Selasa, 7 Julai 2009

Beza politik DAP dengan Politik Pas


Oleh Zainal Yusof
citra_bangsa@yahoo.com

LIHAT politik DAP. Bandingkan dengan karenah Pas. Ketika ini, orang lebih suka bercakap soal DAP di Kedah yang marahkan Pas Kedah tetapi, tiada siapa yang mahu bercakap soal DAP Pulau Pinang dan bezanya dengan Pas Selangor.
DAP Pulau Pinang melantik melalui DUN Pulau Pinang Tuanku Abdul Aziz Tuanku Ibrahim sebagai Senator walaupun baru setahun Tuanku Abdul Aziz menganggotai DAP. Berbanding dengan Pas di Selangor, hasrat kepimpinannya mahu melantik bekas Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Kapten (B) Zahar Hashim sebagai salah seorang AJK perhubungan negeri menerima tentangan dari ADUN Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar dengan alasan Kapten (B) Zahar terlalu baru dalam Pas.
Pas mengamalkan politik yang agak tertutup. DAP jauh lebih terbuka. DAP akan memberi tempat kepada sesiapa sahaja jika mereka dapati orang itu mendatangkan faedah kepada partinya. Pas pula, sedaya upaya menyekat mana-mana orang yang dilihatnya terlalu berpengaruh.
Jika di Perak, DAP akan memberi laluan kepada Mohamad Nizar menjadi Menteri Besar bukan kerana Mohamad Nizar layak tetapi kerana Mohamad Nizar mereka anggap sebagai ‘berguna’ kepada DAP.
Jika Mohamad Nizar dilihat tidak berguna kepada DAP, mustahil Mohamad Nizar mendapat sanjungan yang begitu tinggi dari DAP di Perak. Kenapa Mohamad Nizar menjerit di Parlimen? Mungkin Mohamad Nizar lakukan demi perjuangannya yang ada persamaan dengan perjuangan DAP. Boss Mohamad Nizar bukan kepimpinan Pas di Perak tetapi DAP yang sentiasa menjadi pengapitnya dalam semua acara.
DAP tidak mempunyai banyak cawangan jika dibandingkan dengan ranting di dalam Pas tetapi ternyata DAP jauh lebih kuat dari Pas apabila keputusan pilihan raya diadakan. Lihat sahaja di Parlimen, jumlah kerusi DAP dan Pas berbeza. Jumlah Ahli Parlimen DAP lebih banyak dari jumlah Ahli Parlimen Pas. DAP lebih kuat dari Pas walaupun kalau lihat kepada riuh-rendah berpolitik, Pas seolah-olah sudah menawan Malaysia.
Hakikatnya, politik Pas hanya politik gendang. Gendang kuat bukan bererti apa-apa tetapi sekadar tong kosong.
Di Perak, pemimpin Pas diajar supaya tidak menghormati Mufti. Apa sahaja yang Mufti bercakap, mereka akan ejek dan menolak. Bagi mereka, tok guru mereka ‘maksum’. Bagi mereka, berbaring atas jalan raya adalah ‘halal’ jika DAP ‘suruh’ mereka berbbuat demikian.
Pas di Perak adalah parti tunggangan DAP. Pas betul-betul terhutang budi dengan DAP kerana sejarah telah membuktikan bahawa kerana sokongan DAP menyebabkan orang Pas menjadi Menteri Besar Perak.
DAP seronok apabila Mohamad Nizar menjadi Menteri Besar kerana apabila mereka mahu melancarkan mogok lapar, Menteri Besar yang mereka sokongan dari kalangan orang Pas sedia datang melancarkannya.
Hilang cerita puasa sunat dan hilang cerita dalam Islam tidak ada istilah mogok lapar. Namun, tok guru Pas sedia ‘menyusun ayat’ yang seolah-olah mogok lapar itu ada persamaan dengan puasa sunat. Siap ada majlis berbuka pula kerana ia diadakan serentak dengan mogok lapar.
Sepatutnya Pas menganjurkan puasa sunat dan DAP ikut tetapi disebabkan DA merasakan puasa sunat tidak memberi ancaman kepada kerajaan, maka mereka mahukan mogok lapar didahulukan dan puasa sunat, mengikut di belakang.
Ini seperti DAP menjadi imam dan Pas menjadi makmum. Bukan dalam hal sholat tetapi dalam tindak-tanduk antara mogok lapar dengan puasa sunat.
Ramai yang percaya, jika DAP meminta Pas bersetuju dengan kerajaan perpaduan, Nik Aziz Nik Mat akan bersetuju juga tetapi apabila DAP tidak berminat maka mustahil untuk Pas menyatakan minat mereka.
Di Perak, apabila DAP tidak mengeluarkan fatwa mengatakan berbaring atas jalan raya menghalang kenderaan Raja Muda Perak memasuki kawasan Istana Bukit Chandan, maka orang-orang Pas sanggup berbaring tetapi jika DAP kata, jangan berbaring atas jalan raya, barangkali mereka tidak akan berbaring di atas jalan raya.
Hari ini, ada blogger menulis dalam blog masing-masing dengan memberi gelaran ‘meroyan’ kepada Mohamad Nizar. Malahan, di Parlimen, yang nyata memperjuangkan nasib Mohamad Nizar bukannya dari kalangan pemimpin Pas tetapi Lim Kit Siang.
Lim Kit Siang menampakkan kesedihannya apabila Sultan Perak tidak memperkenankan permohonan Mohamad Nizar mahu membubarkan DUN Perak.
Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz mempertahankan keputusan bijak Sultan Perak itu dengan hujah “Mohamad Nizar (MP Bukit Gantang) tidak membawa suara majoriti ketika mengadap Sultan Perak sebaliknya majoriti suara di DUN Perak sudah berada di pihak Barisan Nasional (BN).
Kata Mohamad Nazri lagi, begitu juga dengan keputusan Sultan Perak ketika memperkenankan Mohamad Nizar menjadi Menteri Besar dahulu, tiada undian dibuat di DUN Perak kecuali bertemu dengan semua ADUN, yang berjumlah 31 sebelum bersetuju memperkenankan perlantikan Mohamad Nizar.
Perkara yang sama dilakukan ketika membuat perlantikan terhadap Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, namun DAP, Pas dan PKR tidak dapat menerimanya, sebaliknya membawa kes ini ke mahkamah. Apabila Mahkamah Rayuan memutuskan Mohamad Nizar kekal sebagai Menteri Besar, mereka bersorak gembira dan terus memecat Setiausaha DUN Perak dan Setiausaha Kerajaan Negeri selain mengantung tugas Penasihat Undang-Undang (LA) Negeri.
Tetapi apabila Mahkamah Tinggi memutuskan sebaliknya, mereka terus menuduh, ada skrip yang disediakan!
Hadis dan ayat al-Quran mana yang Mohamad Nizar rujuk dalam membuat ceramah bagi menghurai isu ini?
Ayat al-Quran dari juzuk mana yang Nga Kor Ming petik untuk berhujah ketika mengelar kerajaan BN di Perak sebagai kerajaan haram?
Yang peliknya, penyokong Pas yang keliru dengan suasana ini menyebabkan mereka tidak dapat membuat pendirian antara kebenaran dan kebathilan.
Nik Aziz pula sudah mula diagung-agungkan lebih daripada seorang manusia biasa dengan cerita melihat gambarnya pun sudah boleh dapat pahala! Astarfirullah.

Berita Selanjutnya >>

Idris Jusoh diselamatkan isu debat Nik Aziz-Najib


Oleh Ahmad Haji Ishak
citra_bangsa@yahoo.com

SATU perkara yang patut bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh bersyukur sekarang ialah banyak isu timbul kebelakangan ini betul-betul menyelamatkannya dari menjadi sasaran media dalam isu kesediaannya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.
Isu cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu mengadakan pertemuan untuk mengujudkan kerajaan perpaduan, yang kemudiannya disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, juga menyebabkan isu Idris-SPRM disenyapkan media.
Mengamuknya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa bersetuju dengan cadangan Hadi-Najib, menyebabkan Nik Aziz meminta Nasharuddin keluar dari Pas dan mengosongkan kerusi Parlimen Bachok juga menyebabkan media lebih suka mengejar Nasharuddin daripada mencari Idris.
Isu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sering menghubungi Idris di luar negara sebelum mengadakan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri juga tidak mendapat apa-apa reaksi dari media massa kerana ada isu Nik Aziz mahu mengajak Najib berdebat.
Sebenarnya, jika sesiapa faham kesan runtuhan bumbung stadium, mereka akan lebih menumpukan perbincangan mengenai isu ini daripada melayan karenah Nik Aziz yang tidak pernah rasional dalam bercakap.
Namun, disebabkan media massa lebih berminat memainkan isu Nik Aziz dengan keletah seperti kebudak-budakkannya, maka Idris Jusoh yang mahu dinobatkan oleh Exco dan wakil-wakil rakyat Terengganu era kepimpinan Idris dahulu sebagai seorang pemimpin Terengganu yang bertaraf dunia, maka amanlah lena Idris.
Orang Terengganu tidak mungkin boleh melupakan apa yang sudah dibuat oleh Idris dan Geng 10 yang memboikot persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, April lalu. Kesemua anggota Geng 10 itu, Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam, Muhamad Ramli Noh, Mohd Zawawi Ismail, Abdul Halim Jusoh, Alias Abdullah, Zakaria Abdullah, Ramlan Ali, Mohd Pehimi Yusof dan Idris sendiri.
Kalaulah tidak ada isu kerajaan perpaduan, isu Nik Aziz mengamuk hingga mahukan Nasharuddin keluar dari Pas dan pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan rasanya Idris mungkin memilih untuk ‘menyambung pelajaran’ keluar negara lagi bagi mengelak dari dikejar wartawan dan wakil media.
Sejarah politik Idris, sejak zaman dia menjadi Ketua Pemuda negeri dahulu, apabila timbul cerita memboikot konvensyen Umno negeri, beliau ke luar negara (ke Jordan) dengan alasan menyambung pelajaran.
Kalau orang biasa, mungkin pemimpin seperti Idris ini digelar sebagai seorang yang suka melempar batu sembunyi tangan.
Dalam isu runtuhan bumbung stadium, walaupun Idris bersedia menerima ‘kunjungan’ SPRM, mustahil Idris tidak tahu menahu mengenai perlantikan kontraktor dan pemilihan syarikat yang bertanggungjawab membina stadium ini.
Sebelum ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan kemungkinan SPRM akan menemui tiga bekas Exco dalam zaman Idris menjadi Menteri Besar iaitu Datuk Wan Hisham Wan Salleh, Rosol dan Din yang dikatakan antara mereka yang ‘banyak tahu’ dalam kes perlantikan kontraktor membina stadium ini.
Seperti Idris, Wan Hisham antara bekas Exco yang cukup berani meminta SPRM menyiasat dirinya tetapi Din dan Rosol dikatakan lebih banyak berdiam diri daripada bercakap meminta SPRM turut menjemputnya ke pejabat untuk ‘bersembang-sembang’ mencari maklumat.
Geng 10 seboleh-bolehnya mahu mendiamkan sahaja isu runtuhan bumbung stadium ini kerana mereka lebih sibuk mahu meneruskan hasrat memboikot semua program Umno dan program kerajaan negeri yang dihadiri Menteri Besar.
Hishammuddin mungkin tidak tahu yang Geng 10 terus ‘berdendam’ dengan Menteri Besar walaupun mereka sudah mengadakan pertemuan dengan Hishammuddin dan dikatakan berjanji mahu menyelesaikan masalah ‘memboikot’ demi kejayaan Umno dan BN dalam PRU 13 akan datang.
Entah apa yang dijanjikan Geng 10 kepada Hishammuddin selepas salah seorang dari mereka menjatuhkan air muka Datuk Ahmad Said, hakikatnya mereka masih terus menjayakan hasrat mereka untuk tidak melibatkan diri dengan semua aktiviti Umno dan kerajaan.
Geng 10 mungkin mencontohi Idris yang tidak pernah menghadirkan diri walau sekali dalam mesyuarat badan perhubungan ketika Datuk Ahmad menjadi pengerusi.
Dalam mesyuarat badan perhubungan buat kali pertama yang dipengerusikan Hishammuddin, Idris masih gagal menghadirkan diri tetapi dipertahankan Hishammuddin dengan kata-kata, Idris masih berada di luar negara dan dia sering menghubungi Idris, sekurang-kurangnya dua hari sekali.
Begitu tinggi penghormatan Hishammuddin terhadap Idris yang sudah kehilangan segala-galanya dalam politik Negeri Terengganu.
Idris tidak lagi menjadi Menteri Besar dan Idris telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Namun, ramai yang tertanya-tanya kenapa Hishammuddin tergamak memberitahu media yang dia sering berhubung dengan Idris, seolah-olah mahu merujuk mengenai hal-ehwal politik Terengganu kepada Idris sedangkan Menteri Besar Terengganu sekarang bukan Idris lagi.
Ada yang melahirkan kehairanan mengapa Hishammuddin seolah-olah terpengaruh dengan cerita-cerita yang direka-reka oleh Geng 10.
Pada suatu ketika, banyak pihak mendakwa Hishammuddin akan melantik salah seorang dari anggota Geng 10, Din Adam sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Dakwaan perlantikan Din Adam ini dibuat kerana ramai yang tahu hubungan antara Din dengan Hishammuddin dikatakan agak rapat kerana Din adalah bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Dungun, ketika Hishammuddin menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
Menurut cerita orang yang rapat dengan Din, kesetiaan Din kepada Idris terlalu utuh hingga ada yang berkata, Din pernah bercakap di mana-mana, dia masih menganggap Idris masih Menteri Besar Terengganu dan ketuanya di Terengganu adalah Idris dan bukan Menteri Besar yang ada sekarang.
Tidak hairanlah Din Adam didakwa pernah menolak tawaran menjadi Exco Belia dan Sukan Negeri Terengganu yang ditawarkan kepadanya kerana dia hanya akan menerima tawaran jika tawaran itu datangnya dari Idris.
Tidak pula diketahui sama ada Din Adam masih memanggil Idris dengan gelaran YAB Datuk Seri Idris Jusoh kerana dia tidak tahu ada Menteri Besar lain di Terengganu, selain Idris.
Bila Din bersikap sedemikian dan berkali-kali mengatakan kepada kawan-kawannya yang dia tidak pernah mengiktiraf Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, tidak hairanlah jika ADUN-ADUN yang lain, turut tidak mengiktiraf Datuk Ahmad.
Din didakwa beberapa pihak yang rapat dengan bekas Exco Belia dan Sukan Negeri ini yakin dia akan menjadi Menteri Besar Terengganu jika Istana Terengganu tidak mahu menerima Idris.
Dalam masa yang sama Rosol Wahid dikatakan turut berminat menjadi Menteri Besar Terengganu walaupun pernah menafikannya.
Seorang lagi anggota Geng 10 yang berkeyakinan akan menjadi Menteri Besar ialah Alias Abdullah yang mendabik dada mengatakan dia bukan jenis ‘ADUN cap ayam’ yang bermaksud di antara Geng 10, dialah yang paling layak menjadi Menteri Besar.
Din adalah ADUN Bukit Besi, Rosol pula ADUN Ajil manakala Alias adalah ADUN Alor Limbat. Kesemua ADUN-ADUN ini tidak berani menghadirkan diri dalam mana-mana majlis yang dihadiri Datuk Ahmad Said kerana masing-masing bimbang akan dicop sebagai ‘sudah meninggalkan perjuangan’ Geng 10.
Khabarnya Hishammuddin tahu semua cerita ini tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk menegur dan menasihatkan anggota Geng 10 supaya kembali turun padang dan menghadiri semua program anjuran Umno dalam DUN masing-masing.
Apa yang lebih malang, Hishammuddin seolah-olah takut untuk ‘bertindak’ terhadap Geng 10 yang jelas merosakkan Umno di Terengganu.
Berita Selanjutnya >>

Geng 10 kena hayati slogan ‘meraksyatkan pentadbiran’ di Terengganu


Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
citra_bangsa@yahoo.com

USAHA Kerajaan Negeri Terengganu memperkenalkan slogan ‘merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ sejak setahun yang lalu yang diperkenalkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bukan sekadar retorik.
Itulah sebabnya, Menteri Besar pernah memperkenalkan konsep ‘fikir rakyat’ kepada semua pegawai peringkat pengurusan dan sokongan sewaktu mereka menjalankan tugas bagi menjayakan slogan itu.
Menurut Datuk Ahmad Said, pendekatan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan akan menjadikan pentadbiran lebih mesra rakyat selain pembangunan yang dirancang bermanafaat dan mendatangkan faedah secara terus kepada rakyat.
Sebenarnya, apa yang diperkenalkan Datuk Ahmad di Terengganu adalah selaras dengan apa yang dimahukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mahukan pendekatan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
“Saya juga ingin menjadi Menteri Besar rakyat kerana apa yang penting adalah rakyat adalah segala-galanya,” katanya dalam beberapa siri ucapan sebelum ini.
Menyedari hakikat itulah, walaupun sibuk dengan tugas seharian namun ia tidak menghalang Datuk Ahmad meluangkan masa mendekati dan menyapa mesra penduduk yang ditemui dalam setiap program yang dihadirinya.
Malah, dalam program pengagihan komputer ‘e-book’ beliau sendiri menyampaikan komputer riba kepada semua pelajar dalam setiap majlis penyampaian yangd dihadirinya.
Beliau sanggup berdiri hampir dua jam menunggu ratusan pelajar dan guru sambil menghulurkan komputer satu persatu tanpa jemu kepada semua penerima.
Apabila ditanya apakah perasaan kerana menyampaikan sendiri komputer kepada setiap pelajar, beliau sambil tersenyum berkata, “saya ingin bertemu dengan setiap pelajar dan rakyat kerana saya juga adalah rakyat dan rakyat adalah segala-galanya,”
Ahmad yang bangga bertemu setiap pelajar berharap rakyat pelbagai lapisan melupakan soal ‘titik bengik politik’ sebaliknya terus membantu kerajaan dalam menjayakan agenda ‘merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ (Utusan Melayu, Isnin 6 Januari 2009 – Wan Ramli Wan Mohamad).
Alangkah bertuahnya rakyat Terengganu kerana dianugerahkan Allah seorang pemimpin berjiwa rakyat seperti Datuk Ahmad Said ini yang sanggup mengutamakan rakyat dalam setiap tindak-tanduknya.
Walaupun beliau dikatakan menerima pelbagai halangan dan rintangan sepanjang menjadi Menteri Besar Terengganu, namun semangat dan iltizamnya cukup luar biasa. Tidak hairanlah, beberapa pihak termasuk dari kalangan Geng 10 masih terus memboikot kehadirannya di sisi rakyat kerana mahu menjadikan isu pertikaian peribadi Geng 10 dengan Menteri Besar sebagai isu yang boleh mengganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri.
Geng 10 sibuk mempertikaikan pertukaran pegawai-pegawai kerajaan negeri (TCS) di Terengganu tetapi mereka lupa bekas boss mereka, Datuk Seri Idris Jusoh yang mereka mahu nobatkan sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia, pernah menghadapi isu ‘pemecatan’ seorang pegawai tinggi kerajaan negeri suatu ketika dahulu.
Maknanya, kalau zaman Idris, ia bukan isu tetapi kalau zaman Datuk Ahmad Said, ia akan dijadikan isu yang boleh menggugat kestabilan politik Terengganu.
Geng 10 mungkin memikirkan mereka terpilih menjadi wakil rakyat kerana Idris memilih mereka menjadi calon BN dalam PRU 12 yang lalu. Itulah sebabnya mereka harus taat-setia kepada Idris walaupun Idris tidak lagi terpilih menjadi Menteri Besar.
Mereka lupa, siapa yang memilih Idris dan parti mana yang mereka wakili. Apakah mereka terpilih menjadi wakil rakyat jika ‘pihak yang lebih atas’ tidak memilih Idris sebagai calon terlebih dahulu.
Jika ini mereka dapat fakir, mereka tentunya lebih taat kepada institusi kepimpinan Umno itu sendiri kerana mereka tidak mungkin bergelar YB tanpa Umno yang mereka sedang khianati sekarang ini.
Datuk Ahmad sebagai seorang individu ‘mungkin boleh dikhianati’ oleh mereka yang berjiwa pengkhianat tetapi Datuk Ahmad sebagai Menter Besar Negeri Terengganu tidak sewajarnya dikhianati kerana institusi kepimpinan itu mesti difahami kalau mahu mereka sendiri sebagai ADUN dihormati.
Kita sering mahu diri kita dihormati tetapi kenapa kita sendiri tidak tahu menghormati mereka yang patut kita hormati? Peliklah manusia ni, ketika mereka berada di puncak kuasa, mereka meminta semua pihak menyokong mereka tetapi apabila mereka kehilangan kuasa, mereka pula menjadi pengkhianat kepada ‘parti dan institusi kepimpinan’ yang pernah meletakkan mereka dalam kedudukan yang cukup tinggi.
Itulah sebabnya, sebagai Menteri Besar dan bekas Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan, Idris Jusoh sepatutnya menggalakkan pengikut-pengikutnya memasuki kursus-kursus di mana-mana sekolah yang ada mengajar subjek ‘menghormati istitusi kepimpinan dan parti yang mereka sertai’.
Jika tidak ada sekolah seperti ini untuk memberikan kursus-kursus seperti ini, syorkan kepada Geng 10, termasuk Idris sendiri supaya menyertai kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN) supaya mereka ini kenal erti perjuangan dan tahu etika sebagai seorang ahli parti.
Memetik kata-kata bekas Timbalan Presiden Umno, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Umno tidak akan lemah kerana ancaman luar tetapi Umno akan lemah kerana ancaman dari orang dalam, iaitu ahli-ahlinya sendiri seperti apa yang dilakukan oleh geng 10 kepada kepimpinan Datuk Ahmad Said di Terengganu.
Geng 10 mungkin merasakan mereka betul dan mereka hero apabila membuat pelbagai karenah hingga sanggup memboikot persidangan DUN Terengganu dan tidak menghadiri majlis-majlis Umno dan kerajaan yang dihadiri Menteri Besar, tetapi hakikat sebenarnya mereka tidak tahu yang mereka sedang mempamirkan ‘kecetekan akal’ mereka.
Jika dilihat dari luar, Geng 10 ini memang tidak layak bergelar YB. Orang yang memilih mereka menjadi calon dahulu tidak memberikan kuliah dan takzirah yang mencukupi kepada golongan ini, syarat-syarat yang melayakkan mereka menjadi seorang YB.
Bayangkan, kalau Perdana Menteri memilih seseorang menjadi calon pilihan raya, apabila Perdana Menteri berhenti, adakah semua wakil rakyat yang mereka pilih itu perlu menubuhkan team seperti Geng 10, berarak ke hulu ke hilir memboikot Perdana Menteri baru? Hancurlah parti kalau inilah cara mereka ini berfikir?
Berita Selanjutnya >>

Rabu, 1 Julai 2009

Geng 10 masih memboikot program Umno


Oleh Zainal Yusof
citra-bangsa@yahoo.com

TIGA sayap Umno Terengganu mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di Kementerian Dalam Negeri, sehari dua yang lalu.
Baguslah kalau pertemuan seperti ini diadakan tetapi janganlah sekali dalam tempoh Hishammuddin menjadi pengerusi ini kerana pertemuan yang kerap diadakan akan dapat menyelami denyut nadi ketiga-tiga sayap parti itu dalam keadaan Umno Terengganu dikatakan dilanda kemelut.
Begiitu juga ketua-ketua bahagian, perlu Hishammuddin temui sekerap yang mungkin, bukan sekadar menghantar pegawai khas mengadakan perjumpaan kerana bimbang pegawai khas menapis apa yang patut disampaikan, ikut selera pegawai khas.
Hishammuddin kena tahu, ‘sifat kepala batu’ Geng 10 yang masih ‘memboikot’ Menteri Besar walaupun Hishammuddin mendakwa masalah di Terengganu sudah selesai dengan pertemuan antaranya dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Terengganu dan ketua-ketua bahagian, sebelum mengadakan mesyuarat pertama Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu baru-baru ini.
Apakah Hishammuddin tahu bahawa beberapa kawasan DUN yang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kunjungi kerana program-program dan lawatan-lawatan, tidak dihadiri oleh ADUN di kawasan tersebut?
Khabarnya, di DUN Jabi Menteri Besar sudah sampai tiga kali sejak peristiwa memboikot persidangan DUN Terengganu April lalu, tidak sekali pun ADUN Jabi, Ramlan Ali hadir sama di majlis Menteri Besar itu.
Adakah Ramlan masih menerima arahan dari bossnya dalam Geng 10 supaya tidak menghadirkan diri dalam program-program yang dihadiri Menteri Besar walaupun dalam DUN nya sendiri?
Apakah perkara ini diketahui oleh Hishammuddin? Jika Hishammuddin tahu, apakah beliau akan mengarahkan ADUN mesti hadir majlis yang turut dihadiri Menteri Besar atau Hishammuddin akan mencadangkan kepada Menteri Besar supaya jangan menghadiri majlis-majlis di DUN yang diwakili oleh Geng 10?
10 DUN yang dimaksudkan ialah Tepuh, Kuala Berang, Permaisuri, Bukit Besi, Paka, Ajil, Alor Limbat, Jabi, Jerteh dan Kota Putera.
Kalau Hishammuddin tahu semua ini, apakah tindakan yang boleh dikenakan kepada ADUN yang ‘sombong bodoh’? ini?
Satu kelebihan yang ada pada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said ialah beliau tidak pernah mempunyai masa untuk melayan semua karenah Geng 10 ini kerana tugasnya mengadakan pertemuan dengan rakyat di seluruh Negeri Terengganu tidak boleh terhenti hanya kerana gelagat Geng 10 yang kesemuanya merasakan mereka layak menjadi ‘Menteri Besar’.
Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mahu mendapatkan KPI terhadap semua Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN, inilah masanya untuk ‘membuat KPI’ kepada 10 ADUN di Terengganu yang sudah terlajak begitu jauh, mengkhianati Umno dan BN.
Najib juga sepatutnya sudah diberitahu oleh Hishammuddin perangai Geng 10 ini kerana Umno memang tidak memerlukan mereka ini walaupun mereka merasakan ‘mereka hebat dan bukan jenis ADUN cap ayam’.
Tidak hairanlah kalau penulis terkenal Datuk A. Kadir Jasin menulis dalam blognya tidak lama dulu bahawa Geng 10 ini, termasuklah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai cetek fikiran.
Lebih malang lagi, dalam Geng 10 ini, ada tiga ADUN yang bercadang mahu menjadi Menteri Besar, kerana mereka yakin dengan ‘apa yang mereka lakukan sekarang’, Perdana Menteri akan bersetuju menukar Menteri Besar Terengganu.
Maknanya, Geng 10 tidak sebulat suara menyokong hanya seorang sahaja dari mereka (Geng 10) yang patut dan layak ditonjolkan sebagai calon Menteri Besar Terengganu. Ketika mereka berusaha mahu memfitnah Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahmad Wan Muda sebagai ‘punca kepada semua ini’, mereka lupa kecanggihan sistem komputer boleh memerangkap mereka.
Ketika Hishammuddin mengakui beliau sering berhubung dengan Idris ketika Idris berada di luar negara sebelum mengadakan mesyuarat badan perhubungan negeri baru-baru ini, tetapi Idris masih tidak dapat menghadirkan diri ke mesyuarat badan perhubungan yang dikosongkannya ekoran perlantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan kemudiannya dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Kemelut yang ditimbulkan oleh Geng 10 akhirnya menyebabkan Presiden Umno melantik Hishammuddin menjadi pengerusi perhubungan, bersama-sama Najib sendiri sebagai pengerusi perhubungan Selangor, Tan Sri Muhyiddin, pengerusi perhubungan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, pengerusi perhubungan Kedah dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pengerusi Pulau Pinang.
Geng 10 juga yakin, salah seorang dari anggotanya akan dilantik menjadi setiausaha perhubungan Umno negeri kerana hubungan rapat mereka dengan Hishammuddin tetapi ia tidak berlaku.
Namun, Geng 10 menyifatkan usaha mereka menimbulkan kemelut cukup berjaya kerana Najib akhirnya tidak mengekalkan Datuk Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, sebaliknya menamakan Hishammuddin menggantikan tempatnya.
Berbaloilah usaha Geng 10 berbondong-bondong ke Kuala Lumpur suatu ketika dahulu untuk mengadakan pertemuan dengan Najib dan Muhyiddin dengan tujuan memburuk-burukkan imej Ahmad Said di Terengganu.

(Artikel ini turut disiarkan dalam http://lesungbatu.webs.com)
Berita Selanjutnya >>