah diharamkan dan Umno pernah berpecah kerana kelahiran Parti Melayu Semangat 46.
Kes ugutan Geng 10 di Terengganu ini hanyalah kes ‘telor sebiji riuh sekampung’ sahaja. Rosol, Datuk Din Adam dan Nawi Mohamad bukan Tengku Razaleigh Hamzah, bukan Anwar Ibrahim dan bukan Tun Musa Hitam.
Mereka hanyalah ADUN yang diberi peluang oleh Umno bertanding di kawasan-kawasan selamat dalam Negeri Terengganu. Kebetulan, mereka menang walaupun mereka bukanlah ‘lagenda’ politik Terengganu seperti Tan Sri Ibrahim Fikri, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Kata orang Sumatera, ada mereka tak menambah, tak ada mereka tak mengurang. Kalau mereka ada keberanian, teruskan niat dan jangan main ugut-ugut. Tangan yang mencincang, mahu yang memikul. Kalau mereka berani buat, mereka tentunya berani tanggung!
Tunggu apa lagi?
Berita Selanjutnya >>

Rabu, 2 September 2009

Anwar sendiri temui 9 ADUN Umno

Oleh Salhan K Ahmad
(http://malaysiakini.com/)

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengadakan pertemuan bersama sembilan ADUN Umno Terengganu tetapi tidak pasti ia melibatkan usaha menggulingkan kerajaan negeri.

Wakil rakyat Hulu Besut, Nawi Mohamad hari ini mengakui bahawa pertemuan antara Anwar dan sembilan orang wakil rakyat itu – yang diura-urakan menyertai PKR sebelum bergabung dengan lapan ADUN PAS – memang telah diadakan.

Nawi bagaimanapun menjelaskan tidak mempunyai maklumat lengkap kandungan perbincangan kedua-dua pihak berkenaan.

"Saya tidak tahulah apa yang dibincangkan dan ia juga tiada kena-mengena dengan saya," katanya, sambil menegaskan beliau sendiri tidak tersenarai dalam sembilan ADUN yang akan meninggalkan parti.

"Yang sembilan orang itu tidak termasuk saya. Kalau sepuluh orang pun tidak termasuk lagi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, beliau tidak termasuk daripada 10 ADUN Umno yang bertindak memboikot persidangan DUN Terengganu, April lalu.

Tidak lama selepas insiden yang mengejutkan itu, kedengaran ura-ura PKR mendekati beberapa ADUN Umno untuk meninggalkan parti dan menyertai PKR.
Berita Selanjutnya >>

Layan tuntutan ADUN atau keluar Umno

Salhan K Ahmad
Sep 2, 09
(http://malaysiakini.com)

3:24pm kemaskini 6.25pm Sembilan orang wakil rakyat Terengganu mahu tuntutan mereka ditunaikan sekiranya Umno mahu mengelakkan mereka melompat kepada PKR.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata wakil-wakil rakyat berkenaan perlu dilantik sebagai pengerusi penyelaras DUN masing-masing dan juga kuasa untuk menamakan anggota-anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Kedua-dua tuntutan ini, sekiranya ditunaikan, boleh memulihkan semula hubungan antara pemimpin-pemimpin Umno di Terengganu, katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Wakil rakyat Umno kini berpecah dua susulan pelantikan mengejut Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar, menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, selepas pilihan raya umum 2008.

Nawi menambah, tuntutan berkenaan akan disuarakan kepada Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan mengikuti Program Memperkasa Umno Semula di Kuala Berang, esok.

Katanya, program yang melibatkan ahli-ahli jawatankuasa lapan bahagian di Terengganu disusun bagi merapatkan semula hubungan antara penyokong Ahmad dengan penyokong Idris.

Selain Muhyiddin, pengerusi perhubungan Umno negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga naib presiden parti, akan menyertai program bertemu rakyat di Setiu, esok.

Ditanya sama ada program berkenaan boleh membuahkan hasil, Nawi berkata ia mungkin berjaya sekiranya pucuk pimpinan mengambil kira tuntutan yang dikemukakan.

"Kena ada kesungguhan dari kedua-dua pihak (pro-Ahmad dan pro-Idris).

"Perkembangan isu ini setakat ini sangat tidak baik kepada BN. Orang boleh nampak tiada kekuatan dalam parti. Kalau datang pilihan raya sekarang, kita pasti kalah," tambahnya.

Nawi juga berkata, spekulasi hangat mengenai usaha lompat parti wakil-wakil rakyat BN itu "sudah semakin reda" sekarang dan cakap-cakap mengenai isu itu semakin jarang kedengaran.

"Kalau wakil rakyat ini masuk PKR, tidak akan dapat untung apa-apa, cuma dapat kepuasan secara peribadi," katanya.
Berita Selanjutnya >>

Alahai Rosol… siapa yang lebih mampu dari Hishammuddin?



Oleh Malek Saiful Muda

BEKAS Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid sudah mendedahkan siapa dirinya yang sebenar.
Satu ketika dia tidak bersetuju Menteri Besar Datuk Ahmad Said kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Dia juga tidak mahu Datuk Ahmad Said terus menjadi Menteri Besar.
Kini, dia tidak seronok dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, dengan alasan, Hishammuddin tidak akan faham politik Terengganu.
Maknanya, Rosol yang merupakan jurucakap Geng 10 yang berketuakan Datuk Seri Idris Jusoh mahu memberitahu Perdana Menteri, lantik dirinya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, jika tidak mahu melantik Idris. Itu tafsiran mudah seorang tukang sapu sampah di MPKT.
Ada juga yang mentafsirkan bahawa Idris merasakan Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana Najib juga tidak memahami politik Terengganu dan itulah sebabnya Najib melantik Hishammuddin yang dikatakan tidak tahu politik Terengganu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.
Pengalaman Hishammuddin sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno sejak 1998 hingga 2009, sebagai tidak layak untuk menerajui Umno Negeri Terengganu.
Inilah akibatnya apabila Najib, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Hishammuddin terlalu memberi muka kepada bekas Exco Islam Hadhari Terengganu ini.
Perangai Rosol ini juga adalah gambaran perangai setiap ADUN dalam Geng 10, barangkali.
Mungkin juga dalam fikirannya, selain Idris yang layak menjadi pemimpin Umno Terengganu, jawatan itu kenalah diserahkan kepada dia. Tapi, dia sudah menafikan dakwaan mengatakan dia kepingin mahu menjadi Menteri Besar Terengganu.
Orang lain, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, TPM, Tan Sri Muhyiddin Muhyiddin atau Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin tidak layak. Begitu juga dengan perlantikan jawatan-jawatan penting dalam Perhubungan Umno Negeri, kalau tidak melantik mereka dari kalangan Geng 10, bermakna ‘pemimpin tersebut’ berat sebelah dan tidak memahami politik Terengganu.
Rosol tidak patut mengatakan orang Johor taksub kepada Umno dan itu antara sebabnya orang Johor (Hishammuddin) tidak layak dilantik untuk mengemudikan Umno Terengganu. Rosol tidak cerdik sebenarnya. ‘Standard’ pemikiran Rosol sebenarnya, hanya boleh mengetuai Geng 10, untuk memboikot persidangan DUN Terengganu, lebih dari itu, dia tidak layak.
Jika ada penulis mengatakan Geng 10 cetek pemikiran, Rosol dan Geng 10 kena terima sebab segala cakap-cakap mereka, menunjukkan ‘kelas mana’ mereka berada.
Orang Johor bukan taksub tetapi mereka faham bahawa Umno besar jasanya kepada bangsa Melayu, agama Islam dan negara Malaysia yang tercinta.
Orang Johor juga yakin kerana Umno, Rosol boleh menjadi Exco dan kini kekal sebagai ADUN Ajil walaupun dia kalah sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.
Mungkin juga orang Johor tidak tahu, mula-mula Rosol aktif berkecimpung dalam Umno di Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang menghadiahkan dia sebuah pajero.
Cuma, apabila Rosol merasakan dia sudah cukup hebat dan boleh mengoncang pintu istana, dia ‘lupa rumput di bumi ketika merenung bintang di langit.’
Bagi berlaku adil kepada Rosol, di bawah ini disiarkan semula tulisan Rosol yang tersiar dalam blognya http://drosol.blogspot.com.


Thursday, August 20, 2009 Lain Padang...Berbeza Belalang
Salam bloggers...Kita sedang menanti keputusan Pilihanraya DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang. Kempen sedang hangat dijalankan. Masing-masing menjaja visi dan misi untuk rakyat. Saya tidak dapat komen banyak kerana saya tidak lagi berkesempatan ke kawasan tersebut. Tetapi saya dapat ramalkan bahawa keadaannya sama sahaja di mana-mana tempat pilihanraya kecil dijalankan. Ini ujian kedua Timbalan Presiden UMNO selepas Manik Urai. Kalau dikatakan Manik Urai hampir menang, harap-harap di Permatang Pasir ini kita akan menang walaupun dengan majoriti satu undi. Ini harapan kita dan ahli UMNO seluruh negara. Tetapi perlu diingat, harapan akan tinggal harapan jika tidak disertai dengan usaha dan azam yang bersungguh-sungguh. Bercakap tentang harapan, kita di Terengganu Darul Iman juga mempunyai harapan yang menggunung agar UMNO terus perkasa. Terutama di bawah kepimpinan mantan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Harapan kita agar diadakan program-program memperkasakan UMNO dan BN. Saya katakan demikian kerana masa telah terlalu suntuk untuk pilihanraya akan datang. Sehingga kini saya tidak melihat satu usaha ke arah itu...Mungkin saya tidak terlihat atau tersalah pandang barangkali. Kalu begitu maaflah. Kedatangan Pengerusi ke Terengganu beberapa hari yang lalu dengan kehadiran begitu ramai orang pada saya buka indikator kekuatan UMNO dan BN Terengganu. Strategi sekarang ialah menjaga setiap individu...atau 'head count'...ini lebih penting. Peranan ketua lima perlu diaktifkan semula. Malangnya kita hanya sibuk berpolitik sesama kita. Saya tidak tahu sejauhmana kefahaman Pengerusi Perhubungan tentang senario politik Terengganu. Kalu nak disamakan dengan politik Johor, saya rasa satu kesilapan. Saya bercakap dengan orang kuat UMNO Johor bahawa orang Melayu Johor amat taksub kepada UMNO. Dan ini berbeza dengan Terengganu... ...Lain hulu lain parang...lain padang lain belalang...Fikir-fikirkanlah.... POSTED BY DATO ROSOL WAHID AT 2:44 PM
Berita Selanjutnya >>

Selasa, 1 September 2009

SABOTAJ PARTI DIHALALKAN OLEH UMNO?

Ternyata ramai pemimpin UMNO kini takut kepada bayang-bayang sendiri.

Walaupun ada anggota dan pemimpin parti yang jelas nampak mensabotaj parti, pucuk pimpinan di Pusat membiarkan sahaja mereka bebas dengan kerenah.

Apakah UMNO akan kekal kuat atau menuju kehancuran dengan wujudnya ahli dan pemimpin UMNO seperti ini?

Apakah perbuatan mensabotaj parti itu bebas dilakukan kerana ia dihalalkan berikutan mendapat perlindungan segelintir pemimpin tinggi UMNO yang langsung tidak bimbang parti itu akan ranap?

Atau apakah ketika dan saat ini, perbuatan mensabotaj pemimpin tertentu UMNO sebagai “matlamat menghalalkan cara” pada keadaan tertentu atau terpilih?

Sedangkan dengan mempunyai ahli dan pemimpin seperti itu, UMNO akan ranap juga secara perlahan dan apabila ‘sekam yang membakar mula mengeluarkan api” dan sukar untuk dibendung lagi.

Malah, api inilah yang akan membakar dan merentungkan UMNO.

Inilah yang terjadi di Terengganu ketika ini.

Walaupun terang-terangan ada pemimpin UMNO yang mensabotaj parti, pemimpin UMNO pusat seolah-olah tidak boleh berbuat apa-apa.

Dengan kata lain, cara mendisiplin ahli UMNO sudah tidak wujud lagi dan jika sudah mahu berlaku, biarkan ia berlaku. Yang penting pemimpin tertinggi UMNO kekal di tampuk kedudukan mereka.

Yang di cawangan, bahagian atau negeri, pandai-pandailah mereka menyelesaikan sendiri.
Lantas banyak pihak tertanya-tanya apakah krisis atau sengketa yang berlaku dalam UMNO Terengganu sekarang dirancang atau direstui sesetengah pemimpin UMNO Pusat.

Kata mereka, kalau betul UMNO Pusat mahu menyelesaikan krisis, tindakan yang menjurus kepada mendisiplinkan ahli parti perlu dilaksanakan. Namun usaha kini jelas bagaikan ‘biarlah UMNO Terengganu ranap sendiri’.

Selepas Datuk Ahmad Said diserang dan dikecam hebat, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dianggap mampu sebagai penyelamat UMNO Terengganu?

Namun itu kata UMNO Pusat. Bagi mereka yang marahkan Ahmad Said, Hishamuddin bukan orangnya. Dia ‘tidak reti’ politik Terengganu. Terengganu bukan Johor, kata bekas Exco dan ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid.

Menurut Rosol melalui blognya, dengan tajuk “Lain padang…lain belalang” , beliau mempertikaikan kefahaman dan keupayaan Hishamuddin mengenai politik Terengganu.

“Saya tidak tahu sejauhmana kefahaman Pengerusi Perhubungan tentang senario politik Terengganu. Kalu nak disamakan dengan politik Johor, saya rasa satu kesilapan. Saya bercakap dengan orang kuat UMNO Johor bahawa orang Melayu Johor amat taksub kepada UMNO. Dan ini berbeza dengan Terengganu...” kata Rosol.

Lantas beliau menamatkan tulisannya dengan mengatakan: “Lain hulu lain parang...lain padang lain belalang...Fikir-fikirkanlah...”

Apakah makna tersirat di sini? Bukankah Rosol mentafsir Hishamuddin sebagai orang yang menyamakan UMNO Terengganu dengan UMNO Johor?

Rosol yang sering menjadi jurucakap Kumpulan 10 yang menentang kepimpinan Ahmad Said jelas mempersoal dan merasakan Hishamuddin ‘belum masak’ dengan suasana di Terengganu.

Malah Kumpulan 10 sebenarnya mempertikaikan usaha Hishamuddin memperbetulkan perjalanan UMNO selepas Majlis Tertinggi UMNO menurunkan pangkat Ahmad Said hanya sebagai Timbalan Pengerusi UMNO.

Bukan itu sahaja, Hishamuddin turut dipersoal tindakannya menukarkan ketiga-tiga penjawat penting Perhubungan UMNO termasuk Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan tetapi tidak melantik orang daripada Kumpulan 10 berkenaan.

Suara protes dan tidak puas hati terus kedengaran. Mereka sebenarnya mahukan Ahmad Said bukan sahaja dikeluarkan daripada pentadbiran parti tetapi juga pentadbiran kerajaan negeri – melucutkan jawatan Menteri Besar.

Oleh kerana Najib dan Hishamuddin jelas tidak melakukan perkara sedemikian, rasa tidak puas hati mereka terus membara.

Tidak tahulah sama ada Rosol betul atau sebaliknya apabila berpendapat Hishamuddin tidak ‘mengenali UMNO Terengganu’.

Ini kerana ketika Hishamuddin mengatakan krisis UMNO Terengganu sudah ‘beres’, Presiden UMNO sendiri - Datuk Seri Mohd Najib Razak - pula menganggap masih wujud pergolakan di negeri berkenaan dan perlu diperbetulkan.

Pada Jumaat 28 Ogos 2009, Najib berkata, Umno sedang berusaha untuk mententeramkan pergolakan politik parti itu yang berlaku di Terengganu.

"Kita sedang berusaha untuk mententeramkan keadaan," kata Presiden Umno ketika diminta mengulas mengenai pergolakan Umno yang berlaku di Terengganu pada masa ini.

Juga mengejutkan ialah apabila seorang ADUN UMNO Terengganu kelmarin mengakui memang ada rundingan melibatkan beberapa orang wakil rakyat lain daripada UMNO berhubung cadangan untuk lompat parti.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata cakap-cakap mengenai tindakan untuk meninggalkan Umno bermula sejak dua bulan lalu, berikutan rasa tidak senang dengan kepemimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Ini bermula daripada cadangan. Cadangan ini ada daripada PKR dan ada daripada individu," katanya kepada Malaysiakini, tanpa menamakan individu-individu berkenaan.

Beliau turut mengesahkan terdapat sembilan orang wakil wakyat Umno yang kini tidak lagi menyokong kepimpinan ADUN Kijal.

"Memang betul kami tidak berpuas hati dengan menteri besar," kata Nawi lagi.

Memang niat tanpa perbuatan tidak boleh dijadikan sebagai suatu keputusan atau pendirian.

Namun persoalannya kenapa ada niat atau cadangan mahu melompat parti? Apakah jalan lain sudah buntu?

Atau apakah Kumpulan 10 ini sudah tidak yakin dengan UMNO Pusat mampu menangani krisis ini?

Atau mereka sengaja mempersoalkan arahan Presiden parti yang memberikan mandat kepada Naib Presiden mengatasi kemelut ini.

Juga apakah Najib ‘terikat tangannya’ untuk melakukan sesuatu bagi ‘menjernihkan suasana’ di Terengganu?

Dalam konteks UMNO Terengganu, rasanya Najib faham di mana dan bagaimana dia boleh bertindak dan apa pula tembok yang menghalangnya.

Bagi saya, Hishamuddin pun faham kenapa ‘tangannya terikat’ dan cara terbaik baginya ialah mengikut arahan Presiden parti dan UMNO Pusat.

Masalahnya, kumpulan yang tidak berpuashati itu berusaha melakukan apa sahaja cara, biarpun nampak jelas mereka terpaksa ‘mensabotaj UMNO’. Persoalannya:

1. Bukankah memulaukan sidang DUN pada 14 April lalu bersifat mensabotaj parti?

2. Bukankah menyerang dari belakang terhadap Menteri Besar yang dipersetujui Majlis Tertinggi dan Presiden UMNO mensabotaj parti?

3. Bukankah membisu seribu bahasa pada sidang DUN April serta Selasa dan Rabu minggu lalu dengan tidak mengemukakan pertanyaan lisan dan menyertai perbahasan kerana ‘protes senyap’ juga mempunyai unsure sabotaj terhadap UMNO dan Barisan Nasional? dan

4. Bukankah menentang keputusan istana melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar adalah sabotaj dan engkar kepada keputusan Sultan?

5. Ini belum lagi beberapa perkara berkaitan sms ugut bunuh dan memulaukan pertemuan dengan Ahmad Said pada majlis-majlis tertentu.

Cuma agak menghairankan ialah bagaimana pemimpin pusat UMNO dan Putrajaya boleh membiarkan mereka yang menentang kepimpinan kerajaan negeri UMNO dan BN yang diperkenankan oleh istana Terengganu itu terus-terusan melakukan sabotaj sedemikian?

Apakah UMNO Pusat dan Putrajaya bimbang jika tindakan diambil ke atas sekurang-kurangnya 10 ADUN, UMNO Terengganu akan bergoncang secara terang?

Mungkinkah UMNO Pusat dan Putrajaya tidak sanggup berdepan dengan kemungkinan perletakan jawatan beramai-ramai atau tindakan lompat parti dilakukan oleh ADUN yang dikenakan tindakan?

Mahu tidak mahu UMNO Pusat dan Putrjaya mengharapkan biarpun ada ‘api dalam sekam”, ia mudah untuk dipadamkan daripada berlakunya ‘pemberontakan secara terbuka’ akibat tindakan disiplin yang dikenakan ke atas ADUN yang membantah, boleh menyebabkan ‘api besar’ yang mungkin mencetuskan pelbagai risiko berat.

Dalam konteks pergolakan ini, suatu keputusan membabitkan cara-cara mendisiplin ahli dan pemimpin perlu dilakukan.

Presiden UMNO, Timbalan dan semua pihak di UMNO Pusat perlu tegas dan tidak membiarkan kemelut berpanjangan.

Jadilah doktor - buang sahaja barah dan penyebab penyakit - selagi barah dalam UMNO Terengganu terus wujud, ia akan terus menganggu-gugat kelicinan pentadbiran parti dan kerajaan Terengganu.

Yang perlu diberikan amaran diberikan amaran dan yang perlu dikenakan tindakan disiplin, lakukan sahaja. Ini kerana UMNO tidak boleh kekal dan bertahan dengan ahli dan pemimpin yang sabotaj parti.

Sebarang keputusan dan tindakan dibuat, ia bukan untuk UMNO semata-mata. Ia juga akan menjaga dan menghormati istana yang pada dasarnya mempunyai kuasa dalam banyak perkara membabitkan perlantikan Menteri Besar yang sah.

Bagaimanapun, dalam melakukannya yang penting – bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berserakan.

(Dipetik dari http://hambali1.blogspot.com)
Berita Selanjutnya >>

Tulisan blogger ‘besutlonih’ dijawab

Oleh Wan Yusof Haji Wan Ngah

MEMBACA tulisan blogger ‘besutlonih’, terasa perlunya ada inisiatif untuk menjawab kerana jika dibiarkan, ia menyebabkan kekeliruan yang mungkin Berjaya ditimbulkan penulis seperti ini yang boleh disifatkan sebagai ‘katak di bawah tempurung’.

Bayangkan, ketika portal berita Malaysian Insider menulis ada pertemuan antara ADUN BN di Terenggani dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudiannya dinafikan jurucakap Geng 10, Datuk Rosol Wahid yang terkenal kerana menjadi orang yang paling kedepan dalam isu krisis dengan Istana Terengganu, tetapi disahkan oleh ADUN Hulu Besut, Nawi memang ada pertemuan dan perbincangan tetapi blogger itu, disebabkan lama duduk di bawah tempurung, mencadangkan supaya Geng 10 menyaman portal berita tersebut.

Macam mana nak saman, sudah ada salah seorang yang mengesahkan memang ada pertemuan dan perbincangan antara ADUN dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kenapa blogger ‘besutlonih’ tak peka? (Lihat laporan dalam Malaysiakini).

Dakwa penulis itu ‘pokok segala masalah’ ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said. Kononnya, ada ADUN yang tidak mendapat peruntukan. ADUN mana yang tidak mendapat peruntukan? Kenapa ADUN berkenaan beritahu blogger ‘besutlonih’ yang dia tidak dapat peruntukan? Kenapa dia tidak berjumpa dengan Menteri Besar?

Jika benar dia sebagai ADUN tidak dapat peruntukan, dia mengharapkan Menteri Besar datang berjumpa dengan dia, ini satu kesilapan besar. Dia kena pergi berjumpa dengan Menteri Besar. Adakah ADUN-ADUN ini (yang didakwa tidak mendapat peruntukan) tidak tahu di mana pejabat Menteri Besar?

Untuk makluman mereka, pejabat Menteri Besar masih pejabat lama, sama dengan pejabat Menteri Besar terdahulu. Tidak ada perubahan apa-apa dari segi alamat dan kedudukannya.

Kalau Menteri Besar tolak mana-mana ADUN nak jumpa, adukan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau, minta tolong daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Silaplah ADUN ni, kalau dia menjaga kawasan tidak dapat peruntukan dari kerajaan negeri kecuali dia tidak jaga kawasan tetapi dia saja-saja mahu menyalahkan Menteri Besar kononnya menyekat peruntukan bagi memberi gambaran kepada rakyat bahawa Menteri Besar jahat.

Kalau rakyat Terengganu dapat memikirkan dengan masak, matang dan waras, mereka tahu bahawa yang jahat dan pokok segala masalah ialah Geng 10. Mula-mula mereka buat macam-macam hal bertujuan menyulitkan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Kemudian mereka memboikot persidangan DUN Terengganu. Mereka bawa khabar angina yang berupa fitnah kononnya SMS mereka terima dari seorang pegawai dari Pejabat Menteri Besar Terengganu yang mengancam nyawa mereka.

Mereka berbondong-bondong ke Kuala Lumpur, menyusun serangan kepada Menteri Besar. Mereka panjat pejabat Perdana Menteri dan ke rumah Timbalan Perdana Menteri. Mereka senonok kerana mereka dilayan oleh Perdana Menteri dan mereka diterima oleh Timbalan Perdana Menteri.

Kesan pertama yang mereka dapat, jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu terlepas dari tangan Datuk Ahmad kepada Hishammuddin.

Bukan main seronok Geng 10 menerima berita ‘perlucutan’ jawatan Datuk Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu. Khabarnya mereka melonjak-lonjak gembira. Mereka sudah nampak ada unsur kejayaan dalam gerak kerja yang mereka lakukan.

Malahan, seorang blogger yang pro Geng 10 ini melalui blognya secara terang-terang meramalkan dalam masa terdekat, jawatan Menteri Besar yang disandang Datuk Ahmad juga akan terlucut. Khabarnya mereka sudah buat persiapan untuk mengadakan kenduri kensyukuran jika ia benar-benar terjadi. Ada yang sudah merancang mahu meraikan kejayaan melucutkan jawatan Datuk Ahmad Said di Jakarta. Tiket penerbangan juga sudah di’booking’.

Kepada rakyat Terengganu yang membaca tulisan ini, lapangkanlah dada, buka minda seluas-luasnya kerana ‘pokok segala masalah’ ialah Geng 10 dan mereka yang pro kepada kumpulan yang mahu merosakan situasi politik di Terengganu.

Secara biadap mereka ‘mahu menebang’ pokok masalah ini yang dengan bahasa mudahnya ‘mereka mahu membunuh karier’ politik Datuk Ahmad Said. Pernahkah keluar dari mulut Datuk Ahmad Said mengatakan mahu ‘menebang pokok masalah’ atau ‘menghumbankan Geng 10’ ke dalam gaung, kerana kemarahannya atas perangai mereka ini?

Jawapannya tidak pernah sama ada secara terbuka atau tertutup, keluar dari mulutnya. Ini kerana beliau seorang yang matang, bersifat sederhana, merendah diri dan berterus-terang. Ketika ditanya wartawan, apakah beliau akan mengambil tindakan terhadap mereka yang ‘mengacau’ pentadbirannya, Datuk Ahmad secara bersahaja menjawab; “saya tidak ada kuasa.”

Disebabkan penulis ini tidak tahu keadaan politik Terengganu, dengan pengakuan sudah ada ADUN yang mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pembangkang, maka jangan dilayan secara berlebih-lebihan. Banyak benda yang dia tidak tahu tetapi tidak boleh juga dbiarkan dia menulis ikut suka-suka hati dia kerana implikasi kepada mereka yang ‘setaraf dengannya’ cukup buruk.

‘Mental block’ orang-orang seperti penulis ini diwarisi oleh mereka dari pemimpin mereka yang mereka sanjung kononnya mereka adalah pemimpin bertaraf dunia dan pencipta tamadun. Jadi, ketika mereka menggunakan istilah ‘kaduk naik junjung’ buat Datuk Ahmad Said, penulis ini dan pemimpin-pemimpin mereka termasuk Geng 10, adalah dari kalangan ‘katak di bawah tempurung’. Mereka ingat, tempurung itulah dunia mereka. Mereka ingat, kampong merekalah dunia yang paling luas dan mereka ingat, tiada lah dunia yang lebih luas dari tempurung yang menutup ‘kepala mereka’.

Bagi berlaku adil kepada semua, diturunkan petikan tulisan dalam http://besutlonih.com yang diposting pada 31hb Ogos 2009.

Monday, August 31, 2009

Sembang-Sembang Di Pagi Merdeka...

SEMBANG-sembang di pagi Merdeka, hari ini genaplah 52 tahun negara kita tercinta yakni Malaysia Merdeka dalam kesempatan ini penulis mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan menjadi tema sambutan hari kemerdekaan kita pada kali ini.

Pada pagi ini penulis tidak mahu bercakap panjang lebar mengenai kemerdekaan kerana mengenai kemerdekaan penulis sudah membuat artikelnya di blog Suara Generasi Muda Malaysia jadi eloklah jika penulis terus kepada isu-isu lokal di Terengganu yang penulis ketinggalan sedikit untuk mengulas isu-isu yang berlaku.

Baru-baru ini kecoh di Terengganu apabila Malaysia Insider mendakwa bahawa Harun Taib bakal MB kerana ada ADUN yang tidak berpuas hati dengan Menteri Besar yang ada sekarang yakni Datuk Ahmad Said, diikuti pula dengan akhbar Siasah yang menjadikan Harun Taib Bakal MB sebagai tajuk utama akhbar itu. Namun perkara itu telah dinafikan oleh Datuk Rosol Wahid dan juga Harun Taib sendiri. Penulis berpandangan pihak-pihak yang terbabit dengan dakwaan Malaysian Insider itu bolehlah mengemukakan saman kerana membuat dakwaan palsu yang boleh menjejaskan arus politik di Terengganu.

Bagi penulis krisis dalaman yang berlaku di Terengganu ini tidak akan selesai selagi 'Pokok Segala Masalah' yakni Ahmad Said tidak ditebang, kerana menjadi punca kepada krisis kepimpinan di Terengganu ini ialah Ahmad Said yang jadi Menteri Besar seolah-olah kerana beliau seorang sahaja yang berkuasa, ADUN tertentu disekat dan dipulaukan oleh Ahmad Said dan malah ada yang tidak mendapat peruntukkan. Inilah yang dinamakan 'kaduk sudah menaiki junjung'.

Bagi penulis buat sahaja pun untuk mengembalikan BN Terengganu dalam keadaan asal pun tiada guna selagi Ahmad Said yang menjadi punca masalah ini tidak ditumbangkan. Namun penulis tidak bersetuju dengan acara lompat-melompat ini, ia bukan jalan penyelesaiaan, adalah lebih baik mereka mengusulkan undi tidak percaya, ini adalah cara yang terbaik buat mereka.

Nasihat penulis kepada Ahmad Said ialah kalau orang tak suka buat apa tunggu lagi, jangan jadi Menteri Besar yang syok sendiri, jangan leka dengan kuasa, kalau orang dah tak suka, orang tetap tak suka dah jangan berlengah lagi letak jawatan sekarang dengan rela.


Berita Selanjutnya >>